Langkah meluaskan subjek Bahasa Ibunda Lanjutan (HMTL) kepada lebih ramai pelajar di peringkat Menengah 1 sejajar dengan falsafah Kementerian Pendidikan (MOE) dalam mengiktiraf bakat “berbilang dimensi”, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Berkongsi bersama media di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista pada 19 Ogos, Encik Chan berkata peluasan HMTL kepada pelajar cemerlang dalam Bahasa Ibunda (MTL) akan dapat memperkasa kebolehan mereka dengan lebih lanjut. Beliau berkata maklumat lanjut akan diumumkan kelak.
“Jika anda cemerlang dalam MTL tetapi anda tidak dapat mencapai mata agregat dalam mata pelajaran lain, anda masih boleh mengambil HMTL, selagi mana anda menunjukkan minat dan potensi untuk mencapai prestasi baik dalam Bahasa Ibunda.
“Dengan cara ini, kami ingin menggalak lebih ramai pelajar mengambil HMTL,” ujarnya.
Encik Chan berkata demikian sebagai susulan kepada pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkenaan perubahan dasar bagi membenarkan pelajar cemerlang dalam HMT mengambil HMTL di Menengah 1.
Encik Wong berkata pengajaran tiga bahasa ibunda – Melayu, Tamil dan Cina – di peringkat Lanjutan akan diperluas agar pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bahasa ibunda boleh mempelajarinya pada peringkat itu.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Bahasa Cina di Rapat Hari Kebangsaan sulungnya pada 18 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.
Murid yang ingin mengambil HMTL di Menengah 1 buat masa ini perlu mendapat lapan mata dan ke bawah secara keseluruhan dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), menurut laman rasmi MOE.
Mereka juga boleh mengambil HMTL sekiranya mendapat antara 9 dengan 14 mata serta Peringkat Pencapaian (AL) 1 atau AL 2 dalam Bahasa Ibunda atau gred Merit/Cemerlang bagi HMTL.
Encik Chan berkata: “Kami sedia maklum bakat merupakan sesuatu yang berbilang dimensi, dan jika anda cemerlang dalam mata pelajaran tertentu, anda berpeluang meningkatkan minat anda dalam subjek itu.”
Beliau turut menyentuh berkenaan perubahan pada Program Pendidikan Kanak-kanak Cerdas (GEP), seperti yang diumumkan Encik Wong dalam ucapannya.
Perdana Menteri mengumumkan GEP akan diberhentikan “dalam bentuk semasanya” dan digantikan dengan pendekatan baru.
Dalam satu kenyataannya pada 19 Ogos, MOE berkata pusingan terakhir bagi pemilihan pelajar GEP akan dilaksanakan untuk murid Darjah 3 pada 2025 manakala kemasukan terakhir ke salah satu daripada sembilan sekolah rendah yang menjalankan GEP bagi murid Darjah 4 ialah pada 2026.
Menurut Encik Chan, pendekatan baru bagi menggantikan GEP pada masa hadapan bermula dengan pemilihan murid, yang akan lebih “tertumpu dan tersasar”.
Ini setelah selama ini murid dipilih berdasarkan kebolehan umum “merangkumi domain subjek berbeza”, katanya.
“Sekarang kita sedang melakar puncak kecemerlangan dalam subjek tertentu. Misalnya, anda mungkin cemerlang dalam matematik, tetapi tidak begitu cemerlang dalam sains atau bahasa.
“(Dengan perubahan ini), kami dapat memberi lebih tumpuan kepada anda untuk memperkasa lebih lanjut kebolehan anda dalam matematik,” ujar Encik Chan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg