Pengumuman mendadak oleh China bahawa ia akan berhenti menghantar kanak-kanak ke luar negara untuk diambil sebagai anak angkat tidak memberi kesan kepada keluarga di Singapura, kerana tiada permohonan semasa oleh pasangan di sini untuk mengambil anak angkat dari China.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) memberitahu The Straits Times demikian ketika ditanya berapa ramai pasangan Singapura yang terjejas oleh pengumuman China pada 6 September itu.
Jurucakap Kementerian Luar China berkata China tidak akan membenarkan lagi pasangan dari negara lain mengambil anak angkat, kecuali bagi saudara kandung yang mengambil anak angkat atau anak tiri.
MSF tidak menyatakan bilangan kanak-kanak dari China yang diambil pasangan di Singapura pada 2023 atau tahun-tahun sebelum itu, walaupun ST memahami pengambilan anak angkat seperti itu jarang berlaku di sini.
Pada 2015, ST melaporkan 25 kanak-kanak telah diambil sebagai anak angkat dari China dalam lima tahun sebelumnya – hanya kira-kira 1 peratus daripada semua pengambilan dalam tempoh tersebut.
Ejen anak angkat yang ditemu bual berkata anak angkat China tidak popular di kalangan ibu bapa Singapura, memandangkan tempoh menunggu yang lama.
Bakal ibu bapa juga tidak boleh memilih anak yang mereka mahu ambil – tidak seperti bagi negara lain – tetapi hanya boleh menyatakan keutamaan mereka dari segi umur dan jantina.
Sebelum ini dilaporkan bahawa penantian untuk dipadankan dengan anak dari rumah anak yatim China kira-kira tujuh setengah tahun purata bagi pasangan Singapura.
Dua agensi, Touch Community Services dan Fei Yue Community Services, dilantik oleh MSF untuk memudahkan pengambilan anak angkat dari China.
Sejak 2004, semua pasangan yang ingin mengambil anak angkat dari China perlu ke dua agensi perkhidmatan sosial itu.
Cik Deirdre Lim, ketua Touch Adoption di Touch Community Services, berkata:
“Disebabkan tempoh menunggu yang lama, kebanyakan pasangan beralih ke pilihan lain, seperti meneroka persenyawaan in-vitro atau mengambil anak angkat Singapura.”
Pemilik perniagaan, Cik Veronica Low, 51 tahun, dan suami, Encik Stephen Vass, 64 tahun, eksekutif kanan di firma penyelidikan teknologi global, menunggu kira-kira tujuh tahun sebelum dijodohkan dengan seorang anak angkat dari China.
Cik Low, yang menyangka beliau mengalami masalah kesuburan, mulanya diberitahu masa menunggu adalah tiga bulan.
Selama tujuh tahun menunggu, beliau melahirkan dua anak lelaki.
Akhirnya, pasangan itu tetap bersetuju mengambil Madeline, kanak-kanak berusia dua tahun yang tinggal di rumah anak yatim China ketika itu.
Madeline kini berusia 13 tahun. Anak lelaki mereka, Gregory dan Christopher, kini masing-masing berusia 17 dan 14 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg