Singapura perlu bersedia untuk mengubah dasar pemerintah dan sikap dalam kalangan rakyat dalam usaha mengorak arah baru ke hadapan, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong
Encik Wong berkata pemerintah pimpinannya akan bersikap berhati-hati tetapi berani mengorak langkah baru ini. Dan beliau mempelawa rakyat bekerjasama dengan pemerintah untuk berbuat demikian.
“Demi mencapai matlamat yang dikongsi ini, saya memerlukan bantuan anda. Ini kerana perubahan berkekalan yang kita dambakan itu memerlukan anjakan minda untuk kita semua,” kata Encik Wong.
Encik Wong berkata demikian dalam ucapan sulung di Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio.
Pesanan untuk bersatu dan bekerjasama sebagai sebuah negara untuk menghadapi cabaran di dalam dan luar negara antara mesej berulang yang jelas dalam setiap ucapan yang disampaikannya dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.
Membuka tirai rapat dalam bahasa Melayu, Encik Wong memuji pencapaian masyarakat Melayu yang ‘seiring dengan kemajuan Singapura’.
Beliau menamakan beberapa tokoh sebagai contoh termasuk usahawan Encik Hafiz Kazman, saintis Dr Muhammad Nadjad Abdul Rahim dan pemuzik Cik Nabillah Jalal yang masing-masing berjaya dalam bidang sendiri dan turut meluangkan masa sebagai relawan.
Encik Wong berkata beliau lebih gembira kerana golongan ini, seperti ramai lain yang berjaya, turut giat berbakti kepada masyarakat dengan menyertai M Kuasa Tiga (M3) dan badan-badan Melayu/Islam lain.
Beliau turut mengumumkan projek Kolej Pengajian Islam Singapura dan berkata akan berkongsi butirannya di masa depan.
Idea bagi projek tersebut dicetus sekitar 2016 dan antara lain, bertujuan melahirkan pemimpin Islam setempat untuk masa depan.
Bercakap dalam bahasa Cina pula, Encik Wong menekankan komitmen pemerintah untuk terus menyokong keupayaan dwibahasa.
Pengajaran tiga bahasa ibunda – Melayu, Tamil dan Cina – di peringkat Lanjutan di sekolah menengah akan diperluas supaya pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bahasa ibunda boleh mempelajarinya di peringkat itu, walaupun tidak memenuhi markah keseluruhan yang mencukupi dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Bertutur dalam bahasa Inggeris, Encik Wong mengingatkan rakyat mengenai peri pentingnya perjanjian sosial atau kompak sosial yang diperbaharui di mana setiap warga boleh terus menaruh impian dan tahu ada peluang untuk berjaya jika mereka berusaha gigih.
“Itulah inti pati usaha Forward Singapore (Melakar Hala Tuju Singapura). Ia bertujuan memelihara kekuatan dan perpaduan masyarakat kita; untuk berkongsi hasil kemajuan dengan semua dan bukan segelintir sahaja; dan untuk mempertingkat semua rakyat dan bukan sedikit sahaja,” kata Encik Wong.
Menerusi lensa ini, beliau mengumumkan beberapa perubahan dasar dan sokongan baru yang bertujuan membantu warga Singapura yang berkeluarga, pekerja serta dalam bidang pendidikan dan perumahan.
Hari cuti mandatori yang diperuntuk untuk bapa, atau Cuti Paterniti Dibayar Pemerintah (GGPL) akan digandakan daripada dua minggu kepada empat minggu mulai 1 April 2025. Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) pula akan dinaikkan daripada empat minggu kepada enam minggu bermula 1 April 2025 dan selanjutnya dinaikkan kepada 10 minggu mulai 1 April 2026. Cuti materniti bagi ibu yang bersalin iaitu 16 minggu tidak berubah.
Ini bermakna seorang bapa boleh mengambil cuti paterniti sehingga 14 minggu mulai 1 April 2026.
Menurut Encik Wong, perubahan ini adalah antara usaha pemerintah untuk melahirkan sekitaran lebih mesra keluarga di Singapura dan menggesa anjakan minda dalam masyarakat untuk menyokong peranan lebih besar untuk bapa di rumah.
Selaras dengan anjakan minda yang diusul Encik Wong ini, beliau juga mengumumkan sokongan kewangan sementara bersyarat bagi pekerja yang hilang pekerjaan.
Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture memperuntuk sehingga $6,000 bagi tempoh enam bulan untuk membantu pekerja yang hilang pekerjaan. Namun pekerja itu perlu bersikap proaktif mencari kerja baru, seperti menjalani latihan, menyertai khidmat pemadanan kerja dan bimbingan kerjaya. Butiran skim ini akan dikongsi oleh Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng di masa depan, kata Encik Wong.
Sementara itu, Encik Wong berkata usaha pemerintah telah mula menstabilkan pasaran hartanah tetapi akur lebih banyak usaha diperlukan untuk menjadikan flat lebih dimampui, termasuk menambah bekalan flat.
Beliau merujuk kepada Nisbah Harga Rumah berbanding dengan Pendapatan di Singapura, yang lebih rendah daripada kota utama di dunia seperti London, Sydney dan Hong Kong.
Menggulung ucapan bahasa Inggeris – yang disampaikannya dalam sekitar 90 minit – Encik Wong, yang kelihatan sebak, berkata masa depan Singapura yang lebih baik masih belum dikecapi dan sekali lagi mempelawa rakyat Singapura bersatu mengejarnya.
“Masih ada banyak lagi yang perlu kita lakukan dan kita mempunyai agenda penuh di depan kita,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg