Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: Dapur pusat ditimbang bagi bantu sekolah kawal mutu, kurangi bazir

Dec 2, 2024 | 6:31 PM
Dapur pusat sedang diteroka sebagai penyelesaian bagi sekolah yang menghadapi kesukaran mendapatkan pengendali gerai kantin.
Dapur pusat sedang diteroka sebagai penyelesaian bagi sekolah yang menghadapi kesukaran mendapatkan pengendali gerai kantin. - Foto ST

Jika sekolah mendapatkan hidangan daripada khidmat katering dapur pusat, ia akan memudahkan dalam memastikan mutu makanan, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Dapur pusat, yang sedang diteroka sebagai penyelesaian bagi sekolah yang menghadapi kesukaran mendapatkan pengendali kantin, juga dapat membantu memelihara piawaian pemakanan dan mengurangkan pembaziran, tambah Encik Chan.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara 30 minit mengenai model operasi kantin baru bersama stesen radio Kiss92 pada 2 Disember, lapor The Straits Times (ST).

Wawancara itu diadakan menyusuli kenyataan Encik Chan pada November bahawa kementeriannya telah memulakan perbincangan bersama sekolah mengenai cara baru mengendalikan kantin. 

Menjawab soalan mengenai khasiat makanan dari dapur pusat, Encik Chan berkata terdapat salah tanggapan bahawa makanan yang disediakan di dapur pusat kurang berkhasiat.

“Sukar untuk mengurus atau memantau piawaian mutu bagi ribuan pengendali kantin di sekolah, tetapi lebih mudah bagi kami memeriksa piawaian mutu dapur pusat,” katanya.

Beliau turut ditanya tentang masa depan gerai kantin tradisional dan bagaimana peralihan kepada model operasi kantin baru itu akan dilaksanakan.

Salah satu pilihan ialah melalui tempahan awal, dengan pelajar membuat pesanan dan pembayaran seminggu lebih awal, sebelum makanan disediakan di dapur pusat dan dihantar ke sekolah, kata Encik Chan.

Langkah itu berpotensi memastikan makanan kantin sekolah berpatutan, sihat, dan bermutu, tambah beliau.

Menggunakan khidmat dapur pusat juga dapat mengurangkan kos yang ditanggung pengendali kantin akibat pembaziran makanan, kerana dapur seperti itu beroperasi pada skala lebih besar, manakala permintaan bagi pengendali kantin lebih sukar dijangka.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga sedang meneroka pilihan mengekalkan pengendali gerai kantin tradisional, tetapi menggunakan mesin layan diri bagi menyediakan minuman dan kudapan untuk pelajar yang masih berada di sekolah selepas waktu belajar disebabkan kegiatan kokurikulum.

Encik Chan menambah bahawa pada masa hadapan, kededuanya, pengendali kantin dan dapur pusat, bakal menyediakan makanan sekolah dan pihak sekolah boleh membuat pilihan bagi model yang sesuai berdasarkan keperluan mereka.

“Kami gembira untuk mencuba pelbagai model agar anak-anak dan kakitangan kami dapat menikmati hidangan berkhasiat pada harga berpatutan,” tambahnya.

Mencari pengendali gerai kantin tidak mudah, kata Encik Chan, kerana tugas itu bukan sekadar memasak. Ia juga merangkumi pengurusan logistik, kewangan, dan pelbagai aspek lain.

Walaupun kadar sewa rendah, iaitu antara $5 dengan $15 sebulan, pengendali gerai bekerja separuh hari dan sekitar 40 minggu setahun sahaja, dan perlu menanggung kos bahan masakan sendiri.

Kuasa membeli pelajar yang terhad turut menjadi cabaran, ujar Encik Chan.

Namun, pengendali kantin terus menjalankan peranan mereka kerana telah menjalin hubungan erat dengan pelajar.

“Dalam satu aspek, mereka berada di sini untuk berkhidmat kembali kepada masyarakat.

“Tetapi umumnya, yang mendorong mereka terus bertahan ialah keinginan berinteraksi dengan pelajar,” tambah Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg