Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calvin Cheng ‘amat sesal’ komennya cetus kemarahan masyarakat Melayu/Islam

Kini lebih sedar untuk bersikap sensitif, selepas temui Ustaz Pasuni dan Ustaz Hasbi, anggota masyarakat Melayu / Islam
Apr 10, 2025 | 2:29 PM
Bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng (kiri) bertemu Ustaz Mohamad Hasbi Hassan (tiga dari kiri) dan Ustaz Pasuni Maulan (dua dari kiri) untuk meluahkan rasa sesalnya terhadap kenyataan yang dimuat naiknya pada 13 Mac berhubung isu Gaza di Masjid Yusof Ishak pada 9 April.
Bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng (kiri) bertemu Ustaz Mohamad Hasbi Hassan (tiga dari kiri) dan Ustaz Pasuni Maulan (dua dari kiri) untuk meluahkan rasa sesalnya terhadap kenyataan yang dimuat naiknya pada 13 Mac berhubung isu Gaza di Masjid Yusof Ishak pada 9 April. - Foto CALVIN CHENG

Bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, telah meluahkan rasa sesal yang mendalam kerana membuat kenyataan di media sosial yang telah mencetus kemarahan dan rasa sakit hati dalam masyarakat Islam.

Beliau merujuk kepada hantaran Facebooknya pada 13 Mac yang mengkritik kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity dan mencadang agar mereka “dipindahkan ke Gaza”, dengan syarat “mereka tidak kembali” ke Singapura.

Dalam hantaran Facebook pada 10 April, Encik Cheng berkata beliau telah bertemu dengan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan Ustaz Pasuni Maulan di Masjid Yusof Ishak pada 9 April untuk meluahkan rasa sesal yang mendalam itu.

Semasa pertemuan itu, Encik Cheng menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menyerang mana-mana masyarakat atau kepercayaan, dan menekankan bahawa komennya itu ditujukan khusus kepada kumpulan aktivis Monday for Palestine, yang merangkumi orang Cina dan India, dan mempunyai pengikut berbilang agama.

Ustaz Hasbi merupakan Pengerusi Majlis Masyayikh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) sementara Ustaz Pasuni juga merupakan anggota majlis tersebut.

Menurut Encik Cheng, beliau juga telah berhubungan dengan anggota masyarakat Melayu/Muslim sejak minggu lalu dan kini sedar beliau seharusnya bersikap lebih sensitif berhubung hujahnya.

“Saya memberitahu kedua-dua ustaz mapan itu bahawa saya telah bercakap dengan anggota masyarakat Melayu/Islam sejak minggu lepas.

“Saya sedar bahawa saya sepatutnya lebih sensitif dengan kenyataan saya. Saya tidak sepatutnya berkata sedemikian (walaupun dalam gurauan) bahawa orang harus pergi ke zon konflik,” kata Encik Cheng.

Beliau menambah kenyataan yang dibuatnya pada 13 Mac itu dibuat kerana beliau secara khusus kecewa dengan aktivisme kumpulan itu yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat dan tegurannya itu tidak disasarkan kepada masyarakat Islam.

Encik Cheng berkata susulan pertemuannya dengan kededua ustaz itu, mereka telah menasihatinya untuk lebih sensitif pada masa hadapan, dalam apa jua yang dikatakannya.

“Saya amat bersyukur kerana Ustaz Pasuni dan Ustaz Hasbi sudi bertemu saya dan mendengar serta bercakap tentang perdamaian dan penyembuhan. Saya berterima kasih kepada mereka atas kebaikan, pemahaman dan belas kasihan mereka,” kata Encik Cheng.

Dalam pada itu, Encik Cheng berkongsi beliau juga telah berkongsi dengan Ustaz Pasuni dan Ustaz Hasbi bahawa sesetengah orang telah salah mengaitkan beberapa kenyataan lain kepadanya, walaupun beliau tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan itu.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa beliau berhasrat meneruskan tindakan undang-undang kepada pihak-pihak tersebut atas kenyataan tidak benar itu.

Pada 13 Mac, Encik Cheng memuat naik satu catatan di Facebook, mengkritik kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity, yang mengganggu MPS di beberapa tempat, dan berkata beliau akan “menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza”, dengan syarat “mereka tidak akan kembali” ke Singapura.

Beliau juga akan menawarkan “kelas penerbangan bisnes“ kepada ketua kumpulan itu, dan akan membeli “beberapa kasut berjalan” untuk “928 pengikut mereka”.

Kenyataan Encik Cheng pada 10 April itu dikeluarkan sehari selepas Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata bahawa hantaran Facebook Encik Cheng pada 13 Mac itu berhubung Gaza tidak beradab dan telah menggores perasaan masyarakat Melayu/Islam.

Kenyataannya itu telah mengundang kemarahan ramai warga khususnya masyarakat Melayu/Islam, yang menyifatkan kata-katanya itu sebagai tidak sensitif dan kurang peka kepada penderitaan warga di Gaza.

Ia juga mengundang respons daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang melahirkan rasa tidak setuju dengan kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden itu, termasuk oleh mantan pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Jufrie Mahmood yang menyifatkan kenyataan Encik Cheng itu sebagai “memupuk Islamofobia dan sentimen ekstremis”.

Encik Cheng berkata dalam satu pos Facebook pada 2 April beliau akan mengambil tindakan guaman berkaitan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya, termasuk yang dibuat Encik Jufrie serta setiausaha agung Parti Reformasi (RP), Encik Kenneth Jeyaretnam, dan penerbitan dalam talian The Online Citizen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg