Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CEO syarikat runcit terbesar Indonesia tokoh undangan terakhir Siri Jauhari

Oct 22, 2024 | 8:08 PM
(Berdiri dari kanan) Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; penerima Anugerah Jauhari 2010, Encik Shafie Shamsuddin; dan Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim, berinteraksi bersama belia yang hadir untuk sesi keenam Siri Jauhari di kafe (working title) di Maktab Seni Lasalle.
(Berdiri dari kanan) Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; penerima Anugerah Jauhari 2010, Encik Shafie Shamsuddin; dan Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim, berinteraksi bersama belia yang hadir untuk sesi keenam Siri Jauhari di kafe (working title) di Maktab Seni Lasalle. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pengarah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat runcit terbesar di Indonesia, PT. Trans Retail Indonesia, Encik Shafie Shamsuddin, menjadi penceramah terakhir Siri Jauhari anjuran Berita Harian (BH) dan OMGxBH bagi pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian pada 22 Oktober.

Sejak Siri Jauhari bermula pada Mei di kafe (working title) di Maktab Seni Lasalle, lima pemenang Anugerah Jauhari BH yang antaranya terdiri daripada mantan Presiden Puan Halimah Yacob; pakar bedah jantung, Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar; dan dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari; telah berkongsi pengalaman mereka untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun.

Encik Shafie, 53 tahun, yang juga mantan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Bakat Sejagat dan Pembangunan Organisasi) Carrefour Groupe di Perancis, disertai kira-kira 70 belia berpeluang mengambil iktibar daripada kehidupannya, serta mengemukakan soalan dan berinteraksi dengan peserta lain.

Antara belia yang hadir pada sesi keenam itu ialah Encik Khalid Abdul Rashid, yang berkongsi dengan BH bahawa Siri Jauhari merupakan wadah untuk menonjolkan pemimpin masyarakat dan individu Melayu/Islam yang berpengaruh.

“Ini kali kelima saya hadiri Siri Jauhari dan setiap bulan saya terpanggil untuk kembali kerana banyak yang dapat saya pelajari daripada peserta yang hadir dan pemenang Anugerah Jauhari BH.

“Sesi yang meninggalkan kesan bagi saya adalah sesi keempat bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Singapura) SingPost, Encik Shahrin Abdol Salam.

“Melalui sesi beliau, saya belajar untuk mengambil pendekatan yang berlainan mengenai ‘siling kaca’ diri sendiri demi mencapai potensi sebenar,” kata pelajar tahun kedua dalam bidang logistik dan rantaian bekalan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Dalam sesi bersama Encik Shafie, belia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama turut dibahagikan kepada empat kumpulan bagi membincangkan empat topik iaitu pampasan pekerja yang adil, kehormatan dan nilai pekerjaan, pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat serta tinjauan dan pendedahan di peringkat sejagat.

Siri Jauhari disokong unit maklum balas pemerintah, Reach.

Sesi terakhir pada malam 22 Oktober turut disertai Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, yang juga Pengerusi Panel Penasihat Reach serta Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim.

Memberi rumusan kepada Siri Jauhari yang merupakan antara usaha BH untuk mendekati golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata:

“Kami gembira ia mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan yang disasarkan.

“Maklum balas yang kami terima menunjukkan mereka mengalu-alukan peluang berinteraksi dan belajar daripada para pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian.

“Mereka juga menghargai peluang menjalin rangkaian hubungan dengan para peserta lain. 

“Kami berterima kasih kepada Reach kerana menyokong usaha kami dan berharap usaha sama ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg