Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Certis henti jejak lokasi langsung pegawai cuti sakit

Langkah diambil selepas campur tangan oleh kesatuan sekerja.
Jul 2, 2025 | 7:49 PM
Certis, MC
Certis akur bahawa terdapat keperluan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kesatuan sekerjanya, bagi menyemak semula proses lawatan ke rumah yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut.  - Foto ZAOBAO

Syarikat perkhidmatan keselamatan, Certis, telah bersetuju untuk tidak lagi meminta pegawainya berkongsi lokasi langsung, jika mereka tidak berada di rumah apabila mengambil cuti sakit.

Langkah tersebut diambil menyusuli campur tangan oleh Kesatuan Sekerja Pekerja Keselamatan (USE).

“Certis, yang berada di bawah naungan USE, telah bersetuju berbuat demikian, dan pengesanan lokasi terhadap pegawai yang mengambil cuti sakit, tidak akan dilakukan,” kata Setiausaha Eksekutif USE, Cik Shirley Loo, semasa menjawab pertanyaan media.

Keputusan tersebut dibuat beberapa hari selepas dasar cuti sakit Certis menerima kritikan, selepas seorang pekerja syarikat itu membuat aduan mengenai dasar tersebut kepada media, lapor The Straits Times (ST).

Syarikat yang beribu pejabat di Singapura dan turut beroperasi di Australia dan Qatar itu baru-baru ini telah menetapkan bahawa pekerja yang bercuti sakit perlu berada di rumah mereka di Singapura.

Jika mereka tidak berada di rumah semasa lawatan yang tidak diumumkan, mereka akan diminta berkongsi lokasi langsung melalui WhatsApp, atau menghadiri satu panggilan video, menurut seorang pegawai syarikat itu dalam suratnya kepada media.

Pegawai tersebut, yang tidak mahu dinamakan, berkata:

“Saya sendiri pernah mengalami dasar ini semasa saya bercuti sakit dan diminta berkongsi lokasi langsung… Ini menimbulkan tekanan psikologi yang berat dan melanggar hak privasi saya.

“Namun, saya patuh kerana bimbang dikenakan tindak balas.”

Pegawai tersebut menambah bahawa beliau berada di rumah ibu bapanya, ketika diminta berkongsi lokasinya.

Menurut satu memo dalaman pekerja yang dilihat oleh ST, dua pegawai Certis telah diberhentikan pada April 2025, kerana kesalahan “berpura-pura sakit”.

Menurut memo tersebut, kededua pegawai itu didapati berada di luar negara semasa satu lawatan ke rumah mereka dilakukan.

Memo tersebut turut menyatakan bahawa Certis mengamalkan pendirian tegas dalam menangani isu disiplin seperti “pemalsuan rekod, salah laku, tidur semasa bertugas, dan kes tidak menghadirkan diri tanpa izin (Awol)”.

Dalam satu kenyataan pada 1 Julai, Certis menjelaskan bahawa kededua pekerja tersebut tidak diberhentikan semata-mata kerana mereka tidak berada di rumah semasa bercuti sakit.

“Langkah memberhentikan kerja ditentukan berdasarkan betapa seriusnya salah laku seseorang pegawai, seperti terbukti (melakukan kesalahan) berpura-pura sakit, dan keputusan ini hanya diambil sebagai langkah terakhir, selepas melalui proses yang teliti dan adil,” kata jurucakap Certis.

Bagaimanapun, Certis akur bahawa terdapat keperluan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kesatuan sekerjanya, bagi menyemak semula proses lawatan ke rumah yang dilaksanakan oleh syarikat itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg