Calon-calon akan digerakkan ke beberapa kawasan undi untuk bertemu penduduk daripada pelbagai latar belakang, bagi memperluaskan pengalaman mereka dan memahami keperluan penduduk dengan lebih mendalam.
Berkata sedemikian di sidang media pada 23 April di Tanjong Pagar Plaza selepas Hari Penamaan Calon, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, 55 tahun, mengumumkan calon pasukan PAP yang akan bertanding di GRC Tanjong Pagar.
Beliau turut menjelaskan tumpuan pasukannya – memastikan kemudahan kesihatan bagi warga emas dan golongan kurang upaya diutamakan, sambil membina kawasan yang sentiasa mempunyai semangat kemasyarakatan.
Diterajui Encik Chan, pasukan lima anggota di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) tersebut dianggotai Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan, 45 tahun; Cik Joan Pereira, 58 tahun; Cik Rachel Ong, 53 tahun; dan muka baru, mantan pengarah di Kementerian Pengangkutan, Encik Foo Cexiang, 40 tahun.
Kawasan undi Telok Blangah yang dikendalikan Cik Ong, sebelum ini merupakan sebahagian dari GRC West Coast, kini diserap ke dalam GRC Tanjong Pagar.
Menyentuh tentang calon PAP serata Singapura, Encik Chan berkata PAP tidak semestinya meletakkan calon di satu kawasan undi sahaja.
“Mereka akan ke beberapa tempat untuk didedahkan kepada penduduk daripada pelbagai latar belakang yang berbeza, dan kami percaya ini lebih baik untuk pengalaman mereka,” kata beliau.
Encik Chan turut menerangkan bahawa Encik Foo, yang sebelum ini dilihat menyertai lawatan di GRC Pasir-Ris Punggol, telah dibimbing oleh Menteri di Penjabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang kini akan menerajui pasukan PAP di GRC Pasir-Ris Changi.
“Pasukan kami merangkumi kededua pengalaman lama dan perspektif baru. Apabila Cexiang menyertai kami, beliau membawa pengalamannya sebagai seorang ayah muda,” kata Encik Chan.
Walaupun sudah menyertai lawatan di GRC Pasir-Ris Punggol, Encik Foo menerangkan bahawa penglibatannya dengan masyarakat Tanjong Pagar sudah lama bermula secara peribadi.
Turut hadir di sidang media itu ialah calon SMC Queenstown, Encik Eric Chua, 45 tahun; dan calon SMC Radin Mas, Encik Melvin Yong, 53 tahun.
Sementara itu, pesaing PAP di GRC Tanjong Pagar ialah pasukan Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), yang dianggotai jurubank komersial, Encik Prabu Ramachandran, 36 tahun; pengarah sekolah swasta, Encik Nadarajan Selvamani, 59 tahun; penasihat dan pegawai keselamatan, Encik Rickson Giauw, 67 tahun; felow hak asasi kemanusiaan, Cik Han Hui Hui, 34 tahun; dan penolong kanan logistik, Encik Soh Lian Chye, 60 tahun.
Pasukan PAR terdiri daripada tiga parti iaitu Suara Rakyat (PV), Parti Pembaharuan (RP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP).
Pasukan GRC Tanjong Pagar, yang ditubuhkan pada 1991, menang 61.13 peratus undi pada Pilihan Raya Umum 2020, sementara sementara PSP mendapat 36.87 peratus undi.
Sekitar 139,688 pengundi bakal memilih parti yang akan mewakili GRC Tanjong Pagar pada 3 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg