Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penjenayah kaup RM2.5j menyamar jadi kenalan untuk pinjam wang

Jan 22, 2024 | 12:40 PM
LICIK MENIPU: Penjenayah menggodam aplikasi Telegram dan WhatsApp sebelum menyamar sebagai kenalan mangsa untuk meminjam wang sehingga menyebabkan mangsa kerugian jutaan ringgit.
LICIK MENIPU: Penjenayah menggodam aplikasi Telegram dan WhatsApp sebelum menyamar sebagai kenalan mangsa untuk meminjam wang sehingga menyebabkan mangsa kerugian jutaan ringgit. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Modus operandi penjenayah yang menyamar sebagai kenalan dan mahu meminjam wang selepas menggodam aplikasi media sosial mangsa menyebabkan 494 kes penipuan direkodkan membabitkan kerugian RM2.5 juta ($0.71 juta) sepanjang 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya mengesan kegiatan penipuan dengan menyamar sebagai rakan atau kenalan di aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Telegram, Facebook dan sebagainya.

Beliau berkata meminjam wang adalah satu daripada modus operandi digunakan penjenayah dalam memperdaya dan melakukan penipuan.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini didapati melakukan penggodaman terhadap akaun Telegram dan WhatsApp milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh daripada aplikasi itu untuk meminjam wang,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM) pada 21 Januari.

Mengulas lanjut, Datuk Ramli berkata bagi tempoh 1 hingga 20 Januari 2024 saja, sebanyak 50 kes penipuan dilaporkan membabitkan kerugian RM238,732.

Katanya, pemilik sebenar akaun hanya menyedari perkara itu apabila mereka tidak dapat mengakses atau menerima panggilan daripada kenalan berkaitan kesahihan pinjaman wang ingin dibuat.

Beliau berkata sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihat tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang diterima daripada kenalan terutama apabila akaun bank digunakan adalah milik individu lain.

Sementara itu dalam satu kes penipuan terbaru di Seremban, Negeri Sembilan pada 19 Januari, seorang suri rumah mengalami kerugian hampir RM1.5 juta selepas terpedaya dengan panggilan penipuan oleh individu menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Seremban, Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Hatta Che Din, berkata pihaknya menerima satu laporan berhubung modus operandi sindiket panggilan penipuan terbabit.

“Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali menyamar sebagai polis dan menyatakan mangsa adalah suspek yang terbabit dalam jenayah penipuan.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat pembayaran wang ke beberapa akaun bank milik individu tidak dikenali itu sebelum mangsa menyedari ditipu,” katanya lapor BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg