Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergas: Kenyataan Calvin Cheng amat merisaukan, gesa individu buat kenyataan tidak sensitif dipertanggungjawabkan

Apr 7, 2025 | 8:46 PM
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) berkata individu yang menghasut kebencian, mencetus perpecahan dan membuat kenyataan tidak sensitif dan berbahaya harus dipertanggungjawabkan.
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) berkata individu yang menghasut kebencian, mencetus perpecahan dan membuat kenyataan tidak sensitif dan berbahaya harus dipertanggungjawabkan. - Foto fail

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) berkata kenyataan dibuat oleh Encik Calvin Cheng tentang individu tertentu dihantar ke Gaza dan tidak dibenarkan pulang, amat merisaukan.

Kenyataan itu dimuat naik ke Facebook pada 6 April, sebagai respons kepada kenyataan bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan pengulas sosiopolitik itu dalam satu pos mengenai isu Israel-Palestin.

Dalam catatannya itu, Pergas melahirkan rasa kebimbangan mendalam kerana kenyataan itu bukan sahaja boleh melukakan perasaan, malah boleh menanam benih ketidakpercayaan dan perpecahan di dalam sebuah negara yang telah berdekad membina sikap hormat-menghormati antara penganut berbilang agama dan etnik.

Ia juga menyeru agar individu yang buat kenyataan tidak sensitif dipertanggungjawabkan serta menggesa pihak berkuasa yang berkaitan untuk “melaksanakan apa yang perlu untuk melindungi fabrik sosial negara”.

“Kenyataan beliau, terutamanya sindiran bahawa individu tertentu dihantar ke Gaza dan tidak dibenarkan pulang, amat merisaukan dan berisiko menjejaskan perpaduan sosial yang dipupuk dengan susah payah yang mentakrifkan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.

“Adalah mengecewakan bahawa daripada memupuk perbincangan berlandaskan rasa saling hormat, beliau telah memilih untuk mempersenda dan mengasingkan warga Singapura, yang ramai daripada mereka meluahkan perasaan empati dan solidariti sebagai respons terhadap penderitaan kemanusiaan,” kata Pergas.

Pada 13 Mac, Encik Cheng telah memuat naik satu catatan di Facebook, mengkritik kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity, yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat, dan berkata akan menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza, dengan syarat mereka tidak kembali ke Singapura.

Beliau juga menawarkan kelas penerbangan perniagaan kepada ketua kumpulan itu, dan akan membeli “beberapa kasut” untuk “928 pengikut mereka”.

Dalam satu catatan di Facebook pada 7 April, sebagai respons kepada kenyataan Pergas, Encik Cheng menekankan komennya itu tidak ditujukan kepada mana-mana kaum atau agama.

“Saya tidak menyebut kaum atau agama dalam catatan saya pada 13 Mac 2025. Saya tujukan kenyataan saya kepada sekumpulan orang yang termasuk bukan Islam. Kenyataan itu tidak ditujukan kepada mana-mana kumpulan yang ditentukan oleh kaum atau agama.

“Catatan itu masih disiarkan dan faktanya jelas... Saya faham sentimen Pergas; saya harap mereka akan membaca semula catatan saya dalam konteks ini,” kata Encik Cheng, sambil menambah belau telah mengambil tindakan guaman ke atas beberapa individu yang dituduh memutarbelitkan kenyataannya.

Kenyataannya pada 13 Mac itu telah mengundang kemarahan ramai warga khususnya masyarakat Melayu/Islam, yang menyifatkan kata-katanya itu sebagai tidak sensitif dan kurang peka kepada penderitaan warga di Gaza.

Ia juga mengundang respons daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang melahirkan rasa tidak setuju dengan kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya satu laporan polis telah dibuat oleh mantan pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Jufrie Mahmood yang menyifatkan kenyataan Encik Cheng itu sebagai “memupuk Islamofobia dan sentimen ekstremis”.

Pada 2 April, Encik Cheng berkata beliau akan mengambil tindakan guaman berkaitan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya, termasuk yang dibuat Encik Jufrie serta setiausaha agung Parti Reformasi (RP), Encik Kenneth Jeyaretnam, dan penerbitan dalam talian The Online Citizen.

Sementara itu, satu acara kemasyarakatan di bawah GRC Tampines – Tampines SG60 Cares – juga terjejas dengan Encik Cheng menyalur semula dana yang dikumpulkannya buat acara tersebut, kepada SGSHARE.

Sebelum ini, beliau telah membantu mengumpul hampir $200,000, hasil sumbangan rakan-rakannya yang baru menjadi warganegara Singapura untuk disalur kepada inisiatif Tampines SG60 Cares.

Meskipun dana tersebut telah disalur semula ke badan lain, Encik Masagos, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, berkata skim Tampines SG60 Cares tetap akan diteruskan, dengan pengumpulan dana daripada individu lain.

Satu lagi isu yang timbul ialah apabila akaun Facebook Dr Balakrishnan dan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, didapati memberi tanda ‘like’ (suka) pada pos Facebook Encik Cheng pada 13 Mac itu.

Pada 2 April, Dr Balakrishnan berkata beliau tidak memberikan ‘like’ pada catatan itu dan satu laporan telah difailkan kepada Meta berkenaan “aktiviti tidak dibenarkan” di laman Facebooknya.

Encik Tan pula berkata beliau berbuat demikian secara tidak sengaja dan sudah menarik balik tanda ‘like’ selepas kumpulan aktivis itu menyoalnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg