Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Changi raih semula takhta lapangan terbang terbaik dunia 2025

DECK TO COME
Apr 16, 2025 | 12:29 PM
Ini merupakan kali ke-13 Lapangan Terbang Changi menduduki tangga pertama, lantas memecah rekod dalam sejarah  Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax yang bermula pada 2000.
Ini merupakan kali ke-13 Lapangan Terbang Changi menduduki tangga pertama, lantas memecah rekod dalam sejarah  Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax yang bermula pada 2000. - Foto AFP

Lapangan Terbang Changi telah dinobat lapangan terbang terbaik di dunia pada 2025 dalam Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax, firma perundingan penerbangan berpangkalan di London.

Ia telah merebut semula gelaran tersebut daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Qatar, yang menjuarai senarai tersebut pada 2024.

Ini merupakan kali ke-13 Lapangan Terbang Changi menduduki tangga pertama, lantas memecah rekod dalam sejarah anugerah tersebut yang bermula pada 2000.

Lapangan Terbang Changi juga mendapat gelaran sebagai Lapangan Terbang Terbaik di Asia; Lapangan Terbang Terbaik yang berkhidmat kepada 60 juta hingga 70 juta penumpang; Pengalaman Menjamu Selera Lapangan Terbang Terbaik; dan Tandas Lapangan Terbang Terbaik di Dunia sewaktu majlis yang diadakan di Madrid, Sepanyol pada 9 April.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad menduduki tangga kedua, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo (Haneda) Jepun di tempat ketiga, Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan di tangga keempat dan kemudian Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Jepun di tangga kelima.

Sementara itu, Crowne Plaza Changi Airport merangkul anugerah Hotel Lapangan Terbang Terbaik Dunia dan Hotel Lapangan Terbang Terbaik di Asia.

Ini merupakan tahun ke-10 berturut-turut hotel di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi itu memenangi anugerah tersebut.

Anugerah yang diberikan adalah berdasarkan tinjauan global yang dijalankan Skytrax.

Lebih 13 juta pengguna lapangan terbang dari lebih 100 negara memberi respons kepada tinjauan tersebut dari Ogos 2024 hingga Februari 2025.

Pengunjung diminta menilai lapangan terbang berdasarkan pengalaman mereka di titik berbeza – dari tempat mendaftar masuk, ketibaan, pemindahan, beli-belah, keselamatan dan imigresen hingga ke tahap keberangkatan, lapor akhbar The Straits Times.

Ketua eksekutif Skytrax, Encik Edward Plaisted, menggelarnya sebagai “pencapaian hebat” buat Lapangan Terbang Changi kerana telah menempa nama sebagai lapangan terbang terbaik di dunia sebanyak 13 kali, bilangan memecah rekod.

Beliau menambah: “Dengan tandas menjadi pendorong terbesar kepuasan pelanggan bagi pengalaman mereka di lapangan terbang, kami mengucapkan tahniah kepada Lapangan Terbang Changi Singapura kerana menerima anugerah sulung tandas lapangan terbang terbaik dunia.”

Ketua eksekutif Changi Airport Group (CAG), Encik Yam Kum Weng, berkata: “Ia semestinya menyenangkan hati untuk menerima pengiktirafan ini, dan ia tentu sekali menggalakkan kami agar terus berusaha memberikan pengalaman perjalanan terbaik. Kami berterima kasih kepada semua penumpang kami atas undi keyakinan mereka.”

Anugerah ini menjadikan Lapangan Terbang Changi lapangan terbang yang paling banyak menerima anugerah di dunia dengan 697 tanda penganugerahan, kata CAG.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg