Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Carousell, Facebook perlu sahkan identiti penjual, pengiklan ‘berisiko’ untuk cegah penipuan

Jun 21, 2024 | 7:03 PM
Syarikat penyedia teknologi yang gagal mematuhi kod amalan baru itu boleh diarahkan untuk mengambil tindakan pembetulan.
Syarikat penyedia teknologi yang gagal mematuhi kod amalan baru itu boleh diarahkan untuk mengambil tindakan pembetulan. - Foto ST

Mulai 26 Jun, penyedia khidmat dalam talian, Carousell dan Facebook, perlu mengesahkan identiti penjual dan pengiklan yang “berisiko”, berdasarkan rekod yang dikeluarkan pemerintah, sedang pihak berkuasa di sini berusaha membanteras penipuan e-dagang.

Wadah media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, Telegram dan WeChat juga perlu melaksanakan langkah pengesahan wajar untuk menghapuskan akaun palsu kendalian penipu atau bot bagi kegiatan berniat jahat, menjelang akhir tahun 2024.

Kewajipan tersebut dinyatakan dalam kod amalan yang baru dikeluarkan, bertujuan mencegah penipu yang mengambil kesempatan daripada akaun tanpa nama atau anonymous di wadah e-dagang dan mesej untuk menjalankan kegiatan jenayah.

Kegagalan mematuhi kod amalan tersebut adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) yang baru.  

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), yang mengeluarkan kod tersebut pada 21 Jun, berkata pemerintah akan terus bekerjasama dengan industri untuk mengurangkan kesan kegiatan jenayah di ruang siber terhadap pengguna Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Di bawah Kod Amalan bagi Khidmat E-Dagang, Facebook dan Carousell hanya perlu mengesahkan identiti penjual yang dianggap “berisiko”, sebagai permulaan.

“Penjual berisiko” adalah penjual yang dikenal pasti oleh wadah tersebut sebagai sumber yang mungkin melakukan penipuan.

Jika bilangan penipuan yang dilaporkan di Facebook Marketplace, iklan Facebook dan Carousell tidak berkurangan secara ketara, MHA akan memerlukan kededua syarikat itu mengesahkan identiti ke atas semua penjual dan pengiklan menjelang awal 2025.

Kod tersebut juga memerlukan wadah e-dagang menyediakan mekanisme perlindungan pembayaran yang mengesahkan penghantaran barangan atau perkhidmatan sebelum bayaran dibuat kepada penjual, namun MHA telah mengetepikan keperluan ini buat masa ini.

Kod kedua, iaitu Kod Amalan bagi Khidmat Komunikasi Dalam Talian, memerlukan Facebook, WhatsApp, Instagram, Telegram dan WeChat mengambil tindakan proaktif terhadap penipuan yang disyaki dan kegiatan siber berniat jahat dengan mewujudkan saluran pantas untuk menerima dan bertindak berdasarkan laporan pihak berkuasa.

Menjelang akhir 2024, kesemua wadah tersebut juga mesti melaksanakan langkah pengesahan wajar untuk menghapuskan akaun palsu kendalian penipu atau bot bagi kegiatan berniat jahat.

Laporan tahunan mengenai pelaksanaan pelbagai langkah itu mesti dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Syarikat penyedia teknologi yang gagal mematuhi kod amalan itu boleh diarahkan untuk mengambil tindakan pembetulan.

Kegagalan mematuhi notis pembetulan adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan denda sehingga $1 juta di bawah Ocha, yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2024.

Lebih 13,000 kandungan jenayah dalam talian dan aktiviti dalam talian, termasuk penipuan, berjaya dicegah oleh Ocha sejak undang-undang itu berkuat kuasa, menurut MHA.

Ketua kakitangan Carousell, Cik Tan Su Lin, berkata syarikatnya akan berusaha gigih untuk mematuhi kod tersebut dengan mewajibkan kededua pembeli dan penjual yang dianggap “berisiko” untuk mengesahkan identiti mereka melalui Singpass.

Penjual yang mencurigakan biasanya adalah mereka yang menggunakan akaun baru dan mempunyai penilaian profil rendah dan jumlah perbualan tinggi, serta tabiat mengiklan pelbagai produk popular pada harga menarik yang sukar dipercayai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg