Singapura sedang merancang untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan ketujuh ke Gaza, merangkumi makanan, bekalan penting dan bekalan perubatan, dalam beberapa minggu mendatang, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Bantuan itu akan dihantar menggunakan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan diberikan kepada rakan di Jordan.
Menjawab soalan berhubung penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza di Parlimen pada 4 Februari, Dr Balakrishnan berkata:
“Saya baru sahaja bercakap dengan Menteri Ehwal Luar Jordan semalam (3 Februari) untuk mengesahkan aturan ini.
“Izinkan saya mengulangi penghargaan Singapura kepada semua rakan serantau kami di Timur Tengah, terutamanya Jordan, Mesir, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Cyprus, atas sokongan mereka dalam memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan kita ke Gaza.
“Kita berharap melakukan lebih banyak lagi bersama-sama dan kita berharap dapat memberikan lebih banyak bantuan kepada orang awam di Gaza sedang mereka membina semula rumah dan kehidupan mereka.”
Dalam pada itu, Dr Balakrishnan berkata Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan memulakan pengumpulan dana selanjutnya bagi Gaza semasa Ramadan pada Mac.
“Keperluan pembinaan semula Gaza adalah besar dan Singapura akan terus menyumbang secara dua hala atau dengan bekerjasama dengan negara lain di rantau itu.
“Kita juga bersedia memberikan bantuan melalui pakej bantuan teknikal yang dipertingkatkan untuk menyokong program latihan di Gaza, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Palestin,” katanya.
Singapura, pada Januari, telah menghulurkan bantuan kemanusiaan yang keenam bernilai sekitar $1.3 juta kepada Gaza, hasil kempen pengumpulan dana RLAF di Singapura.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, telah menyerahkan cek $1.3 juta itu kepada rakan-rakan di Jordan.
Wang tersebut disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan Organisasi Amal Jordan Hashemite (JHCO).
Secara keseluruhannya, Singapura telah menghulurkan bantuan bernilai lebih $19 juta ke Gaza sejauh ini.
Ditanya Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja, Encik Dennis Tan (Hougang), apakah terdapat peranan yang boleh dimainkan Singapura dalam menyediakan bantuan teknikal dalam pembangunan semula prasarana, seperti rumah, hospital dan sekolah di Gaza, Dr Balakrishnan akur terdapat keperluan mendesak bagi membangunkan semula prasarana sedemikian.
Namun, soal keamanan berpanjangan kekal sebagai halangan utama kepada usaha tersebut.
“Faktor pengehadnya bukan wang. Terdapat penderma yang lebih daripada cukup, termasuk di Timur Tengah, yang gembira untuk menyumbang.
“Namun, ia adalah tentang jaminan keamanan, jaminan bahawa akan terdapat penyelesaian politik dan apa sahaja yang dibina akan memberi manfaat kepada setiap orang secara adil dan tidak akan dimusnahkan sekali lagi dalam keadaan keganasan seterusnya,” katanya.
Dr Balakrishnan turut menjawab soalan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) dan Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) tentang peranan yang boleh dimainkan Singapura dalam menyumbang kepada perjanjian gencatan senjata yang berkekalan, serta menggalak keamanan dan kestabilan rantau.
Beliau berkata orang ramai perlu bersikap realistik dan berhati-hati tentang peranan sedemikian, dan apa yang boleh dilakukan negara ini adalah untuk menggalak semua pihak mencapai perjanjian bagi gencatan senjata kekal di Gaza dan penyelesaian jangka panjang.
“Singapura menyokong hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka sendiri. Kita percaya bahawa satu-satunya jalan yang berdaya maju untuk mencapai penyelesaian komprehensif, adil dan tahan lama kepada konflik yang telah lama wujud ini ialah penyelesaian dua negara yang dirundingkan, selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) yang relevan.
“Kita berharap pemimpin kedua-dua pihak akan menemui kemahuan politik, keberanian dan imaginasi untuk menyambung semula rundingan langsung, meskipun kita tahu ini adalah mencabar memandangkan kejadian 16 bulan lalu yang sangat menyakitkan,” katanya.
“
“Keperluan pembinaan semula Gaza adalah besar dan Singapura akan terus menyumbang secara dua hala atau dengan bekerjasama dengan negara lain di rantau itu. Kita juga bersedia memberikan bantuan melalui pakej bantuan teknikal yang dipertingkatkan untuk menyokong program latihan di Gaza, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Palestin.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg