Beberapa minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, saya bereksperimen menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai panduan untuk membantu saya membuat kuih tart nanas.

Pengalaman ini membuat saya merenung sejauh mana teknologi telah diterapkan dalam kehidupan seharian kita.

Saya teringat akan perkara ini sekali lagi dengan pelancaran perkhidmatan bas ulang-alik pandu sendiri yang dikendalikan syarikat perkhidmatan e-panggilan Grab, bersama syarikat kenderaan autonomi (AV) dari China, WeRide, di Punggol mulai 1 April 2026.

Langkah tersebut diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 4 Mac.

Khususnya, orang ramai boleh mendaftar untuk menaiki perkhidmatan ini mulai 25 Mac, dengan perkhidmatan tersebut pada peringkat awal ditawarkan secara percuma.

Ini sebelum ia beralih kepada model berbayar kemudian pada 2026.

Perkhidmatan ini merangkumi dua laluan – daripada Punggol West ke Punggol East, dan daripada Punggol West ke Punggol North.

Laluan sepanjang 10 kilometer (km) dari Punggol West ke Punggol East merangkumi empat hentian dan mengambil masa kira-kira 35 minit apabila trafik lancar – Punggol Matilda Court Blk 234; Punggol Clover Blok 204A; Punggol Plaza; dan Oasis Terraces.

Sementara itu, laluan sepanjang 12km dari Punggol West ke Punggol North merangkumi lima hentian dan mengambil masa sekitar 40 minit ketika trafik lancar – Punggol Matilda Court Blok 234; Punggol Clover Blok 204A; One Punggol yang terletak sebelah stesen LRT Sam Kee; Punggol Northshore Blok 420A; dan Punggol Coast Mall (Pusat Pertukaran Bas).

Dengan itu, tercetus persoalan dalam fikiran saya: Sejauh manakah kita bersedia mahu menerima dunia yang semakin berpandukan automasi?

Sekilas pandang, pengenalan bas ulang-alik tanpa pemandu mungkin kelihatan sebagai langkah semula jadi dalam usaha Singapura ke arah sistem pengangkutan lebih pintar dan cekap.

Lagipun, kenderaan tersebut menjanjikan masa perjalanan harian lebih singkat, hubungan lebih baik, serta gambaran tentang bagaimana perjalanan harian pada masa hadapan mungkin kelihatan.

Di kawasan perumahan seperti Punggol, yang terus membangun dengan pesat, inovasi sebegini berpotensi meningkatkan kehidupan harian penduduk.

Memandangkan Daerah Digital Punggol (PDD) terletak di sana juga, inovasi seperti ini juga menyediakan tapak ujian yang sesuai untuk mencuba dan menilai pelbagai idea baru.

Kalau kita merenung lebih mendalam, kita sebenarnya sudah terbiasa bergantung kepada teknologi untuk membimbing perjalanan kita.

Antaranya, penggunaan peranti umpama Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) untuk menentukan laluan terpantas dari satu tempat ke tempat lain, hingga kepada mengemas kini masa nyata kepada pemandu tentang keadaan trafik.

Suara lantang daripada telefon bimbit kita yang berbunyi seperti “Dalam 500 meter, belok kiri”, “Kamera lampu isyarat di hadapan” dan kemudian diikuti arahan seterusnya yang membimbing setiap pergerakan perjalanan.

Bahkan, apabila pemandu tersasar daripada laluan yang disarankan, GPS dengan pantas akan mengira semula perjalanan dan mencadangkan laluan alternatif.

Oleh itu, peralihan ke arah pengangkutan tanpa pemandu mungkin tidaklah begitu mendadak seperti yang disangka, sebaliknya merupakan kesinambungan kepada kebergantungan yang telah lama terbina.

Sementara itu, satu perubahan yang menimbulkan persoalan lebih mendalam adalah tentang peranan manusia dalam persekitaran yang semakin berpandukan automasi.

Idea untuk menaiki kenderaan tanpa pemandu mungkin terasa asing atau janggal hari ini, tetapi ia dengan pantas menjadi satu kenyataan di tempat lain.

Di bandar seperti Shenzhen, China, teksi yang tidak dipandu manusia, atau lebih dikenali sebagai roboteksi, telah pun diperkenalkan walaupun dalam laluan terhad dan di bawah keadaan terkawal.

Ternyata, ia menandakan bahawa ini bukan lagi masa depan yang jauh, tetapi sesuatu yang mungkin muncul pada masa ‘dekat’.

Bagaimana ‘dekat’ masa depan tersebut, saya kurang pasti.

Tidak dinafikan teknologi secara asasnya sangat membantu dalam kita mengejar kecekapan.

Ia mengurangkan masa menunggu, mengoptimumkan laluan dan membasmi ketidaktentuan akibat kesilapan manusia.

Namun, ia juga berpotensi mengurangkan peranan dan sentuhan kemanusiaan yang mungkin kelihatan kurang ketara atau semakin berperanan di belakang tabir.

Cabarannya bukanlah sama ada automasi harus berlaku, tetapi bagaimana orang ramai menyesuaikan diri dengannya dan bagaimana kita diperkasakan dalam memanfaatkan teknologi dengan berkesan.

Apabila kenderaan tanpa pemandu muncul di jalan raya Punggol, ia adalah satu peringatan bagi saya dalam cara kita hidup, bekerja, dan berinteraksi dengan teknologi.