Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak sokongan kewangan bagi keluarga 3 anak atau lebih

Terima $1,000 setahun dalam bentuk Kredit LifeSG Keluarga Besar bagi setiap anak ketiga dan seterusnya pada tahun anak itu berumur satu hingga enam tahun
Feb 18, 2025 | 7:13 PM
Dengan adanya Skim Keluarga Besar, ibu bapa akan menerima sokongan kewangan tambahan sehingga $16,000 bagi setiap anak ketiga dan seterusnya.
Dengan adanya Skim Keluarga Besar, ibu bapa akan menerima sokongan kewangan tambahan sehingga $16,000 bagi setiap anak ketiga dan seterusnya. - Foto ST

Keluarga dengan tiga anak atau lebih akan menerima $1,000 setahun dalam bentuk Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC) bagi setiap anak ketiga dan seterusnya pada tahun-tahun anak-anak itu berumur satu hingga enam tahun.

Kredit itu boleh digunakan untuk membiayai pelbagai perbelanjaan isi rumah seperti barangan runcit, kos pengangkutan dan bil api air.

Ini sebahagian daripada Skim Keluarga Besar baru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Februari.

Skim baru itu bertujuan menyediakan lebih banyak sokongan kepada pasangan yang mempunyai tiga anak atau lebih, membina pada komitmen pemerintah untuk menyokong warga Singapura dalam memenuhi aspirasi keibubapaan mereka dan mewujudkan persekitaran lebih sesuai bagi keluarga berkembang maju.

Keluarga besar sedia ada dengan anak-anak berusia enam tahun dan ke bawah pada 2025 akan turut menerima LFLC $1,000 setahun bagi setiap anak ketiga dan seterusnya sehingga anak itu berusia enam tahun.

LFLC akan diberikan pada September 2025 bagi anak-anak yang layak yang berusia satu tahun hingga enam tahun pada 2025.

Bagi tahun-tahun berikutnya, LFLC akan diberikan pada April.

Dalam ucapan Belanjawannya, Encik Wong akur kos lebih besar merupakan kerisauan ramai ibu bapa dengan lebih ramai anak.

“Pasangan dengan lebih ramai anak sering risau akan kos tambahan kerana permintaan bertambah dengan setiap anak.

“Kami akan memperkenal Skim Keluarga Besar untuk menyokong pasangan yang sudah berkahwin yang mempunyai, atau menginginkan tiga anak atau lebih,” ujar beliau.

Selain LFLC, skim itu juga memperkenalkan Geran MediSave Keluarga Besar (LFMG) baru bernilai $5,000.

Geran itu akan dimasukkan ke akaun MediSave si ibu bagi setiap anak ketiga dan seterusnya yang dilahirkan pada atau selepas 18 Februari 2025.

Geran tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan sepanjang kehamilan serta kelahiran anak, serta bagi bil perubatan atau hospital tanggungan yang diluluskan.

Tambahan pada itu, di bawah Skim Keluarga Besar baru yang diumumkan, setiap kanak-kanak warga Singapura yang merupakan anak ketiga atau seterusnya yang lahir pada atau selepas 18 Februari akan menerima $10,000 dalam Geran Langkah Pertama Akaun Pembangunan Anak (CDA).

Setiap anak warga Singapura kini menerima $5,000 dalam Geran Langkah Pertama CDA mereka.

Wang dalam CDA boleh digunakan bagi perbelanjaan prasekolah dan penjagaan kesihatan yang ditanggung oleh anak tersebut atau adik-beradiknya.

Secara keseluruhan, dengan adanya LFS, ibu bapa akan menerima sokongan kewangan tambahan sehingga $16,000 bagi setiap anak ketiga dan seterusnya.

Namun, lebih daripada itu, LFS juga bertujuan memulakan gerakan seluruh masyarakat yang berterusan untuk meraikan dan menyokong keluarga besar dengan lebih baik, menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Ini termasuk melibatkan rakan kerja korporat untuk menyediakan pelbagai keistimewaan dan tawaran bagi keluarga besar untuk melengkapkan usaha pemerintah.

Setakat ini, sekitar 30 rakan kerja korporat merentas sektor seperti makanan dan minuman, runcit dan pengangkutan sudah pun ke hadapan untuk terlibat sama dalam usaha ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg