Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, menyatakan bahawa penghargaan terhadap kerjaya pendidik dan para guru adalah penting dalam mengekalkan semangat untuk mendorong generasi akan datang menyertai bidang ini.
“Dalam mengekalkan keutuhan dan kebanggaan profesion ini, kita harus mempertahankan amalan profesional guru-guru kita,” kata Encik Chan dalam sesi dialog Persidangan Tahunan Institut Timur Tengah (MEI) 2024 bersama pemudah cara Pengerusi MEI, Encik Bilahari Kausikan, pada 25 Jun.
“Saya yakin bahawa nilai ini adalah yang paling penting dalam usaha kita membangunkan masyarakat berpengetahuan di Singapura.”
Beliau berkata demikian kerana mendapati para guru di beberapa negara mula dipandang rendah oleh masyarakat dan ramai yang mula meninggalkan kerjaya perguruan kerana tidak dihormati.
Encik Chan berkata beliau tidak mahu ini berlaku di Singapura, dan menegaskan bahawa penghormatan terhadap guru-guru dan kerjaya mereka adalah asas kepada membangunkan sistem pendidikan bermutu tinggi.
Menurut beliau, melalui pengiktirafan dan sokongan yang betul, “kita dapat memastikan bahawa generasi akan datang melihat pengajaran bukan sekadar sebagai pekerjaan, bahkan membentuk masa depan negara”.
Beliau berkata, pemerintah dan masyarakat sentiasa memberi penghargaan terhadap para pendidik dan menyatakan pemerintah sedia mempertahankan maruah para guru.
Beliau juga menekankan kepentingan para pelajar Singapura memahami pelbagai perspektif antarabangsa dalam membuat keputusan untuk negara.
Ini kerana para pelajar perlu membawa perspektif negara sendiri, memahami kepentingan negara agar tidak terjebak dalam keadaan yang mempergunakan Singapura sebagai proksi bagi kepentingan orang lain.
“Jika kita dapat menambah nilai dengan benar-benar memahami mengapa sesuatu itu berlaku di peringkat global, dan yang lebih penting peranan konstruktif yang kita lakukan dan bagaimana anggapi sesuatu isu di luar negara.
“Lihat isu daripada perspektif orang lain, kita perlu memahaminya dengan mendalam dan membuat keputusan daripada perspektif dan kepentingan kita sendiri. Dan itu adalah bahagian penting daripada pendidikan kita dan ini sebahagian daripada Pendidikan Nasional,” kata Encik Chan.
Beliau menekankan bahawa pendidikan tidak hanya melibatkan pencapaian akademik, malah bangunkan kesedaran mengenai hubungan antarabangsa, menghormati perspektif orang lain dan membuat keputusan yang bijak berdasarkan kepentingan negara sendiri.
Encik Chan turut menekankan bahawa semangat ini penting untuk menjaga kecemerlangan dalam pendidikan, yang merupakan tulang belakang proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
“Komitmen kita terhadap profesionalisme dan kecekapan guru-guru adalah asas kepada kejayaan sistem pendidikan kita. Pendidikan bukan sekadar pekerjaan, tetapi panggilan untuk membentuk generasi akan datang yang bijak, kreatif dan bermakna,” ujar Encik Chan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg