Menteri Pertahanan daripada Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA) telah mengulangi komitmen negara masing-masing terhadap peranan kumpulan itu dalam menjamin keselamatan serantau.
Hal itu dikongsi dalam satu mesyuarat kendalian Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, selaku tuan rumah, pada 31 Mei.
Encik Chan turut bersarapan pagi bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Encik Richard Marles; Menteri Negara Britain (Menteri bagi Dewan Pertuanan), Encik Vernon Coaker; Menteri Pertahanan New Zealand, Cik Judith Collins; dan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sesi itu diadakan di luar acara rasmi Dialog Shangri-La.
Edisi 2024 Latihan Bersama Lima 2024 (XBL24) di bawah FPDA menyaksikan penyertaan sulung pesawat pejuang generasi kelima, termasuk jet pejuang F-35 dari Australia dan pesawat rondaan maritim P-8 dari New Zealand.
“Memandang ke hadapan, para menteri menantikan penyertaan kumpulan serangan kapal pengangkut pesawat dari United Kingdom di XBL25, yang akan menjadi satu pencapaian penting bagi FPDA.
“Dan ia juga mengulangi kepentingan komitmen aset-aset berkeupayaan tinggi dalam latihan FPDA untuk meningkatkan nilai profesionalnya,” menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef).
Kenyataan itu turut menambah para menteri mengesahkan lagi kepentingan strategik FPDA sebagai satu bentuk kerjasama pertahanan yang membina, telus dan aman, yang menyokong struktur keselamatan serantau.
Ditubuhkan pada 1971, FPDA menyatukan Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand dan United Kingdom dalam satu struktur keselamatan berbentuk perundingan.
Perjanjian itu diwujudkan selepas pengunduran angkatan tentera Britain dari Asia Tenggara, untuk menyediakan satu wadah bagi kerjasama dan rundingan pertahanan.
Mindef turut berkata FPDA terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan kerjasama serantau melalui latihan yang tetap, dialog, dan wadah untuk perkongsian pengetahuan serta pengalaman profesional.
Sementara itu, Encik Chan berkata rakan sejawatannya “gembira” dengan komitmen Amerika Syarikat terhadap rantau Asia-Pasifik dan menantikan komitmen itu diterjemahkan kepada tindakan jelas.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri sesi meja bundar menteri pada petang 31 Mei.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Encik Pete Hegseth dan Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Kaja Kallas.
Sebelum itu, Encik Hegseth, berkata dalam ucapannya di Dialog Shangri-La bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump akan memberi lebih banyak tumpuan kepada rantau Indo-Pasifik, yang beliau anggap sebagai kawasan keutamaan.
Beliau berkata masa depan AS dan rakannya di Indo-Pasifik saling rapat, dengan keselamatan dan kemakmuran rakyat Amerika berkait rapat dengan rakyat negara rakan.
Sebagai sebahagian daripada pertemuan dua halanya di luar Dialog Shangri-La, Encik Chan, juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Jepun, Jeneral Nakatani pada 31 Mei.
Encik Chan menyambut kehadiran Encik Nakatani, yang telah menghadiri edisi sulung forum tersebut pada 2002, kembali ke dialog itu.
Menurut kenyataan Mindef, sebagai penyelaras negara bagi hubungan dialog Asean-Jepun, Encik Chan menegaskan komitmen Singapura untuk bekerjasama rapat dengan Jepun.
Ini agar memperkukuh keamanan dan keselamatan serantau, termasuk melalui Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean Plus atau ADMM-Plus.
Dialog Shangri-La berlangsung di Singapura dari 30 Mei hingga 1 Jun, menghimpunkan menteri pertahanan, ketua-ketua tentera, dan pakar keselamatan dari seluruh dunia untuk membincangkan isu-isu keselamatan utama di rantau Asia-Pasifik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg