Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja: 14% dewasa terlebih layak, 8% kurang kelayakan

Kajian dapati lelaki S’pura raih markah lebih tinggi dalam aspek angka, celik huruf dan penyelesaian masalah adaptif berbanding wanita
Dec 10, 2024 | 6:10 PM
Sebanyak 14 peratus pekerja di Singapura terlebih layak untuk pekerjaan mereka, manakala 8 peratus pula kurang berkelayakan, menurut laporan yang dikeluarkan pada 10 Disember oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Sebanyak 14 peratus pekerja di Singapura terlebih layak untuk pekerjaan mereka, manakala 8 peratus pula kurang berkelayakan, menurut laporan yang dikeluarkan pada 10 Disember oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). - Foto fail

Sebanyak 14 peratus pekerja di Singapura terlebih layak untuk pekerjaan mereka, manakala 8 peratus pula kurang berkelayakan, menurut laporan yang dikeluarkan pada 10 Disember oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Namun, angka itu adalah lebih rendah daripada purata OECD jika dibandingkan dengan negara lain yang ditinjau.

Laporan Program Penilaian Antarabangsa untuk Kecekapan Orang Dewasa (Piaac) yang terbaru itu juga menunjukkan 36 peratus pekerja tidak sepadan dengan kerja mereka dari segi pengajian kerana kelayakan tertinggi mereka tidak dalam bidang yang paling relevan dengan pekerjaan mereka.

“Di negara OECD, orang dewasa yang terlebih layak untuk pekerjaan mereka menanggung kos ekonomi dan sosial yang ketara. Ini kurang berlaku di Singapura.

“Secara purata, gaji mereka adalah 20 peratus lebih rendah daripada rakan sebaya dalam pekerjaan sepadan yang mempunyai pencapaian pendidikan yang sama,” kata laporan itu.

Kajian Piaac oleh OECD menilai kecekapan orang dewasa dalam kemahiran celik huruf, angka dan penyelesaian masalah yang mengiktiraf kemahiran sebagai “kemahiran pemprosesan maklumat utama” yang membolehkan orang dewasa memperoleh pengetahuan dan kemahiran baru.

Kategori celik huruf menguji keupayaan individu untuk memahami dan menilai teks bertulis, manakala kategori angka menguji keupayaan individu untuk memahami dan menggunakan konsep matematik yang digunakan dalam kehidupan seharian.

Kategori penyelesaian masalah adaptif pula menguji keupayaan individu untuk mencari penyelesaian dalam keadaan yang dinamik, terutama jika penyelesaian segera tidak tersedia.

Contohnya, mencari laluan terbaik untuk ke sesuatu tempat sekiranya terdapat sekatan jalan raya di hadapan.

Sekitar 5,000 warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berumur antara 16 dengan 65 tahun menyertai tinjauan itu, yang dijalankan dalam bahasa Inggeris oleh Institut Pembelajaran Dewasa (IAL) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di Singapura antara September 2022 dengan Mei 2023.

Ini adalah kali kedua Singapura mengambil bahagian dalam kajian itu. Kajian pertama dijalankan dari 2014 hingga 2015.

Sebanyak 31 negara menyertai kajian terkini berbanding 39 negara yang menyertai kajian pertama.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa dalam kalangan negara yang mengambil bahagian, wanita menunjukkan kecekapan purata lebih tinggi daripada lelaki dalam celik huruf, manakala lelaki mendapat markah lebih tinggi dalam aspek angka dan penyelesaian masalah adaptif.

Namun, dalam kes Singapura, kajian mendapati bahawa lelaki mendapat markah lebih tinggi dalam aspek angka, celik huruf dan penyelesaian masalah adaptif.

Ia juga mendapati orang dewasa yang meraih prestasi tertinggi dalam skala kecekapan secara signifikan lebih berkemungkinan melaporkan tahap kepuasan hidup yang tinggi dan berada dalam kesihatan yang sangat baik atau cemerlang.

Di Singapura, orang dewasa yang mendapat mata tertinggi dalam skala kecekapan juga lebih mempercayai orang lain dan telah mengambil bahagian dalam kegiatan sukarelawan pada tahun sebelumnya.

“Ramai orang dewasa berkemahiran rendah berasa terputus hubungan daripada proses politik dan tidak mempunyai kemahiran untuk melibatkan diri dengan maklumat digital yang kompleks, menjadi kebimbangan semakin meningkat untuk demokrasi moden,” tambah laporan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg