Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Casa Raudha buka pusat sehenti pertama

Mangsa dera domestik kini boleh dapat bantuan lebih mudah di Casa Raudha Cares
Feb 22, 2025 | 6:03 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (dua dari kiri), bersama (dari kiri) Pengarah Eksekutif Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff; Pengerusi Singapore Pools, Encik Kai Nargolwala; Anggota Pengasas dan Anggota Lembaga Casa Raudha, Encik Hamzah Abdul Mutalib; dan Pengerusi Casa Raudha, Cik Shahrany Hassan, meninjau kemudahan baru Casa Raudha Cares pada 22 Februari.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (dua dari kiri), bersama (dari kiri) Pengarah Eksekutif Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff; Pengerusi Singapore Pools, Encik Kai Nargolwala; Anggota Pengasas dan Anggota Lembaga Casa Raudha, Encik Hamzah Abdul Mutalib; dan Pengerusi Casa Raudha, Cik Shahrany Hassan, meninjau kemudahan baru Casa Raudha Cares pada 22 Februari. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Mangsa keganasan domestik kini boleh mendapatkan bantuan dengan lebih mudah sedang badan kebajikan Casa Raudha membuka pusat sehenti pertamanya di kawasan kejiranan Bedok di 26 New Upper Changi Road.

Lazimnya, mangsa dirujuk kepada rumah kebajikan Casa Raudha menerusi pusat perkhidmatan keluarga, hospital atau setelah mereka membuat laporan polis.

Namun kini, golongan tersebut boleh terus ke pusat sehenti yang diberi nama Casa Raudha Cares, untuk mendapatkan bantuan segera – tidak kira untuk dinilai sama ada kes mereka berat sehingga perlu dipindah ke rumah kebajikan, ataupun untuk menerima khidmat kaunseling supaya dapat merujuk kembali dengan pasangan mereka.

Pada 22 Februari, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, membuka kemudahan sebesar 1,550 kaki persegi tersebut secara rasmi. Pusat sehenti itu juga merupakan ibu pejabat Casa Raudha.

Dalam ucapannya sewaktu rumah terbuka pusat itu, Encik Heng memuji usaha badan kebajikan tersebut dalam memastikan sokongan yang diberikan bukan sahaja dihulurkan pada tahap awal dari segi bantuan segera di rumah kebajikan, bahkan dalam jangka masa panjang.

Pendirian tegas, katanya, perlu diambil dalam menentang keganasan domestik dan usaha tersebut memerlukan usaha seluruh masyarakat, termasuk jiran.

“Saya rasa salah satu aspek menjadi jiran yang baik adalah untuk memberi sokongan semampu kita – apabila kita lihat keganasan, apabila kita lihat masalah, kita patut bersedia membuat laporan dan lebih baik lagi jika kita boleh membantu,” jelasnya.

Casa Raudha sudah mempunyai dua rumah kebajikan yang menempatkan mangsa keganasan domestik, termasuk kanak-kanak.

Di pusat sehenti Casa Raudha Cares pula, sokongannya lebih menyeluruh.

Penerima bantuan boleh mendapatkan khidmat kaunseling bagi membantu mereka menangani cabaran hidup ataupun khidmat merujuk kembali bersama pasangan mereka supaya hubungan sihat tanpa keganasan dapat dibina semula.

Ditemui Berita Minggu (BM), Pengarah Eksekutif Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff, berkata pusat sehenti itu menawarkan ruang yang bersifat ‘neutral’.

“Apabila kami nak jumpa dengan pasangan mereka (mangsa), iaitu si pendera, kami tidak boleh melakukannya di rumah kebajikan kerana ia tempat terlindung... tempat ini adalah untuk mereka yang ingin merujuk kembali dengan suami atau dengan isteri – pendera mereka – jadi di sini mereka boleh berbincang,” katanya.

Menurutnya, pusat tersebut juga terbuka kepada orang awam, termasuk mereka yang mengalami penderaan serta individu yang ingin belajar bagaimana mereka boleh menyokong rakan atau anggota keluarga yang berdepan dengan keganasan rumah tangga.

“Mereka yang datang ke Casa Raudha Cares akan menjalani penilaian keselamatan dan jika mereka memerlukan perlindungan segera, kami boleh memudahkan kemasukan terus ke tempat perlindungan kami serta merujuk mereka kepada sumber sokongan masyarakat lain,” tambahnya.

Di pusat tersebut, program mengubah sikap, kumpulan sokongan rakan sebaya serta bengkel pendidikan akan diadakan bagi memperbaiki tabiat berbahaya.

Pusat tersebut juga mengadakan inisiatif pendekatan masyarakat selain menghulurkan sokongan pascapenjagaan bagi penghuni yang sudah keluar daripada rumah kebajikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg