Calon pilihan raya dan ejen mereka boleh memohon permit polis dari 23 April hingga 3 Mei bagi mengadakan perarakan kenderaan selepas pilihan raya untuk mengucapkan terima kasih kepada para pengundi dan penduduk.
Namun, menurut kenyataan polis pada 23 April, perarakan hanya boleh diadakan selepas Hari Mengundi pada 3 Mei, iaitu dari 4 Mei hingga 10 Mei antara 7 pagi dengan 10 malam.
Setiap permit berharga $50 dan permohonan boleh dibuat di Pejabat Pengurusan Pematuhan yang terletak di ibu pejabat divisyen polis masing-masing, mengikut kawasan undi mereka.
Pejabat itu dibuka pada hari bekerja dari 8.30 pagi hingga 6 petang, lapor The Straits Times (ST).
Pemohon akan dimaklumkan untuk mengambil permit secara peribadi apabila ia tersedia, kata polis.
Polis turut menjelaskan bahawa pemberian permit tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk jumlah kenderaan yang digunakan dalam perarakan tidak boleh melebihi bilangan yang dinyatakan dalam permit.
Polis juga menambah bahawa individu yang diberikan permit perlu hadir dalam perarakan tersebut, kecuali jika mempunyai alasan yang munasabah.
Selain itu, perarakan tidak boleh menyimpang daripada laluan atau kawasan yang dinyatakan dalam permit.
“Tiada nyanyian, muzik, gong, gendang atau peralatan yang menghasilkan bunyi muzik dibenarkan untuk dimainkan semasa perarakan, kecuali dengan kebenaran pegawai polis yang meluluskan permit tersebut,” menurut kenyataan polis.
Begitu juga, sebarang kain rentang, poster atau sepanduk tidak boleh dipamerkan kecuali jika mereka telah mendapat kebenaran daripada pegawai polis yang meluluskan permit.
Polis turut menjelaskan bahawa kenderaan yang digunakan dalam perarakan perlu terus bergerak – kecuali jika pemandu sedang mematuhi isyarat lalu lintas, arahan pegawai penguatkuasa, atau melakukan sedemikian demi keselamatan diri atau pengguna jalan raya yang lain.
Polis menegaskan bahawa kenderaan perarakan itu harus dipandu dengan selamat, dengan mengambil kira keselamatan semua penumpang.
“Kenderaan tidak boleh dipandu melebihi had laju 15 kilometer sejam jika terdapat individu di ruang terbuka yang tidak berada dalam posisi duduk,” menurut kenyataan polis.
Semua kenderaan yang digunakan dalam perarakan perlu mematuhi syarat pendaftaran dan keperluan teknikal yang ditetapkan di bawah Akta Lalu lintas Jalan raya 1961 serta perundangan subsidiarinya.
Oleh itu, binaan kenderaan atau jenis iklan yang dibawa tidak boleh menimbulkan bahaya atau halangan kepada pengguna jalan raya yang lain.
Kenderaan yang digunakan mesti dilindungi insurans yang sah pada setiap masa, bagi menjamin pampasan sekiranya berlaku kematian atau kecederaan akibat penggunaannya di jalan raya, tambah polis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg