Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel tutup lintasan Tebing Barat-Jordan selepas serangan maut

Sep 19, 2025 | 4:42 PM
Kereta berbaris panjang apabila polis Israel menutup jalan menuju ke Jambatan Allenby, pintu sempadan utama antara Tebing Barat yang diduduki Israel dan Jordan, susulan serangan tembakan pada 18 September 2025. Perkhidmatan kecemasan Israel berkata penyerang yang dilaporkan bersenjata pistol dan pisau itu membunuh dua lelaki.
Kereta berbaris panjang apabila polis Israel menutup jalan menuju ke Jambatan Allenby, pintu sempadan utama antara Tebing Barat yang diduduki Israel dan Jordan, susulan serangan tembakan pada 18 September 2025. Perkhidmatan kecemasan Israel berkata penyerang yang dilaporkan bersenjata pistol dan pisau itu membunuh dua lelaki. - Foto AFP

BAITULMAKDIS/AMMAN: Israel pada 19 September menutup lintasan Jambatan Allenby, satu-satunya pintu keluar masuk antara Tebing Barat yang diduduki dan Jordan, sehari selepas seorang pemandu trak bantuan dari Jordan melepaskan tembakan dan membunuh dua anggota tentera Israel di kawasan itu.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel, yang mengendalikan lintasan itu, mengumumkan ia ditutup sehingga diberitahu kelak. Dua lintasan lain antara Israel dan Jordan turut terjejas iaitu lintasan Sungai Jordan di utara ditutup, manakala lintasan Rabin di selatan hanya dibuka untuk pekerja.

Lintasan Jambatan Allenby, juga dikenali sebagai Jambatan Raja Hussein, adalah laluan penting perdagangan Israel-Jordan dan satu-satunya pintu keluar bagi lebih tiga juta penduduk Palestin di Tebing Barat untuk ke Jordan serta dunia luar.

Menurut perkhidmatan ambulans Israel, dua anggota tenteranya yang berusia sekitar 20 dan 60 tahun maut selepas diserang pada 18 September. Tentera Israel mendakwa penyerang yang menaiki trak bantuan mula melepaskan tembakan, namun selepas senjatanya gagal berfungsi, dia menikam mangsa sebelum ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

Ketua Staf Tentera Israel, Eyal Zamir, berkata pihaknya kini menilai semula protokol keselamatan. “Kami mempertimbangkan untuk menghentikan sepenuhnya kemasukan bantuan kemanusiaan dari Jordan sehingga semakan keselamatan ke atas pemandu Jordan selesai,” katanya dalam kenyataan.

Media Israel melaporkan suspek dikenal pasti sebagai Abdelmutaleb Al Qaisi, lelaki kelahiran 1968 yang baru tiga bulan bekerja sebagai pemandu trak bantuan ke Gaza.

Kementerian Luar Jordan mengesahkan identiti suspek tetapi mengecam serangan itu. “Tindakan ini menjejaskan kepentingan Kerajaan Jordan dan keupayaannya menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza,” menurut kenyataan kementerian.

Agensi berita Petra melaporkan semua lalu lintas penumpang di lintasan berkenaan digantung selepas Israel menutupnya. Siasatan rasmi turut dilancarkan oleh pihak berkuasa Jordan.

Kementerian Luar Israel menuduh Jordan terlibat secara tidak langsung. “Ini adalah hasil daripada hasutan jijik di Jordan,” kata kementerian itu dalam kenyataan keras.
Selepas serangan, tentera Israel melancarkan operasi mencari di kawasan sekitar dan mengepung bandar Jericho di Tebing Barat.

Jordan menegaskan serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa. “Kerajaan Jordan mengutuk serangan bersenjata yang berlaku di lintasan Allenby sebagai tindakan yang tidak sah dan menjejaskan usaha kemanusiaan,” kata kenyataan rasmi.

Lintasan Allenby sebelum ini pernah menjadi lokasi serangan pada September 2024, apabila seorang lelaki bersenjata dari Jordan membunuh tiga pekerja sempadan Israel. Ketika itu, lintasan ditutup selama dua hari.

Al Jazeera melaporkan dari Doha bahawa lintasan Allenby merupakan kawasan dengan kawalan keselamatan yang sangat ketat. Wartawan Cik Nida Ibrahim menimbulkan persoalan bagaimana seorang penyerang bersenjata mampu melepasi kawalan tersebut. “Ia menimbulkan tanda tanya besar mengenai kelemahan kawalan di lokasi yang dikatakan paling selamat,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan strategik lintasan tersebut. “Bagi kebanyakan rakyat Palestin, lintasan Allenby adalah satu-satunya jalan untuk keluar ke dunia luar kerana mereka tidak dibenarkan menggunakan Lapangan Terbang Ben-Gurion Israel, malah Israel tidak membenarkan pembinaan lapangan terbang di Tebing Barat atau Gaza,” jelasnya.

Kementerian Luar Jordan menegaskan serangan itu tidak mencerminkan dasar rasmi negara, sebaliknya dilakukan individu. Namun, penganalisis memberi amaran bahawa insiden ini boleh menjejaskan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang kini berdepan krisis kebuluran akibat perang berpanjangan.

“Menutup lintasan Allenby bukan sahaja menghukum Jordan, tetapi juga jutaan rakyat Palestin yang bergantung padanya untuk bergerak dan menerima bantuan,” kata seorang penganalisis politik Timur Tengah. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg