Walaupun kes buli fizikal kekal stabil dan terkawal, reaksi orang ramai mengenai isu tersebut di media sosial boleh menyebabkan tindakan ekstrem dan menghalang usaha pemulihan, jelas Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Beliau berkata walaupun ibu bapa wajar berasa bimbang, mereka harus membenarkan pihak sekolah dan pihak berkuasa mengendalikan kes pergaduhan atau buli secara profesional, tanpa membuat spekulasi atau campur tangan yang boleh menyukarkan situasi.
Beliau berkata demikian di Parlimen pada 4 Februari selepas ditanya Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Hazel Poa, mengenai dua kejadian di Sekolah Menengah Admiralty, yang didedahkan pada Januari 2025.
Encik Chan berkata sekolah tersebut telah mengambil tindakan disiplin dan pemulihan terhadap kedua-dua kes tersebut.
Pada 7 Januari, seorang pelajar Sekolah Menengah Admiralty diserang rakan sekelasnya, mengakibatkan kecederaan di kepala.
Semasa menjawab soalan Parlimen berasingan daripada Cik Poa mengenai kejadian yang sama, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, berkata polis dimaklumkan mengenai dakwaan serangan tersebut pada 7 Januari sekitar 2 petang.
Beliau menambah, “individu-individu yang terlibat saling mengenali dan sedang memberi kerjasama dalam siasatan”.
Mengulas lebih lanjut, Encik Chan berkata siasatan awal oleh Kementerian Pendidikan (MOE) mendapati kejadian tersebut bukan kes buli tetapi perselisihan antara dua pelajar.
“Perselisihan berlaku antara dua pelajar baru Menengah 1 semasa antara sesi kelas.
“Ini mengakibatkan seorang pelajar memukul pelajar yang lain di kepala dengan botol air plastik, yang menyebabkan luka pada kepala pelajar tersebut,” ujar beliau.
Sekolah itu memastikan pelajar berkenaan diberi perhatian termasuk rawatan awal pada lukanya, meneruskan komunikasi bersama ibu bapanya serta membantu dalam siasatan polis.
Pelajar itu kini telah kembali ke sekolah.
Pelajar yang melakukan serangan itu telah digantung sekolah, diberikan kaunseling dan akan menghadapi tindakan disiplin lanjut.
Sekolah juga akan bantu memulihkan hubungan antara kedua-dua pelajar.
Objektif usaha itu adalah untuk membantu pelajar belajar dan berkembang melalui pengalaman tersebut, tambah Encik Chan.
Beliau menegaskan MOE mengambil serius terhadap isu buli dan kekerasan.
“Tiada sesiapa yang patut dibuli, tiada sesiapa yang ingin dibuli dan tiada sesiapa yang sepatutnya membuli,” katanya.
Dalam lima tahun terakhir, purata dua kejadian buli dilaporkan setiap tahun bagi setiap 1,000 pelajar di Sekolah Menengah Admiralty, sama ada di dalam mahupun di luar sekolah.
Menurut Encik Chan, angka tersebut “lebih rendah daripada purata kebangsaan bagi kes buli di sekolah menengah”.
Walau demikian, Encik Chan berkata kejadian antara dua pelajar itu telah menyebabkan sekolah itu dikecam dalam talian serta usaha gigih pendidik dalam menyokong semua pelajar yang terlibat dilihat tidak dihargai.
Encik Chan berkata: “MOE amat bimbang apabila orang dewasa menggunakan media sosial atau hadir di sekolah-sekolah kami untuk mengancam kakitangan kami, menuntut tindakan bagi pihak anak-anak mereka, malah mengancam pelajar lain.”
Beliau berkata MOE “tidak akan menerima tindakan seperti itu” dan akan mengambil tindakan tegas menerusi Piagam Penglibatan MOE dan undang-undang untuk melindungi kesejahteraan kakitangan dan pelajar termasuk memberi kaunseling dan mendisiplinkan pelajar yang terlibat.
Encik Chan turut menegaskan reaksi tergesa-gesa – seperti memperbesarkan perspektif sebelah pihak atau merendahkan kuasa sekolah – boleh memberi kesan negatif jangka panjang.
“Kita adalah contoh teladan untuk anak-anak kita. Jika kita bertindak seperti pembuli, sama ada dalam talian atau luar talian, mereka juga akan berbuat demikian.
“Mengancam, mendedahkan maklumat peribadi dan tidak menghormati kanak-kanak serta guru lain bukanlah tindakan yang menjadikan anak-anak kita lebih baik.
“Ini juga bukan cara untuk menunjukkan kepada anak-anak kita bahawa kita peduli dan melindungi mereka,” tambahnya.
Encik Chan memberi jaminan, walaupun segelintir ibu bapa berpendapat sekolah tidak melakukan sebaiknya dalam menangani keluhan mereka, guru-guru di sini sentiasa menjaga kepentingan semua pelajar secara adil.
Menetapkan garis panduan bagi orang ramai untuk bertindak balas terhadap kejadian seperti ini, beliau berkata:
“Apa yang kita dengar dan lihat dalam talian mungkin bukan perkara sebenar.
“Orang yang menjerit paling kuat dan cepat, mungkin bukan yang paling tidak bersalah atau paling tepat.”
Encik Chan memberi amaran tentang bahaya penyebaran maklumat salah dalam talian dan tingkah laku reaktif tanpa pertimbangan yang teliti.
“Keadilan pembalasan perlu digabungkan dengan keadilan pemulihan.
“Hukuman semata-mata tanpa perhatian yang sewajarnya terhadap pemulihan tidak sejajar dengan kepentingan pembangunan jangka panjang anak-anak kita,” ujarnya.
Dalam kes berasingan yang tular di media sosial pada 8 Januari, seorang pelajar perempuan 15 tahun daripada Sekolah Menengah Admiralty dilaporkan membunuh diri pada 2023 selepas dikatakan dibuli dan mengalami kemurungan, menurut satu hantaran Facebook ibunya.
Beliau menambah sekolah telah “melakukan lebih daripada yang diharapkan dalam menyokong pelajar ini”, termasuk membantu beliau dalam memperbaiki hubungan persahabatan yang terjejas, menyediakan kaunseling dan memberi bantuan selama beberapa bulan.
Encik Chan menjelaskan bahawa punca kes bunuh diri adalah kompleks dan melibatkan pelbagai aspek.
“Apabila ia berlaku, pemimpin sekolah kami berusaha memberikan bantuan kepada pelajar dan keluarga yang terlibat serta bekerjasama rapat dengan keluarga dalam menguruskan kesedihan mereka.
“MOE berdukacita atas kehilangan ini dan kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg