Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CDA boleh diguna tampung kos sampingan prasekolah mulai Mei

Mar 10, 2025 | 6:24 PM
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling.
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling. - Foto MDDI

Mulai Mei 2025, ibu bapa boleh menggunakan Akaun Pembangunan Anak (CDA) untuk menampung semua kos sampingan di prasekolah yang berdaftar di bawah skim CDA.

Ini akan meliputi program pengayaan yang disediakan oleh prasekolah, seperti kelas pertuturan, drama, robotik dan pengekodan.

Mengumumkan demikian semasa perbahasan Belanjawan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata peluasan skim CDA bertujuan memenuhi keperluan keluarga dengan lebih baik.

“Bagi kebanyakan orang, peluasan penggunaan CDA akan sediakan lebih banyak sokongan kewangan bagi anak-anak mereka yang berada di prasekolah, untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang pembelajaran yang ditawarkan oleh prasekolah mereka,” kata Cik Sun.

Beliau turut menambah bahawa pemerintah akan menyokong keluarga individu kurang upaya untuk merancang lebih awal bagi keperluan kewangan jangka panjang anak-anak mereka.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sebelum ini mengumumkan bahawa Skim Simpanan Persaraan Sepadan akan diperluas kepada individu kurang upaya pada semua peringkat umur, untuk membantu mereka membina simpanan persaraan yang mencukupi.

Pemerintah akan memadankan setiap dolar tambah nilai Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang diterima oleh individu kurang upaya yang layak, sehingga had tahunan $2,000 dan had seumur hidup $20,000. Ini meningkatkan simpanan persaraan dan pembayaran bulanan mereka.

MSF juga akan membolehkan lebih banyak keluarga individu kurang upaya merancang awal untuk keselamatan kewangan orang tersayang mereka.

Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) bekerjasama dengan ibu bapa kanak-kanak kurang upaya untuk menyediakan rancangan penjagaan terperinci yang menetapkan cara anak-anak mereka akan dijaga, selepas mereka meninggal dunia.

Semasa ucapan Belanjawannya pada 18 Februari, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah akan menyediakan geran sepadan sehingga $10,000 untuk tambah nilai oleh penjaga yang layak ke akaun amanah SNTC.

Rancangan penjagaan yang dibangunkan akan menentukan jumlah wang yang diperlukan untuk anak mereka dan cara jumlah itu boleh dibina dalam akaun amanah, seperti melalui wang tunai, hartanah, simpanan CPF dan pembayaran insurans.

Selepas penjaga meninggal dunia, SNTC akan mengeluarkan wang dalam akaun Amanah mengikut rancangan penjagaan yang ditetapkan.

“MSF akan memberi subsidi bagi yuran SNTC untuk perkhidmatan Amanah, untuk memastikan ini mampu dimiliki penjaga,” kata Cik Sun.

“Kami berharap ibu bapa kepada anak-anak kurang upaya akan rasa lebih terjamin bahawa anak mereka akan disokong, meskipun apabila mereka tidak lagi dapat melakukannya sendiri.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg