Kohort pelajar yang lebih berusia tidak mendapat peluang yang ditawarkan oleh sistem pendidikan masa kini, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Generasi muda Singapura mendapat manfaat daripada penambahbaikan sistem pendidikan yang dilakukan dari tahun ke tahun, dan peratusan lebih tinggi daripada mereka berjaya menamatkan pendidikan tinggi.
Disebabkan kesan kohort itu, pekerja dewasa lebih berusia perlu meneruskan pembelajaran melalui program SkillsFuture relevan dan bermutu untuk mengasah kemahiran mereka dan kekal berdaya saing, kata Encik Chan.
Dengan SkillsFuture telah mencapai sasaran 500,000 orang mengikuti kursus-kursusnya setiap tahun, “fasa seterusnya program ini bukan lagi jumlah, tetapi mutu program”, tambah beliau.
“Ia bukan tentang mengejar ijazah atau diploma; tetapi (mengambil) modul (pembelajaran) sesuai pada masanya,” jelas Encik Chan.
Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai keputusan Program bagi Penilaian Antarabangsa Kecekapan Orang Dewasa (Piaac) yang dikeluarkan pada 10 Disember, lapor The Straits Times (ST).
Penilaian kemahiran orang dewasa itu dijalankan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di 31 negara dari 2022 hingga 2023.
Kecekapan 5,011 peserta di Singapura diuji dalam cara mereka menggunakan kemahiran celik huruf, angka dan huraian masalah dalam situasi yang mereka mungkin alami dalam kehidupan harian.
Golongan orang dewasa muda Singapura mencatat prestasi melebihi purata OECD, tetapi golongan dewasa lebih berusia, terutama yang berumur 55 hingga 65 tahun, menunjukkan prestasi di bawah purata.
Walaupun Singapura, bersama Finland, mencatat peningkatan paling ketara dalam kemahiran angka, jurang kecekapan masih wujud merentasi peringkat umur dan pendidikan yang berbeza.
Untuk mengurangkan jurang itu, SkillsFuture Singapura (SSG) berkata pemerintah akan terus menyokong pembelajaran sepanjang hayat semua warga melalui inisiatif seperti Kredit SkillsFuture untuk individu berumur 25 tahun ke atas dan Program Level-Up SkillsFuture bagi golongan pertengahan kerjaya berumur 40 tahun ke atas.
Di bawah program Level-Up SkillsFuture, pekerja lebih berusia akan menerima tokokan nilai Kredit SkillsFuture sebanyak $4,000 pada Mei 2024, dan mulai 2025, mereka akan diberi subsidi untuk melanjutkan pengajian diploma sepenuh masa di institusi tempatan serta elaun latihan bulanan selama dua tahun hingga $3,000 apabila mereka mendaftar dalam kursus sepenuh masa terpilih.
Bercakap kepada ST dalam satu wawancara pada 3 Disember, Encik Chan berkata Singapura boleh mempelajari daripada Switzerland, yang model pemikiran mereka ialah mempersiapkan diri bagi 10 tahun akan datang.
Beliau berkata kebanyakan pelajar Switzerland menghadiri sekolah perdagangan dan menjalani latihan amali, daripada melanjutkan pelajaran di universiti.
Sekolah perdagangan di sana juga telah mencapai “suatu tahap dalam pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran mereka”, kata Encik Chan.
“Kita telah melakukan banyak, tetapi kita masih perlu melakukan lebih banyak untuk memulakan budaya seperti itu.
“Dan ia adalah tanggungjawab individu dan juga tanggungjawab pertubuhan,” tambah beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg