Usaha kemasyarakatan Chong Pang perkukuh hubungan kejiranan, terima suntikan dana

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha kemasyarakatan Chong Pang perkukuh hubungan kejiranan, terima suntikan dana

Dana daripada Inisiatif Masyarakat Berkembang Maju dilancarkan pada 20 Feb bagi bantu projek keperluan setempat
Feb 20, 2026 | 7:30 PM

Usaha kemasyarakatan Chong Pang perkukuh hubungan kejiranan, terima suntikan dana

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
perpustakaan, yishun, TCI, Perpustakaan masyarakat Yishun, Thriving Communities Initiative TCI, The Majurity Trust, K. Shanmugam Chong Pang, Syed Harun Alhabsyi, Project Pencil Singapore, Peti Sejuk Masyarakat Yishun, Chong Pang
Encik Muhammad Azhar Noordeen Ahamed menubuhkan perpustakaan masyarakat sejak Mac 2025 bersama isterinya, dengan memanfaatkan ruang kosong di kolong Blok 137 Yishun Ring Road hasil sokongan jiran tetangga yang menyumbang buku terpakai serta peralatan asas.Usaha itu antara projek yang menerima manfaat di bawah Inisiatif Masyarakat BerkembangMaju (TCI) yang dilancarkan secara rasmi pada 20 Februari. - Foto MAJURITY TRUST

Usaha memupuk tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak sambil mengeratkan hubungan antara ibu bapa menjadi dorongan utama pasangan suami isteri di Yishun untuk menubuhkan perpustakaan masyarakat di kolong blok kediaman mereka.

Encik Muhammad Azhar Noordeen Ahamed, 34 tahun, bersama isterinya, Cik Yasmin Begum Syed Sultan, 32 tahun, memulakan usaha tersebut sejak Mac 2025 dengan memanfaatkan ruang kosong di kolong Blok 137, Yishun Ring Road, dengan sokongan jiran tetangga yang menyumbang buku terpakai serta peralatan asas.

Ini setelah pasangan itu menyedari ramai kanak-kanak kini menghabiskan masa menggunakan peranti digital, selain kurang ruang interaksi yang selesa untuk membaca bersama anggota keluarga.

“Kami mahu membangunkan ruang di mana kanak-kanak boleh membaca, bermain dan berinteraksi bersama,” katanya.

Meskipun kurang setahun ditubuhkan, usaha itu baru-baru ini dipertingkatkan menerusi dana daripada Inisiatif Masyarakat Berkembang Maju, atau Thriving Communities Initiative (TCI), sejak November 2025, yang telah membolehkan pasangan tersebut memperoleh rak buku serta bahan pembelajaran baru.

TCI dilancarkan secara rasmi pada 20 Februari oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri serta Anggota Parlimen (AP) bagi kawasan Chong Pang, Encik K. Shanmugam, yang hadir selaku tetamu terhormat.

Beliau hadir ke acara pelancaran tersebut selaku tetamu kehormat.

Encik Shanmugam berkata TCI mampu memberi impak positif berpanjangan kepada penduduk sambil menyifatkan usaha penduduk Chong Pang sebagai contoh bagaimana semangat gotong-royong dapat diperkukuh melalui sokongan berterusan.

“Projek yang dipacu masyarakat mampu meninggalkan kesan positif.

“Saya berasa gembira melihat penduduk Chong Pang membangunkan usaha yang dapat memperbaik kawasan kejiranan mereka serta memperkukuh semangat kemasyarakatan.

“Saya juga berbesar hati dengan usaha penduduk di sini dan mereka yang prihatin terhadap kawasan kejiranan mereka.

“Mereka akan terus disokong,” katanya.

Demikian turut ditekankan oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) dan AP Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi yang turut berkata usaha ini bakal memperkukuhkan hubungan kejiranan serta memupuk rasa kebersamaan dalam masyarakat.

“TCI merupakan satu inisiatif istimewa yang menggabungkan kerjasama sektor swasta, awam dan masyarakat, bagi memberi manfaat langsung kepada penduduk di peringkat akar umbi.

“Melalui sokongan sukarelawan masyarakat, usaha ini bukan sahaja menyediakan program untuk masyarakat, malah memperkukuh hubungan kejiranan serta memupuk rasa kebersamaan dalam masyarakat,” kata beliau.

Dilancarkan oleh organisasi filantropi, The Majurity Trust, dengan sokongan beberapa penderma termasuk GIC Private Limited, Yong Hon Kong Foundation dan Dymon Asia Capital (Singapore), TCI bertujuan memperkukuh semangat kejiranan dengan membantu projek kemasyarakatan yang memenuhi keperluan setempat.

Selain pembinaan perpustakaan masyarakat ini, antara usaha lain yang dikenal pasti untuk disokong termasuk Project Pencil Singapore, yang menyediakan kelas tuisyen serta pembangunan holistik dan Projek Peti Sejuk Masyarakat di Blok 107 Yishun yang telah menjalankan pengagihan makanan harian sejak 2020.

Secara keseluruhan, dana $665,000 disediakan, termasuk sumbangan berbilang tahun daripada GIC sebanyak $400,000, di mana $250,000 daripadanya digunakan bagi geran sehingga $10,000 untuk setiap inisiatif masyarakat yang dipimpin penduduk.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Majurity Trust, Encik Martin Tan, berkata cabaran sosial kini semakin kompleks dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk penduduk, penderma dan rakan masyarakat.

Ini boleh disokong dengan pemimpin masyarakat yang mempunyai pemahaman mendalam tentang keperluan setempat, namun sering kekurangan sumber untuk mengembangkan usaha mereka.

“Cabaran sosial dijangka akan terus meningkat serta menjadi semakin kompleks dan berlapis.

“Tiada satu organisasi, individu mahupun pemerintah mampu menanganinya secara bersendirian.

“Cabaran-cabaran ini juga muncul dalam bentuk yang berbeza mengikut kawasan.

“Penduduk dan pemimpin masyarakat mempunyai pemahaman lebih mendalam tentang realiti kawasan mereka sendiri, namun sering kekurangan sumber atau sokongan untuk mengembangkan serta mengekalkan usaha mereka,” kata Encik Tan.

Ini dapat dilihat melalui ruang sokongan yang kini berkembang dan menjadi tempat pertemuan masyarakat pelbagai peringkat usia.

Sesi penceritaan misalnya, berjaya menarik puluhan penduduk, termasuk warga emas yang hadir menyaksikan aktiviti kanak-kanak sambil berinteraksi dengan keluarga muda.

Cik Yasmin berkata, perpustakaan itu bukan sekadar ruang membaca, malah menjadi wadah ibu bapa berkongsi pengalaman serta membina jaringan sokongan sosial.

“Kami harap usaha kecil ini dapat terus menghubungkan jiran tetangga dan memberi ruang selamat untuk anak-anak belajar serta bersosial,” katanya, sambil menambah bahawa TCI diharap dapat memupuk semula semangat kejiranan yang semakin terhakis di kawasan bandar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg