Taman Tanah Lembap Chek Jawa yang kaya dengan biodiversiti dibuka semula kepada orang awam pada 5 April, dua hari selepas tumpahan minyak yang dikesan di pantai timur laut Pulau Ubin menyebabkan penutupan sementara kawasan tersebut.
Dalam kemas kini di Facebook pada 5 April, Lembaga Taman Negara (NParks) mengatakan ia akan membiarkan sisa minyak di kawasan yang terjejas di tanah lembap itu terurai secara semula jadi bagi mengelakkan kesan lanjut, sambil terus memantau kawasan tersebut dengan rapat.
Pelampung pembendung minyak yang diletakkan di sekitar tanah lembap itu akan dialihkan secara berperingkat, lapor The Straits Times (ST).
Selain tanah lembap, beberapa ladang ikan dan pantai di Changi serta Pasir Ris juga terjejas akibat tumpahan minyak di Terminal Langsat berhampiran muara Sungai Johor, Malaysia.
Tompokan minyak seterusnya dikesan di Selat Johor Timur pada 3 April.
Kebocoran tersebut telah berhenti, dengan operasi pembersihan di terminal pelabuhan masih dijalankan.
Agensi Makanan Singapura (SFA), yang bekerjasama dengan ladang ikan untuk mengurangkan kesan minyak yang dilihat di sana, berkata bahawa satu ladang – De Kelong – terjejas lebih teruk berbanding ladang lain.
“Bagi memastikan keselamatan makanan, ladang De Kelong telah menghentikan sementara jualan dan pengedaran stok makanan laut mereka dan juga sedang aktif melaksanakan usaha pembersihan,” kata SFA.
Agensi tersebut, dengan bantuan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), telah bekerjasama dengan ladang ikan dalam langkah-langkah pencegahan, termasuk memberikan mereka pad penyerapan.
Sehingga 5 April, keputusan ujian terhadap makanan laut dari ladang lain di Selat Johor Timur dan makanan laut yang diimport menunjukkan tiada sebarang kebimbangan, kata SFA.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee telah menyatakan dalam satu hantaran Facebook pada 4 April bahawa tumpahan minyak kecil dilihat di beberapa bahagian Tanah Lembap Chek Jawa pada pagi tersebut.
“Kawasan utama yang terjejas adalah di Papan Lembah Bakau, di mana sisa minyak dilihat di beberapa batu dan akar pokok bakau.
“Mujurlah, kawasan pantai pasang surut kebanyakannya tidak terjejas,” katanya, sambil menambah bahawa tompokan minyak itu tidak dilihat di pantai lain di Pulau Ubin.
Chek Jawa yang seluas kira-kira 100 hektar, yang terletak di selatan Terminal Langsat, adalah rumah kepada enam ekosistem yang pelbagai. Ini termasuk fauna yang mendiami pantai berpasir, pantai berbatu, lagun rumpai laut, batu karang, bakau, dan hutan pesisir.
Beberapa bahagian pantai di Changi dan Pasir Ris yang terjejas oleh tumpahan minyak juga telah diasingkan untuk operasi pembersihan dan sebahagian besar dijangka selesai dalam beberapa hari akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg