Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: PBB yang lemah jejas negara kecil seperti S’pura

Negara kecil boleh buat perubahan, bina jambatan hubungan, tegakkan undang-undang antarabangsa
Sep 28, 2025 | 11:50 AM
PBB, Vivian, negara kecil
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berucap pada Perbahasan Umum sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB di New York, pada 27 September. - Foto REUTERS

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang lemah akan menjejas negara-negara kecil seperti Singapura, kerana ia kekal sebagai "satu-satunya badan" di mana semua 193 negara anggota diwakili dan boleh berinteraksi antara satu sama lain, kata Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan.

Sedang konflik, ketegangan perdagangan dan kebimbangan iklim menguasai agenda global, terdapat keperluan mutlak untuk faham pelbagai hala, tegas Dr Balakrishnan.

Dan negara-negara kecil boleh membuat perubahan dengan membina jambatan hubungan serta menegakkan undang-undang antarabangsa, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Singapura di akhir Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-80 di New York pada 28 September.

Dr Balakrishnan berkata di sebalik ketegangan dan perselisihan faham, PBB masih dianggap satu-satu forum di mana “semuanya hadir”.

“Jika ada muhibah dan kematangan yang mencukupi, sebenarnya, beberapa perbualan yang amat baik boleh dilakukan, walaupun dalam isu yang sangat sukar.

“Jadi saya akan katakan terdapat risiko keretakan, tetapi PBB masih satu-satunya tempat, dan menjadi tanggungjawab kita untuk bersandar dan membantu proses penglibatan ini,” katanya.

Beliau berkata meskipun kecil, Singapura hadir dan aktif di platform tersebut.

“Negara kecil seperti Singapura, atau kuasa sederhana, masih mempunyai agensi, masih mempunyai pilihan strategik, dan keperluan untuk kita bersandar, menyokong satu sama lain, dan mengekalkan proses pelbagai hala dan pemikiran itu masih wujud,” katanya.

Menyentuh tentang Kecerdasan Buatan (AI) yang ditimbulkan dalam Unga, Dr Balakrishnan berkata AI dianggap sebagai teknologi transformatif, yang boleh menyokong usaha pengaman dan kerja kemanusiaan.

Namun beliau menegaskan tanpa kawal selia yang sesuai, ia boleh menimbulkan risiko global, di samping cabaran lain seperti perubahan iklim dan pandemik.

“PBB yang lemah atau tidak berfungsi sangat berbahaya bagi negara kecil. Negara kecil memerlukan undang-undang antarabangsa. Kita (negara kecil) perlu hadir dalam wadah di mana suara kita dapat didengar.

“Masalah yang dialami bersama di peringkat global – perubahan iklim, pandemik, AI yang disalahgunakan – sebenarnya memberi kesan lebih besar kepada negara kecil, jauh lebih daripada kuasa besar.”

Dr Balakrishnan mengetengahkan peluang serta risiko yang dibawa AI. 

“PBB perlu bersiap sedia menghadapi masa depan dan memanfaatkan potensi teknologi baru yang muncul seperti AI sebagai kuasa untuk kebaikan. 

“Penglibatan awal, membina dan inklusif pelbagai hala adalah penting.”

Dr Balakrishnan berkongsi bahawa Majlis Keselamatan PBB minggu ini turut memberi tumpuan kepada implikasi AI terhadap keselamatan global. 

Beliau menambah bahawa AI bukan hanya terhad kepada aplikasi kemanusiaan. 

“Ini mungkin akan mengubah banyak andaian asas yang selama ini menjadi tunjang kepada cara diplomasi dijalankan dan cara pencegahan ditegakkan,” katanya, merujuk kepada risiko senjata autonomi maut serta kesan mengganggu AI terhadap kestabilan antarabangsa.

Walaupun AI menjadi tumpuan, Dr Balakrishnan mengingatkan bahawa mesej lebih luas Singapura di UNGA80 ialah kepentingan mempertahankan multilateralisme. 

Mengimbau 80 tahun lalu, beliau berkata sistem pasca-perang telah mewujudkan tempoh keamanan dan kemakmuran yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Namun, beliau memberi amaran bahawa sistem itu kini semakin terancam dengan persaingan kuasa besar yang kian lantang serta penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa yang kian longgar.

“Dunia lama sudah berakhir,” katanya di perhimpunan itu.

Justeru beliau menegaskan negara kecil tidak mampu berpeluk tubuh.

“Masih wujud keperluan mutlak bagi multilateralisme, masih ada keperluan terhadap undang-undang antarabangsa. Dan negara kecil seperti Singapura, bersama rakan-rakan kami, boleh membuat perbezaan,” katanya.

Menyentuh konflik di Timur Tengah dalam sesi bersama media Singapura itu, Dr Balakrishnan berkata bahawa kedudukan Singapura berakar umbi dalam undang-undang antarabangsa, dan ia berharap untuk melihat gencatan senjata segera, pembebasan tebusan dan lonjakan bantuan kemanusiaan bagi rakyat Palestin.

"Sekiranya satu pihak akan bertegas bahawa mereka yang kuat itu betul, dan hasilnya mesti berdasarkan kekuatan ketenteraan, dalam jangka masa panjang, itu bukan cara anda mendapat penyelesaian yang semua orang akan terima," katanya, sambil menambah bahawa pendekatan sedemikian "bertentangan dengan negeri kecil".

Beliau menambah bahawa mesyuarat di PBB menjadi peluang yang baik bagi Singapura untuk menjelaskan pendiriannya.

Di Parlimen pada 22 September, Dr Balakrishnan berkata Singapura akan mengiktiraf negara Palestin apabila ia mempunyai pemerintah yang berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud dan secara mutlak meninggalkan keganasan.

Pada masa yang sama, sokongan Singapura bagi penyelesaian dua negara bermakna ia akan menentang sebarang langkah Israel untuk memadamkan atau menjejaskan keputusan sedemikian.

Beliau mengulangi pendirian Singapura mengenai Negara Palestin dengan berkata:

"Jika keadaan terus menjadi buruk, atau jika Israel mengambil langkah selanjutnya untuk memadamkan penyelesaian dua negara, maka kita perlu mempertimbangkan semula kedudukan kita tentang bila mengiktiraf Negara Palestin."

“PBB yang lemah atau tidak berfungsi sangat berbahaya bagi negara kecil. Negara kecil memerlukan undang-undang antarabangsa. Kita (negara kecil) perlu hadir dalam wadah di mana suara kita dapat didengar.”
Dr Vivian Balakrishnan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg