Kuasa besar perlu bersedia untuk memikul jangkaan lebih tinggi daripada negara kecil yang mungkin berasa tidak selamat dan memerlukan jaminan apabila berlaku peralihan kuasa dan perubahan persepsi, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

“Sebuah negara yang semakin berkembang kekuatannya mungkin bertindak lebih tegas bagi merungkai isu lama serta mempertahankan kepentingannya.

“Namun, perkembangan kekuatan yang sama itu mungkin dilihat secara berbeza oleh negara sekelilingnya. 

“Negara lebih kecil akan memandang tinggi dan meletakkan jangkaan lebih besar kepadanya,” kata Encik Chan di Forum Xiangshan Beijing pada 16 September.

“Secara ringkas, semakin (negara) kuasa besar bertanggungjawab, semakin kurang kebimbangan negara kecil,” jelasnya.

Bercakap dalam satu sesi pleno, Encik Chan mengupas topik berkenaan tindakan negara-negara yang mengukuhkan keselamatan sendiri tanpa menggugat keselamatan negara lain.

Ini merupakan kehadiran kali kedua Encik Chan di Forum Xiangshan, dan beliau berada di China dari 15 hingga 17 September atas jemputan Menteri Pertahanan China, Encik Dong Jun.

Forum ke-13 itu menghimpunkan ratusan pegawai pertahanan dan diplomatik, ahli akademik serta wakil organisasi antarabangsa bagi membincangkan isu keselamatan serantau dan antarabangsa.

Forum itu sering dilihat sebagai versi China bagi Dialog Shangri-La Singapura, iaitu persidangan keselamatan dan pertahanan terbesar di Asia.

Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, bertemu Encik Dong dan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) yang dinaik taraf.

MOU berkenaan dimeterai bagi memperdalam pertukaran antara Institut Ketenteraan Safti Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan Universiti Pertahanan Nasional Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), menurut Kementerian Pertahanan (Mindef).

Di Forum Xiangshan, Encik Chan berkata usaha mengatasi perkara yang biasa digambarkan dalam teori hubungan antarabangsa sebagai ‘dilema keselamatan’ menuntut negara untuk menilai semula maksud “kemenangan”.

Bagi sesetengah pihak, “kemenangan” bermaksud mengatasi dan bertahan lebih lama daripada pesaing, katanya.

“Namun dalam dunia hari ini, tanggapan lebih realistik serta konsep kemenangan yang lebih teguh dan baik adalah dengan memenangi hati dunia menerusi kewibawaan teladan kita, bukan teladan daripada kekuasaan kita,” tambah beliau.

Encik Chan turut menegaskan bahawa negara perlu membina kepercayaan menerusi ‘kesabaran strategik’, yang digambarkan sebagai kebijaksanaan dalam memilih tindakan terbaik bagi memenuhi kepentingan jangka panjang negara, meskipun berdepan tekanan langsung.

“Bukan semua keupayaan perlu dihebahkan, bukan semua kelebihan perlu terus digunakan, dan bukan setiap provokasi menuntut tindak balas serta-merta,” kata beliau.

Meskipun setiap negara mengutamakan kepentingan nasional masing-masing, matlamat diplomasi bukan untuk menafikan kepentingan tersebut, sebaliknya bagi mengenal pasti titik persamaan dan membina kerjasama secara nyata dalam ruang bersama itu, jelasnya.

Encik Chan menyatakan bahawa dalam tempoh 12 bulan sejak kali terakhir beliau berucap di Forum Xiangshan, taburan kuasa global terus berubah.

Persaingan teknologi semakin sengit, ketidakseimbangan antara penggunaan dengan pengeluaran semakin membesar, manakala perdagangan serta pelaburan terus dijadikan alat keselamatan dan senjata, di samping taktik peperangan yang turut berubah dengan pantas.

Trend ini memberi tekanan kepada negara-negara untuk mengekalkan dan memajukan kuasa nasional masing-masing dengan mengorbankan pihak lain, yang jika dilihat dari sudut itu sahaja, mungkin kelihatan munasabah, kata Encik Chan. 

“Namun, secara kolektif, setiap tindakan akan mencetuskan tindak balas, lalu membawa kepada kitaran rasa tidak selamat yang tidak menguntungkan sesiapa,” jelasnya.

“Oleh itu, tidak cukup untuk setiap negara sekadar memastikan keselamatannya sendiri. Ujian sebenar kebijaksanaan tata urus negara terletak pada cara kita mengukuhkan keselamatan kita sendiri tanpa mengurangkan keselamatan pihak lain, atau tanpa menambah lagi rasa tidak selamat pihak lain.”

Forum itu berlangsung hanya seminggu sebelum Presiden China, Encik Xi Jinping, dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat bagi sidang kemuncak bersama Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti