Topik diikuti
Pergi ke BHkuCara S’pura manfaat teknologi, AI demi masa depan berdaya tahan
Singapura terus memanfaatkan teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) mengikut acuannya sendiri demi memastikan negara kekal dipercayai, relevan, dan berdaya tahan di tengah-tengah dunia yang bergelora.
Semasa menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 23 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkongsi bagaimana kemajuan ini telah mula mengubah pelbagai sektor kehidupan rakyat, terutama dalam bidang penjagaan kesihatan dan pengangkutan.
Berikut empat cara utama teknologi dan AI sedang dimanfaatkan untuk meningkatkan mutu hidup rakyat Singapura:
Penjagaan kesihatan diperibadikan
Menerusi inisiatif nasional Kementerian Kesihatan (MOH), SG Lebih Sihat, Singapura kini memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk merangka pelan senaman yang disesuaikan dengan keperluan dan kemampuan setiap individu.
Pendekatan ini membolehkan pesakit bekerjasama dengan doktor keluarga (GP) untuk menetapkan matlamat kesihatan masing-masing.
Antaranya, alat AI boleh menyarankan jenis senaman berdasarkan tahap keupayaan fizikal seseorang, sekali gus membantu mereka membina rutin yang sesuai untuk kekal aktif dan cergas seiring peningkatan usia.
Ketepatan diagnostik perubatan lebih tinggi
AI kini turut membawa perubahan besar dalam bidang diagnostik klinikal dan boleh bertindak sebagai ‘mata tambahan’ yang membantu pakar radiologi meneliti imbasan dengan lebih pantas dan tepat.
Mengambil saringan barah payu dara sebagai contoh, Encik Wong menjelaskan bahawa tisu payu dara yang padat dan ketumbuhan barah boleh kelihatan putih pada imbasan mamogram, sekali gus menyukarkan proses pengesanan.
Justeru, dengan bantuan AI, pakar radiologi menganalisis imbasan dengan lebih pantas dan tepat.
Selain meringankan beban kerja pakar, teknologi itu juga mengurangkan risiko kesilapan diagnosis yang boleh membawa kesan serius terhadap pesakit.
Ujian genomik yang diperluas, mampu milik
Dua dekad lalu, penjujukan genom merupakan proses mewah yang menelan kos puluhan juta dolar.
Namun, kemajuan teknologi kini telah menurunkannya kepada hanya beberapa ratus dolar, ujar Encik Wong.
Perubahan kos ini membolehkan doktor mengenal pasti pesakit yang mewarisi penyakit seperti barah dan kolesterol tinggi secara meluas.
Kenderaan autonomi sokong peralihan pekerja
Singapura kini giat menguji kenderaan berautonomi (AV) dan bersedia memperluas penggunaannya secara berperingkat sebagai sebahagian daripada landskap pengangkutan masa hadapan.
Langkah itu penting bagi menangani kekangan tenaga kerja dalam sektor pengangkutan, termasuk kesukaran mendapatkan kapten bas serta pemandu teksi.
Pemerintah turut komited untuk menyokong pemandu teksi dan kereta sewa privet yang terjejas, termasuk menerusi latihan semula bagi membantu mereka beralih ke peluang pekerjaan baharu.
