Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: China, AS mesti terus berdialog agar saling lebih memahami

‘Kededua kuasa besar itu memang mahu fahami satu sama lain dengan lebih baik, tetapi ini memerlukan dialog yang jujur’
Jun 2, 2025 | 6:57 PM
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, berucap semasa penutup Dialog Shangri-La pada 1 Jun.
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, berucap semasa penutup Dialog Shangri-La pada 1 Jun. - Foto ST

Dialog secara langsung antara Amerika Syarikat dengan China mesti diteruskan kerana kededua pihak akan mendapat manfaat daripada pemahaman lebih mendalam terhadap perspektif masing-masing, walaupun terdapat perbezaan antara mereka, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

Bercakap dalam sesi taklimat media pada penutup Dialog Shangri-La pada 1 Jun, beliau menambah, perbualan peribadinya dengan kededua delegasi tersebut, menunjukkan kededua kuasa besar itu memang mahu memahami satu sama lain dengan lebih baik, tetapi ini memerlukan dialog yang jujur.

“Walaupun mereka tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh pihak yang satu lagi, adalah penting untuk mereka mendengar apa yang dikatakan oleh pihak yang satu lagi, dan mungkin lebih penting lagi, memahami mengapa setiap pihak berkata demikian,” kata Encik Chan.

Ulasan beliau dibuat susulan perbincangan dua hari pada forum keselamatan tahunan itu di Singapura, yang menghimpunkan pemimpin pertahanan serantau dan sejagat di Hotel Shangri-La.

Sidang media yang dihadiri wartawan tempatan dan asing itu lebih tertumpu kepada soalan mengenai ucapan Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, pada sesi pembukaan forum tersebut, serta perwakilan China dengan pemimpin peringkat lebih rendah, pada perhimpunan 2025.

Pada 31 Mei, ketua Pentagon itu memberi amaran bahawa ancaman China terhadap negara jirannya di Indo-Pasifik adalah “nyata”, dan menggesa negara Asia supaya meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka, lapor The Straits Times (ST).

Encik Chan berkata beliau telah membaca ucapan Encik Hegseth “dengan sangat teliti, lebih daripada sekali” dan menggesa pihak lain supaya menerimanya secara keseluruhan, dan bukan hanya menumpukan pada bahagian tertentu.

Walaupun ucapan tersebut mengetengahkan kebimbangan mengenai tingkah laku China, ia juga mengandungi mesej “agak penting” tentang hasrat Amerika, katanya.

Encik Hegseth berkata Amerika tidak mahu berperang, dan tidak berhasrat menguasai atau mengekang China.

Ia juga tidak berhasrat mencetuskan provokasi atau menginginkan perubahan rejim, malah tidak akan menghasut atau tidak menghormati budaya yang membanggakan dan bersejarah, tambahnya.

“Ya, beliau memang bercakap tentang ancaman China,” kata Encik Chan.

“Tetapi saya fikir, dan saya mungkin tersilap, ini kali pertama sesuatu seperti ini dinyatakan dengan begitu jelas.

“Jadi saya serahkan kepada para pendengar untuk menilai kepentingan bahagian-bahagian berbeza dalam ucapannya,” tambahnya.

Encik Chan menekankan pentingnya tidak melihat China atau Amerika sebagai kuasa monolitik, kerana kededua masyarakat tersebut mempunyai cabaran domestik dan luarannya sendiri.

Memahami dinamik dalaman mereka akan membantu negara lain memahami mengapa pemimpin kededua kuasa besar itu bertindak seperti yang mereka lakukan, tambah beliau.

Inilah sebabnya kededua kuasa besar itu perlu berbincang secara langsung antara satu sama lain, dan di sinilah terletaknya nilai Dialog Shangri-La, kata Encik Chan.

Menjawab soalan mengenai hakikat bahawa pendirian Amerika dan China dalam isu seperti Taiwan dan Laut China Selatan sangat berbeza sehingga kededua kuasa besar itu seolah-olah bercakap tanpa mendengar antara satu sama lain, beliau menambah itulah sebabnya dialog yang jujur diperlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg