Tumpuan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Tanjong Pagar bukanlah pada pesaing mereka tetapi lebih pada keperluan penduduk di kejiranan itu, jelas Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, pada 24 April.
Ketika ditemui media bersama seorang lagi calon Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di GRC Tanjong Pagar, Cik Rachel Ong, selepas bertemu penduduk di kawasan sekitar Pusat Beli-Belah Telok Blangah, Encik Chan berkata:
“Fokus utama pasukannya sentiasa tertumpu pada penduduk.
“Justeru, sama ada ada orang yang datang ataupun tidak, kerja kami tetap berterusan.
“Sebab itu, strategi yang kami gunakan bukan strategi sembilan atau 10 hari, tetapi strategi kerja konsisten setiap hari yang paling mustahak.”
Calon lain dalam pasukan Encik Chan di GRC Tanjong Pagar ialah Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan, Cik Joan Pereira, dan muka baru, Encik Foo Cexiang.
Mereka akan menentang pasukan Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), yang dianggotai pegawai bank komersial, Encik Prabu Ramachandran; aktivis, Cik Han Hui Hui; pengarah pendidikan, Encik Nadarajan Selvamani; pegawai keselamatan, Encik Rickson Giauw Joon Chai; dan penolong logistik kanan, Encik Soh Lian Chye.
Pada 24 April, Encik Chan memimpin pasukannya dalam kunjungan bertemu penduduk sekitar Telok Blangah, yang dahulunya diwakili Cik Ong, ketika kawasan itu berada di bawah naungan GRC West Coast.
Calon PAP bagi SMC Queenstown, Encik Eric Chua, dan SMC Radin Mas, Encik Melvin Yong, turut hadir.
Dalam pada itu, Cik Ong turut mengenalkan seni pemasangan kuih tradisional Singapura yang meraih inspirasi daripada kelapa dan dipanggil ‘Kueh-zy’, hasil karya penduduk Telok Blangah, yang disiapkan bersama melalui satu program seni kendalian penggiat seni, Cik Esther Ng dan Cik Casey Chen.
“Program ini bertujuan menyatukan penduduk dari beberapa kawasan di bawah GRC Tanjong Pagar agar mereka dapat saling mengenali melalui seni.
“Telok Blangah terletak berdekatan dengan laut dan telah mendapat ilham daripada pokok kelapa yang ada di kawasan ini,” kata Cik Ong.
Katanya, seni pemasangan tersebut telah dihasilkan kerana kebanyakan kuih tradisional Singapura diperbuat daripada kelapa sebagai bahan utama.
Sementara itu, pasukan PAP di GRC Tanjong Pagar menegaskan kepentingan kerjasama bagi semua calon mereka walaupun daerah itu terbahagi mengikut semakan sempadan kepada GRC Tanjong Pagar, SMC Radin Mas dan SMC Queenstown.
“Lima aspek fokus kami adalah membentuk keluarga yang lebih kuat, membina lebih ruang hijau, menggalakkan masyarakat lebih cergas dan menjaga golongan kurang upaya,” kata Cik Ong.
Cik Ong turut mengalu-alukan sesiapa (parti pembangkang) yang datang untuk bertanding di GRC Tanjong Pagar.
“Saya akan menumpukan perhatian kepada keperluan penduduk, mengenali rakyat kita dan kawasan ini, di samping memahami penduduk dengan lebih mendalam lagi setiap hari,” kata Cik Ong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg