Lebih banyak bantuan akan disalurkan kepada kanak-kanak dan keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah dan jenayah.
Ini setelah Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) meningkatkan sokongan dermasiswanya bagi meringankan beban kewangan golongan itu yang terjejas akibat peningkatan kos sara hidup.
Pelajar sekolah rendah kini akan menerima $200, meningkat daripada $150, manakala pelajar sekolah menengah, maktab rendah, dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pula akan menerima $300, meningkat daripada $250.
Sementara itu, pelajar politeknik akan menerima $1,800, naik daripada $1500, manakala mahasiswa universiti menerima $2,500.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata langkah tersebut bukan sahaja memberikan peluang, bahkan mencetuskan motivasi kepada para penerima.
“Apabila kita menunjukkan kepada mereka bahawa masih ada harapan dan dengan sokongan yang kita berikan kepada mereka, ia akan mencetuskan motivasi dan membuka lebih banyak peluang untuk mereka membangunkan diri,” ujar beliau.
Dr Faishal berkata demikian semasa acara Health Knits yang dianjurkan oleh HGEF di Wisma Mendaki, yang terletak di Kee Sun Avenue, pada 3 Januari.
Acara tersebut dihadiri sekitar 100 penerima biasiswa, anggota keluarga dan tetamu.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Encik Feroz Akber.
Health Knits merupakan satu inisiatif HGEF untuk kanak-kanak daripada keluarga pesalah dadah yang dipenjarakan, dan dilaksanakan dengan kerjasama jururawat daripada Hospital Universiti Nasional (NUH).
“Keutamaan program ini adalah sesi perkongsian kerjaya yang berinspirasi oleh jururawat NUH, yang berperanan sebagai contoh teladan positif dan dipercayai,” menurut HGEF.
HGEF merupakan pertubuhan yang dibentuk pada 2005 untuk memperingati jasa Allahyarham Harun Ghani, mantan Setiausaha Politik (Ehwal Dalam Negeri), dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.
Menyentuh tentang peningkatan sokongan HGEF berkenaan, Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, berkata ia bertujuan memastikan bantuan yang diberikan lebih mencukupi dan selaras dengan keperluan sebenar para pelajar serta keluarga mereka.
“Walaupun jumlah bantuan yang diberikan tidaklah besar, kami berharap ia dapat sedikit sebanyak membantu, khususnya dalam persediaan untuk sesi persekolahan yang bermula minggu ini.
“Dengan sokongan ini, pelajar diharapkan dapat memberi tumpuan yang lebih baik kepada pelajaran mereka, manakala keluarga pula dapat mengurus kewangan dengan lebih tenang,” kongsi beliau.
Bagi 2025, HGEF menerima sebanyak 109 permohonan, dengan 34 permohonan masih dalam proses penilaian.
“Masih ada permohonan yang sedang kami teliti kerana tidak menepati garis panduan atau dokumen yang dikemukakan tidak lengkap.
“Kami sedang mencari pendekatan terbaik agar keluarga ini tetap dapat dibantu dengan penuh ihsan,” ujar beliau.
Secara purata, sekitar $60,000 dibelanjakan setiap tahun bagi menyokong penerima dermasiswa HGEF.
Dalam pada itu, Dr Faishal juga mengiktiraf usaha berterusan HGEF dalam menyokong kanak-kanak dan belia daripada keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah.
Beliau khususnya memuji pertubuhan tersebut yang bekerja tanpa “mengenal penat lelah” untuk meneruskan amal baik dan legasi Allahyarham Harun Ghani.
“HGEF juga telah memainkan peranan penting dalam memupuk semangat masyarakat, mengumpulkan penderma yang dermawan, sukarelawan yang berdedikasi dan pelbagai pihak berkepentingan lain untuk menyokong kanak-kanak dan remaja yang terjejas oleh penyalahgunaan dadah,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg