Ketika namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Ibu Tabah 2024 anjuran Persatuan Ain pada 25 Mei, linangan air mata membasahi pipi Cik Siti Asmaniah Nasiruddin.
“Sebak rasanya…Ia adalah tangisan sedih bercampur gembira,” kongsi pesakit barah itu apabila ditemui Berita Minggu (BM) selepas diberi anugerah dalam sambutan Hari Ibu Persatuan Ain, yang diadakan di Hotel Concorde.
Cik Asmaniah, 70 tahun, mengalahkan tiga lagi finalis yang disenaraikan dalam anugerah yang mengiktiraf daya tahan para ibu yang menghidap barah.
Ketabahan Cik Asmaniah dipilih dan diraikan kerana ibu kepada tiga cahaya mata itu bukan hanya dapat melawan barah, tetapi juga menjadi penjaga kepada anaknya yang berkeperluan khas serta ibu dan suaminya yang sakit.
“Saya harus teruskan kehidupan. Ini pun tanggungjawab saya. Mereka adalah keluarga yang tidak boleh saya abaikan. Walaupun saya sakit begini, saya kuatkan iman untuk menjaga mereka,” tambah Cik Asmaniah.
Suri rumah itu disahkan menghidap barah kolon tahap dua pada 2018.
Pada ketika itu, beliau merupakan penjaga selama hampir 40 tahun kepada anak lelaki keduanya, yang berkeperluan khas sejak mengalami serangan sawan pada usia setahun lebih, dan ibunya, yang baru menghidap penyakit ginjal.
“Apabila mendapat tahu saya menghidap barah, saya rasa sedih tetapi redha sahaja pada ketentuan ini,” kata Cik Asmaniah, yang aktif bersama Persatuan Ain sejak 2019.
Beberapa bulan lalu, suaminya menghidap masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan. Ketiga-tiga ahli keluarga itu berada dalam jagaan Cik Asmaniah.
“Bagi mereka yang senasib dengan saya, kita harus tabah dan sabar dengan penyakit ini. Mudah-mudahan, kita dapat mendorong satu sama lain untuk harunginya,” ujar Cik Asmaniah, yang sudah selesai menjalani rawatan. Namun kini beliau perlu memakai beg stoma – dipasang pada perut untuk mengeluarkan najis – sepanjang hayatnya.
Sambutan Hari Ibu Persatuan Ain dihadiri pesakit barah wanita, berserta penjaga mereka. Ia bertujuan menaikkan semangat dan mengiktiraf cabaran unik yang dihadapi ibu yang menghidap barah.
Turut hadir di acara itu ialah mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, juga penaung Persatuan Ain.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail, memuji semangat pesakit barah wanita ini.
“Barah tidak menentukan wanita luar biasa ini. Pada Hari Ibu ini, kami ingin meraikan kekuatan mereka, semangat mereka, dan bagaimana mereka menjadi inspirasi kepada kita semua,” kata beliau.
Encik Yusof menambah bahawa persatuan itu bertekad menyediakan sokongan emosi dan psikososial kepada golongan ini sepanjang dan selepas rawatan mereka.
Dalam acara selama tiga jam itu, para hadirin juga dihiburkan oleh dendangan lagu popular penyanyi mapan Indonesia, Hetty Koes Endang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg