Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO SingPost dorong belia pecahkan ‘siling kaca’

Shahrin: Sedari bakat dalam diri, usah letak sempadan capai potensi
Sep 5, 2024 | 12:21 PM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), (Singapura) SingPost, Encik Shahrin Abdol Salam (kanan), berkongsi pengalaman hidupnya kepada peserta yang hadir. Bersama beliau adalah Eksekutif Audiens dan Perkembangan BH, Cik Kaiyishah Ayuni, selaku hos bagi sesi perkongsian tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), (Singapura) SingPost, Encik Shahrin Abdol Salam (kanan), berkongsi pengalaman hidupnya kepada peserta yang hadir. Bersama beliau adalah Eksekutif Audiens dan Perkembangan BH, Cik Kaiyishah Ayuni, selaku hos bagi sesi perkongsian tersebut. - Foto BH oleh KHALID BABA

Berbekal daya ketahanan diri dan tekad.

Itulah antara nilai-nilai yang diterapkan oleh Encik Shahrin Abdol Salam, dalam perjalanannya menuju mercu kejayaan.

Sedang rakan sebayanya bermain-main selepas sekolah, beliau perlu meluangkan masa semasa di bangku sekolah untuk membersihkan kedai bapanya di Clementi.

Meskipun keputusan peperiksaan ‘prelim’ beliau kurang memuaskan semasa menuntut di Sekolah Gan Eng Seng dan ia tidak membolehkannya meneruskan pengajiannya di maktab rendah (JC), namun, Encik Shahrin enggan menjadikan keputusan itu sebagai mematahkan semangatnya.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran untuk meraih Diploma Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Singapura (SP); ijazah Sarjana Muda, Kejuruteraan Elektrik, Universiti RMIT; dan ijazah Sarjana Sains, Pengurusan Teknologi, Universiti Nasional Singapura (NUS).

Sepanjang kerjayanya, Encik Shahrin pernah menyandang jawatan sebagai Penasihat kepada CEO untuk syarikat pengangkutan di Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau, yang memulakan kerjaya sebagai jurutera penyelenggaraan dengan SMRT pada 1998, menjadi Pengarah Urusan SMRT Laluan Thomson-East Coast (TEL).

Kini, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Singapura) SingPost.

Merujuk kepada permulaan kerjayanya, Encik Shahrin, 51 tahun, berkata adalah penting untuk seseorang ‘memecahkan siling kaca’ diri sendiri demi mencapai potensi sebenar.

“Saya rasa dahulu, kita mungkin dibatasi atau dikekang siapa kita sebagai sebuah masyarakat dan oleh itu, membataskan sejauh mana kita boleh capai.

“Jangan hadkan diri anda kepada jawatan seperti jurutera kanan atau ketua jurutera dan anggap itu sahaja tahap yang anda boleh capai.

“Selalunya, kita sendiri yang meletakkan sempadan sedemikian atas diri kita dalam mencapai potensi sebenar.

“Jadi, saya berharap bahawa anda semua menyedari anda mempunyai bakat dalam diri yang mungkin (anda) tidak sedari anda miliki,” ujar beliau, penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2023.

Menurut Encik Shahrin, beliau sendiri tidak menyangka akan menjadi seorang CEO satu hari.

Beliau turut menggalakkan golongan belia agar usah berputus asa apabila menghadapi kesukaran.

“Biarlah cabaran yang anda hadapi menjadi batu loncatan anda. Hidup ini akan penuh dengan batu-batu, iaitu saat-saat sukar.

“Anggaplah batu-batu tersebut sebagai ujian yang dilemparkan kepada anda. Dengan mengumpul dan menggunakan batu-batu ini, anda akan sampai ke tempat yang anda impikan,” kongsi beliau.

Encik Shahrin berkongsi pengalaman hidupnya kepada golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun yang hadir pada sesi keempat Siri Jauhari, anjuran Berita Harian (BH) dan wadah BH bagi golongan muda, OMGxBH, pada 30 Ogos.

Siri Jauhari diperkenalkan dalam usaha menyediakan ruang kepada para pemenang Anugerah Jauhari BH untuk berkongsi pengalaman kerjaya dan kehidupan mereka kepada golongan muda.

Ia juga membolehkan golongan muda menanyakan soalan kepada pemenang Anugerah Jauhari.

Siri bulanan selama enam bulan itu disokong oleh unit maklum balas pemerintah, REACH.

Sesi keempat Siri Jauhari itu, yang berlangsung di kafe (working title) di Maktab Seni LaSalle, dihadiri sekitar 80 orang.

Dalam pada itu, sesi itu turut diadakan sempena Pesta Pelancaran OMGxBH, yang dihadiri sekitar 200 orang dan 10 pengendali reruai yang menjual pelbagai produk.

Antara peserta yang hadir di sesi itu ialah pengasas syarikat insurans, Lodras Insurance Agency, Cik Mariyyatun Nadhiroh Mohd Ja’afar, 31 tahun, dan Cik Priya Naidu, seorang penganalisis di sebuah syarikat pengurusan tenaga, juga 31 tahun.

Cik Mariyyatun berkata: “Saya dengar bahawa beliau adalah seorang mentor yang bagus dan boleh memberi kesan besar kepada pemilik perniagaan dan pemimpin muda dalam perjalanan mereka.

“Saya rasa beliau akan berkongsi tentang pertumbuhan interpersonal (pada sesi ini) dan mengambil inspirasi dari situ.”

Bagi Cik Priya, beliau berharap dapat menerapkan pengajaran daripada perjalanan kerjaya Encik Shahrin dan menambah nilai peranannya.

“Perjalanan kerjaya Encik Shahrin daripada seorang jurutera penyelenggaraan kepada Ketua Pengarah Eksekutif, dan kemahiran yang diperolehinya sepanjang perjalanan itu amat menarik.

“Sebagai penganalisis yang berinteraksi dengan orang awam dan pemimpin, saya ingin mencari keseimbangan dalam cara saya berinteraksi dengan kedua-dua kumpulan ini,” ujar beliau.

Bagi Encik Hamzah Kamaruddin, 27 tahun, seorang calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Bahan dan Kejuruteraan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU); dan Cik Juwairiyah Samsudin, 35 tahun, Presiden Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu Universiti Teknologi Nanyang dan Institut Pendidikan Kebangsaan (Perbayu NTU/NIE), pula berkata mereka telah meraih banyak manfaat melalui pencerahan yang disampaikan.

“Kisah ketahanan Encik Shahrin sangat memberi kesan kepada golongan muda. Sebagai seorang anak muda, saya rasa terdorong untuk mengatasi batasan diri saya sendiri.

“Apabila saya melihat seorang lagi individu Melayu/Islam yang telah mengorak langkah dan mencapai kejayaan, ia tidak mustahil bagi kami golongan muda untuk melakukannya,” ujar Encik Hamzah.

Mengimbas kembali penerangan Encik Shahrin tentang kemahiran strategik dan pengurusan individu, Cik Juwairiyah berkata:

“Saya setuju dengan Encik Shahrin, bahawa kedua-duanya harus berfungsi seiring.

“Pengurusan individu tanpa kemahiran strategik adalah seperti pertubuhan yang merancang untuk gagal, manakala kemahiran strategik tanpa pengurusan individu adalah seperti pertubuhan yang lumpuh.

“Justeru, mengenal pasti kekuatan setiap ahli dan membenarkan mereka meneroka minat mereka membantu membina kepercayaan dan memastikan peranan diberikan dengan baik,” kongsi Cik Juwairiyah, yang baru dilantik sebagai Presiden Perbayu NTU/NIE mulai Ogos 2024.

Dalam sesi itu, peserta turut menyertai salah satu daripada empat kumpulan.

Kumpulan tersebut khusus untuk membincangkan topik mengenai cara menggalak orang lain agar menyumbang kepada masyarakat; mengenal pasti ciri-ciri seorang ketua yang baik; membincangkan sumber atau sokongan dalam mencapai matlamat kerjaya; serta mentakrifkan semula konsep kejayaan dalam masyarakat kini.

Untuk topik mengenal pasti ciri-ciri seorang ketua yang baik, para peserta akur bahawa kepimpinan datang dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya hanya datang daripada pemimpin yang memberikan arahan.

Selain itu, mereka juga menyarankan bahawa pemimpin perlu mengelakkan sifat ego dan mengenal pasti kelemahan diri sendiri.

Dalam kumpulan perbincangan fokus untuk topik sumber atau sokongan dalam mencapai matlamat kerjaya pula, para peserta berkongsi tentang pentingnya mempunyai sifat rendah hati tanpa rasa malu, atau ‘shameless humility’.

Merujuk kepada program di bawah M Kuasa Tiga (M3), iaitu ‘Mara Mentoring’ dan juga Siri Jauhari anjuran OMGxBH, perkongsian pengalaman menerusi wadah sedemikian membawa banyak manfaat.

Ia bukan sahaja membantu menunjukkan kehadiran seseorang untuk belajar, malah membina bimbingan tersusun antara kumpulan karyawan yang berdedikasi untuk membimbing, serta golongan belia yang ingin mendapatkan sumber dalam mencorak haluan mereka sendiri.

Saya rasa dahulu, kita mungkin dibatasi atau dikekang siapa kita sebagai sebuah masyarakat dan oleh itu, membataskan sejauh mana kita boleh capai. Jangan hadkan diri anda kepada jawatan seperti jurutera kanan atau ketua jurutera dan anggap itu sahaja tahap yang anda boleh capai. Selalunya, kita sendiri yang meletakkan sempadan sedemikian atas diri kita dalam mencapai potensi sebenar. Jadi, saya berharap bahawa anda semua menyedari anda mempunyai bakat dalam diri yang mungkin (anda) tidak sedari anda miliki.
Encik Shahrin Abdol Salam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Singapura) SingPost dan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2023.

Perjalanan kerjaya Encik Shahrin daripada seorang jurutera penyelenggaraan kepada Ketua Pengarah Eksekutif, dan kemahiran yang diperolehinya sepanjang perjalanan itu amat menarik.
Cik Priya Naidu, penganalisis di sebuah syarikat pengurusan tenaga.

Kisah ketahanan Encik Shahrin sangat memberi kesan kepada golongan muda. Sebagai seorang anak muda, saya rasa terdorong untuk mengatasi batasan diri saya sendiri.
Encik Hamzah Kamaruddin, calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Bahan dan Kejuruteraan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg