Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: Bina pertahanan harus seiring usaha yakinkan negara lain

Dalam usaha perkukuh keselamatan, tidak harus buat negara lain rasa tidak aman
Sep 19, 2025 | 7:11 PM
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (kiri), bersama Encik Shi Taifeng, anggota Biro Politik Parti Komunis China (CPC) yang juga Menteri di Jabatan Organisasi Jawatankuasa Pusat CPC, di Beijing, pada 17 September.
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (kiri), bersama Encik Shi Taifeng, anggota Biro Politik Parti Komunis China (CPC) yang juga Menteri di Jabatan Organisasi Jawatankuasa Pusat CPC, di Beijing, pada 17 September. - Foto MINDEF

BEIJING: Walaupun setiap negara mempunyai hak untuk membina pertahanan mengikut keperluannya, usaha meyakinkan negara lain tentang hasratnya itu juga perlu dipertingkat seiring pertumbuhan keupayaan tersebut, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

Bercakap kepada media Singapura dan China pada 18 September, Encik Chan berkata usaha memperkukuh keselamatan sesebuah negara tidak seharusnya membuat negara lain berasa kurang selamat.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan mengenai perarakan tentera China pada 3 September.

China mengadakan perarakan besar untuk memperingati Hari Kemenangan negara itu dengan mempamerkan peralatan ketenteraan seperti Peluru Berpandu Balistik Antara Benua (ICBM), dron bawah permukaan air, serta jet pejuang yang terbang beriringan.

Majlis itu diadakan bagi memperingati 80 tahun selepas Jepun menyerah kalah pada 2 September 1945, yang secara rasmi menamatkan Perang Dunia Kedua.

Encik Chan berkata: “Setiap negara mempunyai aspirasi dan hak untuk membina keupayaan pertahanan mengikut keperluannya.

“Namun, seiring dengan peningkatan keupayaan pertahanan kita… usaha untuk meyakinkan negara lain mestilah lebih besar.”

Perkara tersebut juga perlu diamalkan oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), tambahnya.

“Ia bukan sekadar membina keupayaan, ia juga mengenai bagaimana kita menggunakan dan tidak menggunakan keupayaan tersebut sebagai pilihan terakhir,” kata beliau.

“Kita membina keupayaan lebih awal sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.

“Namun, kita akan berasa sangat gembira jika kita tidak perlu mendedahkan atau menggunakan keupayaan itu.

“Ini bermakna kita telah berjaya menjalankan tugas kita dalam mengekalkan keamanan tanpa perlu menggunakan kekerasan,” jelas beliau.

Dalam temu bual 10 minit itu, Encik Chan turut bercakap mengenai pertemuannya dengan rakan sejawat dari China, hubungan Singapura dengan Amerika Syarikat dan China, serta pengalamannya di Forum Xiangshan, iaitu persidangan pertahanan tahunan China, sepanjang lawatan empat hari ke China yang berakhir pada 18 September.

Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, mengadakan lawatan pertamanya ke China dalam peranan semasanya, lapor The Straits Times (ST).

Beliau bertemu pegawai pertahanan kanan China, seperti jeneral berpangkat tertinggi, Encik Zhang Youxia; Menteri Pertahanan China, Encik Dong Jun; dan Panglima Markas Southern Theatre, Encik Wu Yanan.

Beliau berkata pertemuan sedemikian berguna kerana ia membolehkan beliau memahami pandangan mereka dengan lebih mendalam, serta “memahami cara mereka melihat sesuatu peristiwa, apakah kebimbangan mereka, dan apakah yang mereka harap dapat dicapai”.

Mengenai Forum Xiangshan itu, beliau berkata ia merupakan peluang untuk mendengar bukan sahaja pandangan China, malah pandangan peserta antarabangsa lain.

Delegasi dari lebih 100 negara, wilayah dan pertubuhan antarabangsa menghadiri acara tiga hari tersebut yang bermula pada 17 September.

“Saya rasa secara umumnya suasana di Forum Xiangshan adalah semua orang secara wajar berasa bimbang tentang keadaan keselamatan sejagat, terutama negara-negara kecil,” kata Encik Chan.

“Mereka ingin melihat bagaimana kita boleh membangunkan mekanisme untuk meningkatkan dialog, membina keyakinan dan menguruskan konflik, jika pertikaian atau pertempuran kecil tercetus,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg