Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cadangan zon penampan lindungi hidupan liar di projek solar Lower Seletar

Pembinaan dijangka mula 2027; bila siap, ladang solar terapung baru ini dapat jana 6.5% sasaran kapasiti tenaga solar S’pura
Dec 24, 2025 | 2:52 PM
Projek ladang solar, jana 6.5% sasaran kapasiti tenaga solar S’p, Kolam Air Lower Seletar
Tanaman akuatik dari Kolam Air Lower Seletar dikeluarkan pada Oktober 2024. - Foto ST

Ladang solar terapung baru, lebih besar daripada Gardens by the Bay, akan menaungi 36 peratus permukaan Kolam Air Lower Seletar.

Pembinaan dijangka bermula pada 2027. Setelah siap, kemudahan ini akan menjana sekurang-kurangnya 130 megawatt-puncak (MWp) tenaga elektrik, menyumbang 6.5 peratus kepada sasaran kapasiti solar Singapura, iaitu 2 gigawatt-puncak (GWp), menjelang 2030.

Agensi air negara PUB, mendedahkan butiran ini pada 23 Disember dalam laporan penilaian kesan alam sekitar bagi projek seluas 115 hektar permukaan air tersebut.

Penilaian ini penting kerana tapak tersebut merupakan laluan utama hidupan liar bergerak antara kawasan simpanan alam semula jadi terbesar di Singapura, Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah, ke habitat garis pantai utara Simpang-Khatib Bongsu dan Pulau Coney.

Laporan oleh perunding EnviroSolutions mencadangkan perubahan pada susun atur panel solar terapung demi mengurangkan gangguan kepada hidupan liar dan hakisan pantai empangan, lapor The Straits Times (ST).

Kajian dari Ogos 2023 hingga Mei 2024 merekodkan 218 spesies haiwan di kawasan itu. Sebanyak 19 daripadanya penting untuk pemuliharaan dikesan menggunakan kolam air dan pantainya.

Ini termasuk burung pemangsa dan kelawar pemakan serangga, dan burung air terancam kritikal di Singapura seperti burung grebe kecil dan belebas kapas.

Menurut laporan itu, semasa kajian, kebanyakan penampakan burung air yang jarang berlaku sekali semasa kajian, menandakan haiwan tersebut sekadar melintasi kolam air dan kawasan sekitarnya.

Laporan mencadangkan panel solar terapung diletakkan sekurang-kurangnya 70 meter dari pesisir pantai terdekat, dengan zon penampan 150 meter di sudut barat daya kolam air.

Susun atur yang disyorkan dalam laporan itu juga mengelakkan kawasan sensitif dan zon kerap digunakan burung.

Walaupun pangolin Sunda terancam kritikal dan monyet ekor panjang dilihat di hutan berhampiran, mereka tidak ditemui di jalur 100 meter tumbuhan yang akan dibersihkan untuk bahagian ladang di darat.

Presiden Persatuan Alam Semula Jadi (NSS), Encik Leong Kwok Peng, yang merupakan salah seorang yang dirujuk dalam laporan tersebut, menyambut baik cadangan zon penampan tersebut.

“Itu bagus kerana ia memberikan ruang yang cukup untuk burung dan haiwan mencari makan di tebing sungai dan tebing kolam air,” katanya.

Encik Leong juga menggesa PUB untuk menerima cadangan laporan tersebut supaya reka bentuk tepi panel solar boleh digunakan sebagai tempat perhentian untuk burung seperti bangau.

“Ia akan menjadi situasi menang-menang, kerana beberapa burung boleh mendapat manfaat daripada panel solar,” tambahnya.

Walaupun mengakui kesan projek itu terhadap estetika kawasan, Encik Leong menyatakan bahawa Lower Seletar kurang sensitif dari segi ekologi berbanding kolam air seperti Kranji atau MacRitchie, dan pilihan ruang tenaga hijau di Singapura adalah terhad.

Laporan itu menyatakan bahawa panel solar terapung akan mengurangkan keperluan pembersihan tanah dan meningkatkan penjanaan tenaga solar kerana air membantu menyejukkan panel.

Walaupun ladang tersebut dijangka menaikkan suhu air sekitar 0.2 darjah Celsius menjelang 2060 berbanding senario tanpa ladang, impak keseluruhan terhadap kualiti air dianggap kecil.

Langkah mitigasi alam sekitar lain termasuk pemasangan penghalang bunyi sementara dan memperlahankan kerja jika penurunan kualiti air dikesan.

Apabila siap, ladang solar itu akan mengelakkan kawasan rekreasi air di Taman Kolam Air Lower Seletar, di mana aktiviti seperti belayar, berkanu dan mendayung perahu naga dibenarkan sejak 2004.

Orang ramai boleh melihat dan memberikan maklum balas mengenai laporan itu di laman web PUB sehingga 19 Januari, selepas itu agensi tersebut akan memohon kelulusan akhir daripada pemerintah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg