Changi sekali lagi dinobat Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2026
Changi sekali lagi dinobat Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2026
Ini adalah kali ke-14 dapat gelaran tersebut, pecah rekod dalam sejarah anugerah
Ini merupakan tahun kedua berturut-turut lapangan terbang tersebut menduduki tempat pertama, manakala pada 2024, ia meraih tempat kedua.
Ini adalah kali ke-14 Lapangan Terbang Changi mendapat gelaran tersebut, memecah rekod dalam sejarah anugerah yang mula diperkenalkan pada 2000 itu.
Lapangan terbang tersebut turut dinobatkan sebagai yang terbaik di Asia, terbaik di dunia dari aspek pengalaman menjamu selera, perkhidmatan imigresen, serta lapangan terbang terbaik yang mengendalikan 60 juta hingga 70 juta penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif Changi Airport Group (CAG), Encik Yam Kum Weng, menerima anugerah tersebut pada satu majlis yang diadakan di London, Britain, pada 18 Mac.
Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, menduduki tempat kedua; diikuti Lapangan Terbang Tokyo Haneda, Jepun (ketiga); Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (keempat); dan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun (kelima).
Sementara itu, Crowne Plaza Changi Airport pula merangkul gelaran hotel lapangan terbang terbaik dunia dan hotel lapangan terbang terbaik di Asia.
Ini merupakan tahun ke-11 berturut-turut hotel di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi itu mendapat anugerah tersebut.
Anugerah ini diberikan berdasarkan tinjauan sejagat yang dijalankan Skytrax ke atas pengguna lapangan terbang yang berasal daripada lebih 100 negara, antara Ogos 2025 dengan Februari 2026.Â
Para penumpang diminta menilai lapangan terbang berdasarkan pengalaman mereka dari pelbagai aspek â termasuk daftar masuk, ketibaan, transit, membeli-belah, keselamatan dan imigresen, serta keberangkatan.
Lapangan Terbang Changi pernah menduduki tempat pertama selama lapan tahun berturut-turut dari 2013 hingga 2020, rekod kemenangan paling lama sejak Anugerah Lapangan Terbang Dunia mula diperkenalkan pada 2000.Â
Namun, ia tewas kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Qatar pada 2021, dan Lapangan Terbang Haneda, Jepun pada 2022.
Pada 2023, Lapangan Terbang Changi berjaya merampas kembali gelaran tersebut, namun tewas sekali lagi kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada 2024.
Seorang jurucakap CAG berkata pihaknya berasa amat bangga dapat dinobatkan sekali lagi sebagai lapangan terbang terbaik dunia, di tengah-tengah cabaran yang sedang dihadapi industri penerbangan.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada para penumpang dan rakan kongsi atas kepercayaan serta sokongan berterusan mereka, beliau berkata CAG tetap komited untuk terus memberi pengalaman bertaraf dunia dan membentuk semula masa depan perjalanan udara.
Ini seiring persiapan Lapangan Terbang Changi menuju fasa pertumbuhan seterusnya dengan pembinaan Terminal 5, yang dijangka akan dibuka pada pertengahan 2030-an.

