Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cabaran Presiden 2024 dilancar; edisi 2025 termasuk sukan, seni

May 30, 2024 | 6:59 PM
Puan Jane Ittogi (berbaju kuning) bersalaman dengan salah seorang kanak-kanak yang disokong oleh CampusImpact pada pelancaran Cabaran Presiden 2024 sambil diperhatikan Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri), Nur Qamarina Muhammad Rhyme (tiga dari kanan) dan Nur Syarafina Muhammad Rhyme (dua dari kanan).
Puan Jane Ittogi (berbaju kuning) bersalaman dengan salah seorang kanak-kanak yang disokong oleh CampusImpact pada pelancaran Cabaran Presiden 2024 sambil diperhatikan Presiden Tharman Shanmugaratnam (kiri), Nur Qamarina Muhammad Rhyme (tiga dari kanan) dan Nur Syarafina Muhammad Rhyme (dua dari kanan). - Foto CABARAN PRESIDEN

Cabaran Presiden, yang telah membantu mengumpul dana bagi tujuan sosial sepanjang 23 tahun lalu, akan disemak semula dan bidangnya diluaskan mulai 2025 termasuk memupuk bakat sukan dan kesenian.

Ini diumumkan menerusi satu kenyataan Cabaran Presiden, semasa pelancaran edisi 2024 gerakan nasional itu oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam lawatan beliau ke agensi khidmat sosial CampusImpact pada 30 Mei.

Semakan pada 2025 itu akan meluaskan kerjasama dengan pertubuhan awam dan dermawan, dan bertujuan mencapai impak sosial yang mampan, kata kenyataan itu.

Lebih banyak butiran akan diumumkan dalam separuh kedua 2024.

Dalam edisi 2023 sebanyak $14 juta dikumpul, menyokong 86 pertubuhan khidmat sosial. Lebih daripada 23,000 individu dan keluarga telah meraih manfaat daripada usaha mengumpul dana dan sukarelawan.

Pada 2024 sebanyak 65 pertubuhan khidmat sosial akan menerima dana bagi kegiatan mereka.

Ini termasuk satu program yang diuruskan Perkhidmatan Penjagaan Lutheran, yang menyokong mereka yang terselamat akibat keganasan domestik, dan PSALT Care Ltd, sebuah pertubuhan yang memberi khidmat kepada individu dengan masalah kesihatan mental.

Satu lagi penerima bantuan ialah CampusImpact, yang membantu belia kurang bernasib baik.

Program Study Buddy kendaliannya membantu kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik dalam pelajaran, serta pembangunan sosial serta emosi mereka.

Program itu telah berlangsung sejak 2018, dan membantu hampir 320 kanak-kanak berusia tujuh hingga 14 tahun.

Antara yang meraih manfaatnya ialah Nur Qamarina Muhammad Rhyme, 10 tahun, dan adiknya Nur Syarafina Muhammad Rhyme, 8 tahun, yang dahulunya lebih memilih berada di rumah sambil bermain dengan telefon bimbit.

Namun semuanya berubah apabila mereka sertai program Study Buddy.

Bapa mereka, Encik Muhammad Rhyme Othman, 39 tahun berkata:

“Kalau dahulu mereka hanya ingin berada di rumah, kini anak-anak yang ajak saya dan isteri untuk keluar beriadah di tepi pantai.

“Tahun lepas saya pernah mengajak mereka untuk meredah hutan di Macritchie bersama isteri saya dan adik lelaki mereka tetapi saya lupa. Namun pada awal tahun ini, mereka pula yang mengingati saya akan rancangan itu.

“Walaupun mereka masih ingin gunakan telefon bijak, tapi tidak sekerap dahulu. Kini mereka lebih suka bermain di luar bersama kanak-kanak lain.”

Program Study Buddy menawarkan pelbagai program, baik dari segi penyeliaan akademik, terapi seni, bengkel drama hingga ke aktiviti sukan untuk membina kesedaran diri kanak-kanak, kemahiran perhubungan serta membina rasa tujuan dalam diri mereka, kata Encik Rhyme.

Pada 30 Mei, CampusImpact, bersama lima pertubuhan lain - PSALT Care Ltd, Eagles Mediation & Counseling Centre Ltd, Lutheran Community Care Services Ltd, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), serta Galeri Nasional Singapura, telah mengadakan sesi perkongsian bersama Tuan Presiden dan Puan Jane Ittogi semasa lawatan itu tentang cara program mereka menyokong masyarakat.

Enam organisasi ini antara lain membantu meningkatkan isi rumah berpendapatan rendah, mengintegrasikan semula bekas pesalah, menyokong warga emas, dan ia akan melakukan demikian melalui program yang menggalakkan kesukarelawanan dan penglibatan masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg