Topik diikuti
Pergi ke BHkuCabaran selepas pulang dari luar negara, kini raih Anugerah Lee Hsien Loong
Sekembalinya ke Singapura pada Jun 2018 selepas tiga tahun menetap di luar negara, Encik Faiq Faran bergelut untuk mendapatkan tempat di sekolah menengah kerana tidak memiliki sijil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Beliau ketika itu baru menamatkan pendidikan darjah enam di Arab Saudi, tempat keluarganya menetap sejak 2015.
“Saya agak sedih meninggalkan Arab Saudi kerana sudah terbiasa dengan rentak kehidupan yang lebih santai di sana.
“Namun, ayah merasakan penting untuk saya menjalani pendidikan sekolah menengah di Singapura kerana kelayakan akademik di sini diiktiraf secara meluas,” kata Encik Faiq, kini 21 tahun.
Kepulangannya tidak semudah yang dijangka.
Malah, dalam peperiksaan kemasukan pertamanya, beliau hanya meraih markah satu angka bagi kertas Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
“Sebaik sahaja melihat kertas soalan, saya sudah tahu saya akan gagal. Saya rasa tidak ada satu pun soalan yang dapat saya jawab sepenuhnya.
“Ketika itu, saya mula tertanya-tanya, kalau peperiksaan kemasukan pun saya tidak dapat lalui, bagaimana saya hendak menyesuaikan diri dan mengikuti sistem pendidikan di Singapura?” katanya.
Di tengah-tengah ketidakpastian itu, peluang kedua hadir apabila Sekolah Menengah Naval Base menerimanya dalam aliran Normal (Akademik) meskipun hampir-hampir gagal dalam peperiksaan kemasukan sekolah.
Daripada permulaan yang penuh cabaran itu, Encik Faiq kemudian muncul sebagai pelajar terbaik peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ pada 2021 di sekolahnya.
Kecemerlangannya tidak terbatas pada bidang akademik.
Encik Faiq turut giat berbakti kepada masyarakat, termasuk menubuhkan sayap belia di Masjid Petempatan Melayu Sembawang bersama dua rakannya pada Januari 2026.
Pencapaian menyeluruh dalam bidang akademik dan khidmat masyarakat itu melayakkan Encik Faiq menerima Anugerah Lee Hsien Loong bagi Pencapaian Cemerlang dalam Pelbagai Bidang.
Beliau merupakan antara empat penerima anugerah tersebut, yang disampaikan pada 31 Ogos di Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Nasional Singapura (NUS).
Anugerah itu mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar pascamenengah dalam bidang akademik dan bukan akademik, khususnya mereka yang memberi sumbangan besar kepada masyarakat serta menunjukkan semangat inovasi dan keusahawanan, menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (MOE).
Secara keseluruhan, 202 pelajar daripada 90 institusi pendidikan menerima 211 Anugerah Khas pada majlis tersebut, yang disampaikan oleh Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary.
Encik Faiq, yang juga merupakan lulusan Politeknik Republic (RP) dalam bidang Sains Farmaseutikal, menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred (GPA) 3.94 pada Mei 2026 dan disenaraikan dalam Senarai Kehormatan (Director’s Roll of Honour) bagi beberapa semester berturut-turut.
Mengimbas perjalanannya, Encik Faiq berkata pengalaman belajar di luar negara dan kesukaran menyesuaikan diri sekembalinya ke Singapura banyak membentuk dirinya.
“Pengalaman itu mengajar saya untuk menyesuaikan diri dan berani keluar daripada zon selesa. Kalau saya tidak melalui tiga tahun di luar Singapura dan cabaran apabila kembali ke sini, mungkin perjalanan pendidikan saya lebih lancar.
“Namun, cabaran itulah yang memberi saya perspektif baharu dan menjadikan perjalanan ini lebih bermakna,” katanya.
Pengalaman menerima sokongan ketika berdepan kesukaran turut mendorong Encik Faiq untuk melakukan perkara yang sama bagi orang lain.
“Ada masa saya perlukan seseorang untuk membantu, menyokong dan memberi semangat kepada saya. Disebabkan itu, saya rasa ada perlunya untuk meneruskan kebaikan itu kepada orang lain,” katanya.
Menerusi sayap belia di Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Encik Faiq dan rakan-rakannya menyediakan ruang bagi golongan muda untuk menjalin persahabatan, membina kemahiran dan menyumbang kepada masyarakat.
Malah, kumpulan itu kini berkembang kepada hampir 40 anggota.
Bagi Encik Faiq, antara hasil paling bermakna ialah melihat belia yang pada mulanya sekadar menyertai kegiatan kini tampil memimpin dan merintis inisiatif sendiri.
Setakat ini, kumpulan itu telah menganjurkan sekitar 20 kegiatan belia, termasuk sambutan Hari Raya yang menghimpunkan golongan muda dan peserta cacat penglihatan daripada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH), kegiatan berbasikal pada lewat malam untuk keluarga berpendapatan rendah serta kegiatan membersihkan pantai.
Komitmennya dalam pembangunan diri dan masyarakat turut menyaksikan beliau menerima Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA) Emas pada 2025.
Melangkah ke hadapan, Encik Faiq berharap dapat terus memperluas sumbangannya kepada masyarakat, dengan cita-cita jangka panjang untuk menceburi bidang perkhidmatan awam dan penggubalan dasar.
Sebagai langkah ke arah itu, beliau bakal mengikuti pengajian dalam bidang Kesihatan Global dan Perubatan Sosial di King’s College London mulai September 2027.
“Anugerah ini mengingatkan saya sejauh mana seseorang boleh melangkah jika tidak berhenti mencuba. Saya sentiasa percaya bahawa apabila satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka.
“Jika saya berhenti mencuba ketika gagal mendapatkan tempat di sekolah menengah dahulu, perjalanan saya mungkin berbeza. Disebabkan itu, saya tidak anggap anugerah ini sebagai garisan penamat, tetapi sebagai dorongan untuk terus memberikan yang terbaik dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
