Ketua eksekutif syarikat minyak terbesar di dunia, Aramco, berkata peralihan daripada bahan api fosil bagi negara membangun “tidak realistik” dan “terlalu mahal”, sambil menambah bahawa bahan api fosil akan terus memainkan peranan bagi ekonomi sedang berkembang.
Menyampaikan ucap tama di sebuah persidangan tenaga di Singapura pada 21 Oktober yang tumpuan utamanya ialah penyahkarbonan, presiden merangkap ketua eksekutif syarikat milik kerajaan Arab Saudi itu, Encik Amin Nasser, memberitahu ratusan hadirin tenaga berasaskan fosil konvensional tidak boleh digantikan oleh sumber lebih bersih.
Sebaliknya, ia adalah mengenai memastikan sumber tenaga baru yang akan datang dipenuhi oleh alternatif, seperti bahan boleh diperbaharui, katanya.
“Oleh itu daripada satu peralihan tenaga, kita sebenarnya bercakap mengenai tambahan tenaga, di mana tambahan itu dipenuhi oleh (tenaga) alternatif, bukannya menggantikan tenaga konvensional dengan sembarang cara yang bermakna. Namun, rancangan peralihan semasa terus mengabaikan kenyataan ini,” Encik Nasser.
Pembakaran bahan api fosil mengeluarkan jejak karbon yang mempunyai kesan pada perubahan iklim. Apabila perubahan cuaca menjadi lebih teruk, negara semakin menyedari keperluan mendesak mengurangkan penggunaan bahan api fosil dalam menangani perubahan iklim.
Dalam ucapannya, Encik Nasser juga berkata dunia perlu “pragmatik”, dan membiarkan negara menyahkarbon pada kadar yang mereka anggap sesuai.
Proses peralihan negara daripada bahan bakar fosil “jauh lebih perlahan, jauh kurang saksama, dan jauh lebih rumit daripada yang dijangka banyak pihak”, tambahnya.
Beliau menekankan bahawa pelaburan perlu menumpukan pada penambahbaikan teknologi minyak dan gas konvensional bagi negara membangun, sambil mengurangkan jejak karbon mereka.
Selain itu, pelaburan jangka panjang mesti bertujuan mengurangkan kos tenaga boleh diperbaharui dan sumber tenaga baru seperti hidrogen, serta memastikan tenaga elektrik mampu dimiliki dan terjamin untuk orang ramai.
Encik Nasser bercakap pada pembukaan persidangan tahunan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands, yang berlangsung pada 21-25 Oktober.
Persidangan tahun ini, bertemakan ‘Dunia Tenaga Terhubung dan Mampan’, menghubungkan penggubal dasar, pemimpin industri, dan pakar untuk berbincang mengenai “memajukan kemampanan di tengah-tengah peralihan tenaga global”.
Selain Arab Saudi, negara pengeluar minyak dan gas lain juga menekankan bahawa bahan bakar fosil akan kekal penting dalam ekonomi global, walaupun terdapat usaha global untuk mengurangkan penggunaannya bagi memerangi perubahan iklim.
Pada persidangan iklim COP28 pada 2023, Arab Saudi dan negara-negara Arab kaya minyak yang lain menentang kuat bahasa lebih tegas yang digunakan terhadap bahan bakar fosil. Justeru, daripada “menghentikan” penggunaan, negara-negara bersetuju menggunakan “beralih” daripada bahan bakar fosil.
Arab Saudi telah berusaha secara aktif mengekalkan peranan bahan api fosil, dan menghalang tindakan iklim, sambil menyasar untuk menyahkarbon ekonominya sendiri dengan memastikan sumber tenaga boleh diperbaharui membekalkan 50 peratus daripada sektor tenaganya menjelang 2030.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg