Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Minyak tumpah di Johor: Pembersihan dijalankan di beberapa pantai S’pura

Apr 4, 2025 | 3:46 PM
Pekerja sedang membersihkan tumpahan minyak di Kawasan 1 Pantai Pasir Ris pada 4 April.
Pekerja sedang membersihkan tumpahan minyak di Kawasan 1 Pantai Pasir Ris pada 4 April. - Foto ST

Operasi pembersihan sedang dijalankan di Pulau Ubin, Pantai Changi dan Pantai Pasir Ris pada 4 April, dengan beberapa bahagian pantai itu ditutup, selepas tompokan minyak dikesan di luar Pulau Ubin pada 3 April.

Tompokan minyak itu dikesan menyusuli insiden tumpahan minyak di Terminal Langsat berhampiran muara Sungai Johor.

Tumpahan itu telah dihentikan, dengan operasi pembersihan di terminal pelabuhan juga sedang dijalankan, menurut satu kenyataan bersama Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Lembaga Taman Negara (NParks) pada 4 April, menukil satu kenyataan Penguasa Pelabuhan Johor.

Kawasan yang terjejas di Singapura termasuk perairan Pulau Ubin di bahagian timur laut, Kawasan 1 Pantai Pasir Ris, dan beberapa bahagian Pantai Changi.

Setakat ini, tiada lagi tompokan minyak dikesan, menurut agensi Singapura, lapor The Straits Times (ST).

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pelampung pembendung minyak, atau containment boom, akan dipasang di Kawasan Lembah Chek Jawa di Pulau Ubin untuk melindungi kawasan sensitif biodiversiti,” ujar kenyataan itu, yang menambah bahawa SFA sedang bekerjasama dengan penternakan ikan di Selat Johor Timur untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan.

“Dron dan imej satelit telah digunakan untuk memantau sekitar perairan bagi mengesan kumpulan minyak tambahan,” kata kenyataan itu.

Sistem pemulihan minyak tambahan – Marine Oil Sweeper – telah dikerahkan di luar Pulau Ubin dan sedia untuk bertindak sekiranya tompokan minyak lain dikesan di laut.

NEA juga menasihatkan orang ramai agar tidak berenang dan melakukan kegiatan air di Pantai Changi dan Pantai Pasir Ris hingga pemberitahuan lanjut.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, akses awam ke Kawasan Lembah Chek Jawa juga ditutup sementara sehingga pemberitahuan lanjut, untuk kerja pembersihan tumpahan minyak,” kata kenyataan bersama itu.

Dalam satu hantaran Facebook berasingan pada 4 April, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata loji desalinasi Singapura tidak terletak berhampiran dengan tumpahan minyak itu dan agensi air negara PUB sedang memantau pengambilan air laut bagi sebarang keadaan luar kebiasaan.

Menurut laman web PUB, lima loji desalinasi Singapura terletak di Tuas, Pulau Jurong dan Marina East.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg