Sebanyak 92 daripada 97 kerusi Parlimen akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum (GE2025) 3 Mei ini selepas Hari Penamaan Calon pada 23 April yang menyaksikan beberapa kejutan.
Antara kejutan besar ialah apabila pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) – seramai lima anggota – di GRC Marine Parade-Braddell Heights, menang tanpa bertanding, meskipun kawasan undi tersebut dijangka mendapat saingan sengit daripada Parti Pekerja (WP).
Satu lagi kejutan ialah perubahan saat-saat akhir dua menteri berprofil tinggi – Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Encik Gan, berpindah dari GRC Chua Chu Kang untuk menerajui kawasan undi baru, GRC Punggol, manakala Dr Tan meninggalkan kerusinya di GRC Marine Parade-Braddell Heights untuk memimpin GRC Chua Chu Kang.
Teka-teki mengenai dua lagi Menteri, DPM Heng Swee Keat dan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, terjawab apabila kededuanya mengumumkan persaraan mereka.
Satu lagi persaingan yang dijangka mendapat tumpuan ialah GRC Tampines, yang menyaksikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memimpin pasukan PAP dalam pertandingan empat penjuru.
Antara pasukan yang bertanding ialah WP yang diketuai Naib Pengerusinya, Encik Muhamad Faisal Abdul Manap, dan empat muka baru.
Encik Muhamad Faisal berpindah dari GRC Aljunied di mana beliau telah menjadi Anggota Parlimen (AP) sejak 2011.
Ini merupakan kali pertama dua pasukan bertanding diketuai oleh calon Melayu.
Dua lagi parti yang bertanding di GRC Tampines ialah Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Encik Masagos berkata jumlah parti pembangkang yang bertanding di Tampines “tidak penting”.
“Lebih penting bagi kami, siapa saja yang datang ke sini, kami perlu bersedia, mengembangkan janji yang telah kami tunaikan, dan menunjukkan apa yang boleh kami lakukan sebagai satu pasukan supaya penduduk terus mendapat manfaat,” katanya.
Sementara itu, pertanyaan ramai mengenai strategi parti pembangkang, WP, juga terjawab dengan setiausaha agung parti tersebut, Encik Pritam Singh dan pengerusinya, Cik Sylvia Lim, kekal di GRC Aljunied.
Parti WP juga menghantar “calon bintangnya”, Encik Harpreet Singh Nehal, peguam kanan, ke GRC Punggol, sekali gus menjadikan kawasan undi itu sebagai antara medan sengit dalam pilihan raya ini.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan mempertahankan kerusinya di GRC Marsiling-Yew Tee, yang turut dianggotai, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad; Encik Alex Yam dan Cik Hany Soh.
Dalam ucapan ringkas selepas proses penamaan calon ditutup, Encik Wong menggesa pengundi agar memberi sokongan kepada PAP di kawasan undi serata Singapura.
“Kita kini sedang berdepan dunia yang semakin bergelora dan dalam pilihan raya ini banyak yang dipertaruhkan. Undi anda akan menentukan masa depan anda dan masa depan anak-anak anda,” ujar beliau.
Pada akhir Hari Penamaan Calon, PAP merupakan satu-satunya parti yang mengetengahkan calon bagi semua 97 kerusi di 33 kawasan undi.
Lawan terbesar parti pemerintah itu ialah WP yang akan bersaing untuk 26 kerusi di lapan kawasan undi.
Parti Kemajuan Singapura (PSP), pula menurunkan 13 calon di enam kawasan undi. Jumlah tersebut jauh lebih kecil berbanding 24 pada pilihan raya yang lepas pada 2020.
PAR menurunkan 13 calon, Titik Merah Bersatu (RDU) 15, SDP 11, PPP dan NSP kededuanya 10.
WP menarik perhatian dengan keputusannya untuk tidak bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Ia adalah kali pertama kawasan undi tidak dipertandingkan sejak pilihan raya 2011, apabila pasukan PAP di GRC Tanjong Pagar menang tanpa bertanding.
Ditemui media selepas proses pencalonan berakhir, Encik Pritam berkata:
“Ia tidak bermakna kami sudah tiada (di GRC Marine Parade-Braddell Heights). Kami akan meneruskan kerja kami di sana selepas pilihan raya umum.
“Kami adalah parti politik yang kecil. Kami cuba mengambil keputusan terbaik untuk bersaing dalam pilihan raya, dan ini adalah strategi kami untuk pilihan raya ini.”
Selain Tampines, lain-lain kawasan undi yang mempunyai lebih daripada dua parti bertanding ialah GRC Ang Mo Kio, Sembawang dan SMC Potong Pasir dan Radin Mas.
Di Ang Mo Kio, pasukan PAP yang dipimpin Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, akan berdepan dengan lawan daripada PPP dan Parti Bersatu Singapura (SUP), manakala pengundi di Sembawang akan melihat saingan antara PAP, NSP dan Parti Demokratik Singapura (SDP).
Pada 2020, PAP memenangi 61.23 peratus undi, dan kembali berkuasa dengan 83 daripada 93 kerusi.
Bagaimanapun, parti pemerintah itu kehilangan GRC keduanya, GRC Sengkang, kepada WP. WP memenangi 10 kerusi di Aljunied, Sengkang dan Hougang.
PSP pula kalah tipis di GRC West Coast dan dua calonnya – Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa – dilantik sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg