Platform pengangkutan dan penghantaran yang mengenakan had masa ke atas pekerja untuk mencapai mata bagi tugasan yang disempurnakan, akan menghentikan amalan itu tidak lama lagi.
Di bawah satu cadangan kod amalan industri yang bertujuan untuk menetapkan standard keselamatan dan kesihatan untuk pekerja dan pengendali platform, pengendali harus mengingatkan pekerja supaya mengambil langkah keselamatan semasa cuaca buruk dan bukan menghukum mereka.
Draf kod itu, yang menyediakan panduan undang-undang praktikal, telah diketengahkan untuk maklum balas orang ramai dari 4 hingga 30 September oleh Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH), sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM), lapor akhbar The Straits Times.
Pekerja platform ditakrifkan sebagai pekerja penghantaran, pemandu kereta sewa privet dan pemandu teksi yang menggunakan platform pemadanan dalam talian, seperti Grab, foodpanda dan Lalamove, untuk menyediakan khidmat pengangkutan dan penghantaran.
Draf kod itu juga menggariskan tanggungjawab pekerja platform dalam memastikan kesihatan dan keselamatan mereka sendiri, dengan menyatakan bahawa pekerja platform juga tidak harus mengetepikan keselamatan untuk insentif kewangan.
Misalnya, mereka harus meminta bantuan untuk membahagikan muatan yang tidak mampu diuruskan. Sekiranya pekerja enggan mengambil muatan yang terlalu berat, platform dijangka memberi pampasan kepada penghantar untuk masa yang telah dihabiskan ke lokasi pengambilan.
MOM berkata kod amalan baru itu akan mengambil kira ciri-ciri unik pekerjaan platform, menangani risiko khusus seperti keletihan, keselamatan kenderaan dan pembawaan muatan berlebihan, sambil meliputi keperluan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang standard, seperti penilaian dan pengurusan risiko.
Selepas perundingan awam untuk mengumpul maklum balas, kod itu akan dimuktamadkan dan diwartakan. Draf kod ini boleh didapati di laman web Majlis WSH.
Langkah ini menjelang pembahasan Rang Undang-Undang baru minggu depan di Parlimen yang akan mengukuhkan perlindungan untuk pekerja-pekerja platform dan menetapkan mereka sebagai kategori pekerja yang berasingan di bawah undang-undang, berbeza daripada pekerja dan yang bekerja sendiri.
Menurut laporan tenaga buruh terkini MOM yang dikeluarkan pada Januari, terdapat 70,500 pekerja platform di Singapura pada 2023.
Majlis WSH berkata pengendali platform dan pekerja platform kedua-duanya mempunyai tanggungjawab di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHA) untuk mengambil langkah-langkah amalan yang memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja.
Kod amalan baru itu bertujuan menyediakan kejelasan dan mengukuhkan pemilikan ke atas tanggungjawab undang-undang ini, menurut Majlis WSH.
Di bawah WSHA, kegagalan untuk mematuhi kod amalan yang diluluskan tidak merupakan satu kesalahan jenayah dengan sendiri. Namun, pendakwa boleh menggunakan kod itu untuk membuktikan sama ada pelanggaran keselamatan dan kesihatan di tempat kerja telah dilakukan.
Dengan masa yang pekerja platform habiskan di jalan raya dan sifat fizikal pekerjaan mereka, mereka berada pada risiko kecederaan yang lebih tinggi.
Sebuah tinjauan pada 2022 mendapati bahawa satu pertiga daripada pekerja penghantaran makanan di Singapura telah terlibat dalam sekurang-kurangnya satu kemalangan yang memerlukan rawatan perubatan.
Dalam sebuah temuramah dengan The Straits Times, para penghantar memberi reaksi berbeza-beza terhadap kod amalan ini.
Encik Jayler Ang, 25 tahun, seorang penghantar barang sambilan yang menggunakan basikal, berkata membawa muatan yang berat boleh menjadi sangat berbahaya bagi penunggang basikal dan motosikal, dan beliau mengalu-alukan langkah yang membolehkan muatan sedemikian dibahagi kepada beberapa perjalanan atau penghantar.
Namun, pekerja penghantaran sepenuh masa Encik Peter Yeo, 52 tahun, berkata langkah ini hanya membantu jika penghantar diberi pampasan sewajarnya.
Kod yang dicadangkan itu juga menggalakkan pengendali platform untuk mewujudkan langkah-langkah menguruskan keletihan bagi memastikan pekerja platform kekal berjaga-jaga semasa bertugas. Ini termasuk menghantar peringatan rehat kepada pekerja platform untuk berehat jika mereka memandu melebihi tempoh tertentu.
Encik Ang berkata notifikasi peringatan tersebut sedikit sebanyak berguna, kerana kerja penghantaran boleh meletihkan diri dari segi fizikal dan mental, dengan penghantar menghabiskan sekurang-kurangnya lapan jam di jalan raya setiap hari, dan perlu cepat.
Encik Yeo, bagaimanapun, meragui keberkesanan peringatan sedemikian, sebaliknya menyarankan agar pekerja penghantaran dipaksa berehat selama sejam sebelum mereka dibenarkan menyambung syif mereka jika mereka telah berada dalam talian selama empat jam atau lebih.
Beliau berkata bahawa platform juga boleh memberikan penghantar lebih banyak masa untuk menyiapkan penghantaran dalam keadaan cuaca buruk, dan mencadangkan pengendali membuat lebih lagi dengan menghentikan arahan secara sementara apabila hujan lebat atau risiko kilat yang teruk.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg