Topic followed successfully
Go to BHkuBangunan bersepadu 9 tingkat, Chong Pang City dibuka jelang 2027
Bangunan bersepadu 9 tingkat, Chong Pang City dibuka jelang 2027
Bangunan bersepadu 9 tingkat, Chong Pang City dibuka jelang 2027
Penduduk Yishun akan dapat menikmati bangunan bersepadu sembilan tingkat yang dijadualkan buka menjelang 2027, dilengkapi dengan tiga kolam renang, trek larian berteduh di atas bumbung, sebuah pasar dan pusat penjaja.
Kompleks seluas 0.9 hektar di Chong Pang City itu juga akan menempatkan gimnasium, studio kecergasan dan kelab masyarakat.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam – yang juga penasihat akar umbi GRC Nee Soon – menyatakan demikian dalam satu majlis binaan projek itu pada 18 April.
Beliau ditemani oleh rakan sepasukan GRC-nya, termasuk Cik Goh Hanyan, Encik Jackson Lam dan Cik Lee Hui Ying.
Lazimnya, majlis itu diadakan sebagai menandakan siapnya struktur sesebuah bangunan, iaitu apabila rasuk terakhir dipasang pada bahagian tertinggi struktur tersebut.
Majlis yang diadakan pada 18 April itu menandakan bumbung Chong Pang City telah siap dibina.
Projek tersebut mula diumumkan pada September 2020.
Encik Shanmugam berkata penduduk akan dapat menikmati gaya hidup yang lebih baik, dengan Chong Pang City dijangka turut menempatkan sebuah pasar raya, pelbagai pilihan makanan baru, serta ruang pendidikan dan rekreasi.
Semasa bercakap dengan media, Encik Shanmugam berkata penduduk telah lama menantikan pembukaannya, yang melibatkan dua aspek.
Aspek pertama ialah ia meneruskan pembangunan semula seluruh bandar Nee Soon, bukan sekadar Chong Pang, demi manfaat semua.
Beliau berkata: “Aspek kedua ialah, sudah tentu, bagi ramai penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan ini... terdapat pelbagai tahap di mana mereka akan melihat nilai flat mereka, pada pandangan saya, meningkat.
“Para peniaga dan perniagaan di sekitarnya turut akan mendapat manfaat daripada peningkatan kunjungan orang ramai.”
Pembangunan itu diadakan di bekas tapak Kelab Masyarakat Chong Pang, di persimpangan Yishun Ring Road dan Blok 102, Yishun Avenue 5.
Ia akan direka dengan mengambil kira keperluan semua golongan, termasuk mesra warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan pergerakan.
Antara kemudahan yang disediakan ialah tanjakan kerusi roda di kolam renang, katil yang boleh diubah ketinggian di bilik persalinan, serta laluan mudah tanpa halangan.
Semua pegerai daripada Pasar dan Pusat Makanan Chong Pang sedia ada yang dibina pada 1984 dan dinaik taraf pada 2003, akan diberi pilihan untuk berpindah ke bangunan bersepadu baru itu.
Pusat penjaja dan pasar baru itu dijangka menempatkan sekitar 58 gerai makanan dan 123 gerai pasar, dengan lebih 300 lot tempat letak kenderaan.
Setelah dikosongkan, pusat penjaja lama itu akan dibangunkan semula menjadi plaza masyarakat menjelang 2028.
Encik Shanmugam menambah, Chong Pang City akan dilengkapi dengan lebih 45,000 kaki persegi ruang komersial, dengan tender berasaskan harga dan mutu bagi ruang tersebut dijadualkan dilancarkan pada suku kedua 2026.

