Changi Airport Group (CAG) gagal dalam rayuannya untuk mendapat pelepasan cukai ke atas $270 juta yang dibelanjakan selama tiga tahun bagi aset lapangan terbang termasuk dua landasan serta pelbagai laluan teksi dan apron di Terminal 1, 2, 3 dan 4 Lapangan Terbang Changi.
Hakim Choo Han Teck menolak rayuan CAG dengan memutuskan bahawa aset-aset tersebut adalah struktur, dan bukan alat perdagangan.
Hakim Choo menambah bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenyataan CAG bahawa keputusan yang dibuat oleh Lembaga Semakan Cukai Pendapatan adalah tidak munasabah dan tersilap dari segi undang-undang.
Menurut penghakiman bertarikh 1 November, CAG membuat tuntutan elaun modal untuk perbelanjaan modal sebanyak $272 juta yang dibelanjakan untuk aset tersebut sepanjang 2011 hingga 2013.
Elaun modal ialah potongan cukai yang boleh dituntut bagi susut nilai aset tertentu, jelas The Straits Times (ST).
CAG dan Pengawal Cukai Pendapatan bersetuju bahawa aset-aset lapangan terbang itu – landasan, laluan teksi dan apron – direka untuk memudahkan pesawat mendarat, menaiki teksi dan berlepas dengan selamat.
Namun, CAG berhujah bahawa aset-aset itu harus juga dianggap sebagai ‘jentera’ atau plants di bawah Akta Cukai Pendapatan, justeru melayakkan ia mendapat elaun modal sebagai alat perdagangan, bukannya sebagai struktur semata.
Pegawai Pengawal tidak bersetuju dengan hujah CAG dan menolak tuntutan tersebut, tetapi meluluskan elaun lain kepada CAG berdasarkan kedudukannya sebagai struktur.
Menyusuli itu, CAG merayu kepada Lembaga Semakan Cukai Pendapatan yang mengekalkan keputusan Pegawai Pengawal, menyebabkan CAG membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Choo menyokong pandangan Pengawal Cukai Pendapatan, menekankan bahawa aset-aset itu berfungsi sebagai struktur di mana pesawat bergerak dan berehat.
Beliau menyatakan bahawa aset tersebut berfungsi sebagai premis bagi perdagangan CAG dan bukannya sebagai alat operasi, dan dengan itu menolak hujah peguam CAG, Encik Tan Kay Kheng, yang memohon agar hakim mempertimbangkan fungsi aset itu.
Encik Tan berhujah bahawa aset tersebut bukan sekadar landasan (tarmac) biasa, tetapi menawarkan fungsi yang memastikan keselamatan pesawat seperti berperanan dalam mencegah pesawat daripada tergelincir dan menyokong berat pesawat.
Bagaimanapun, Hakim Choo menyatakan bahawa fungsi seperti mengemudi dan keselamatan pendaratan sudah dilaksanakan oleh peralatan aerodrome, yang mana elaun modal telah diberikan.
Dalam rayuan itu, Encik Tan berpendapat bahawa Lembaga Semakan Cukai Pendapatan telah tersilap dalam mengaplikasi beberapa kes luar negara dalam membuat kesimpulan bahawa landasan dianggap sebagai struktur, bukannya jentera.
Hakim Choo mengakui bahawa kes-kes tersebut mungkin membantu mahkamah menilai sama ada sesebuah aset mempunyai ciri-ciri jentera.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa mahkamah mesti menyedari tujuan utama dalam penilaian di bawah undang-undang Singapura, iaitu sama ada aset itu lebih tepat digambarkan sebagai “jentera” atau “bangunan atau struktur”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg