Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma teknologi dan penyelidikan pasaran, Parrot Social, Cik Hamidah Aidillah Mustafa, telah dilantik sebagai Naib Presiden (Dasar dan Komunikasi) baru Majlis ke-29 Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME).
Dalam satu kenyataan pada 14 Januari, ASME menyatakan kepakaran Cik Hamidah, 41 tahun, akan memainkan peranan penting dalam memacu usaha persatuan itu membantu Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) menyiapkan diri dalam era digital serta menangani landskap ekonomi yang kian pesat berubah.
Cik Hamidah, yang merupakan Naib Presiden Melayu/Islam pertama dilantik ASME, berkata:
“Saya berasa gembira dan berbesar hati dengan peluang berkhidmat kepada SME di Singapura sebagai Naib Presiden Majlis ke-29 ASME.
“Saya percaya terdapat ramai usahawan Melayu/Islam baru yang ingin menubuhkan perniagaan dalam industri baru muncul, dan saya berharap ASME dapat membantu menyokong perkembangan mereka, terutamanya dalam bidang teknologi dan juga bagi memasuki pasaran negara lain.”
Majlis ke-29 ASME turut dianggotai Presiden ASME, Encik Ang Yuit; Naib Presiden Strategi dan Pembangunan, Encik Lee Swee Siong; Naib Presiden Pengantarabangsaan, Encik Winston Chan; Setiausaha Kehormat, Encik Eugene Tan; Bendahari Kehormat, Encik Eric Tan; Penolong Setiausaha Kehormat, Encik Koh Yeong Kheng; dan Penolong Bendahari Kehormat, Encik Darren Ku.
Dengan teknologi yang akan menjadi pemangkin utama bagi syarikat kecil berkembang di peringkat serantau dan antarabangsa, Cik Hamidah berharap dapat mempergiat usaha meningkatkan keupayaan SME dalam bidang digital.
Langkah yang dapat diambil termasuk dengan memberi SME akses kepada geran, pasaran baru berpotensi dan memupuk kerjasama lebih kukuh.
Sebelum dilantik sebagai Naib Presiden, beliau berkhidmat sebagai anggota ASME yang dilantik khas dan anggota PusatSME@AiTE, yang ditubuhkan oleh ASME dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Cik Hamidah juga terpilih bagi menduduki senarai ‘100 Wanita Singapura dalam Teknologi (SG100WIT)’ oleh Persatuan Komputer Singapura (SCS) pada 2023, di samping melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat sebagai Naib Pengerusi Pasukan Petugas Kesihatan, Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Keat Hong.
Dalam peranan barunya, beliau ingin membantu SME dari dua sudut, iaitu penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh dan pembangunan usahawan wanita.
“Saya berharap dapat memperkukuh sokongan struktur dan sumber bagi SME untuk menyepadukan AI dan teknologi dalam operasi perniagaan, serta melatih lebih ramai pekerja untuk mengisi peranan yang disokong AI.
“Bagi menutup jurang ini, ASME percaya Singapura perlu bergerak daripada peningkatan kemahiran individu kepada transformasi perusahaan, yang berasaskan struktur awam-swasta yang dikongsi bersama, agar penggunaan teknologi dapat dicapai oleh setiap SME.
“Dengan menyediakan lebih banyak sokongan dan sumber, kami berharap usahawan wanita dapat meningkatkan daya tahan mereka dalam membangunkan perniagaan masing-masing – terutamanya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (Stem) serta industri baru muncul pada masa hadapan,” kata Cik Hamidah ketika dihubungi Berita Harian (BH).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg