Singapura perlu meningkatkan kewaspadaannya dalam pelbagai aspek disebabkan konflik yang melanda serata dunia, kerana tidak jelas sama ada ia boleh menjadi “cagaran dalam perjuangan orang lain”, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.
Beliau berkata Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang menangani pelbagai ancaman dan cabaran harian meliputi keempat-empat perkhidmatannya.
“Hari ini, kita tidak berperang dalam erti kata konvensional, begitu juga kita tidak aman dalam pengertian konvensional.
“Kami beroperasi di tengah-tengah (spektrum ini), dengan tahap yang berbeza. Itulah yang membuatkan kami sentiasa berwaspada,” ujarnya.
Encik Chan berkata demikian dalam sesi wawancara selama hampir sejam setengah bersama media tempatan di ibu pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) sempena Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang jatuh pada 1 Julai.
Ini merupakan wawancara pertamanya dengan media sejak dilantik Menteri Pertahanan, menggantikan Dr Ng Eng Hen yang bersara daripada arena politik selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Dalam sesi itu, Encik Chan turut berkongsi operasi yang dijalankan SAF pada masa akan datang dijangka dilaksanakan menerusi unit lebih kecil.
Langkah memencarkan atau decentralise kepada unit lebih kecil ini akan membolehkan SAF bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman baru, lebih-lebih lagi dalam sekitaran dunia kini yang tidak menentu, kata Encik Chan.
“Memandang ke hadapan, kami boleh menjangkakan pelaksanaan operasi bersifat memencarkan, dengan unit bersaiz lebih kecil berbanding saiz besar yang beroperasi (buat masa ini).
“Teknologi generasi baru yang wujud di serata dunia membenarkan SAF menggandakan kebolehan tenaga kerjanya (dengan unit lebih kecil ini),” ujarnya.
Peralihan ini mencerminkan cara tempur yang diguna pakai dalam konflik sejagat yang tercetus sejak kebelakangan ini, dengan operasi tempur dilakukan dalam unit lebih kecil dan berupaya menghasilkan kemusnahan atau gangguan dahsyat, kata beliau.
Memberi contoh, beliau berkata unit tempur infantri lumrahnya dianggotai sekitar 100 anggota yang beroperasi dengan sekurang-kurangnya dua atau tiga sub-unit.
Struktur itu akan berubah pada masa hadapan apabila unit sedemikian menjadi semakin kecil, tetapi jumlah sub-unit bertambah, ujarnya.
Berlatarbelakangkan kadar kelahiran Singapura yang semakin menurun saban tahun dan penggunaan teknologi baru oleh SAF, cara ini akan menumpukan keupayaan SAF kerana ia “memanfaatkan mutu tenaga anggota dan barisan kepimpinan” angkatan itu, tambah beliau.
Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura – merujuk kepada purata bilangan bayi yang dilahirkan setiap wanita semasa usia reproduktif – kekal rendah pada 2024 iaitu 0.97.
Kadar ini sama seperti 2023, kali pertama dalam sejarah negara TFR merosot bawah paras 1.0, menukil Jabatan Perangkaan Singapura (DOS).
Malah pada 2024, jumlah kelahiran penduduk meningkat sedikit sahaja kepada 30,800 berbanding 30,500 pada 2023.
Jumlah sub-unit yang bertambah ini membuka ruang dan memperkasa lebih ramai pemimpin meliputi formasi berbeza, kata Encik Chan.
Beliau memberi gambaran bahawa dengan peralihan ini, penggunaan teknologi berteraskan operasi 10 anggota berupaya memberi kesan atau impak seumpama 100 anggota tetapi menekankan ia lebih mencabar.
“Anda hanya dapat melakukannya jika anda dapat mengetengahkan bakat terbaik daripada segenap lapisan masyarakat.
“Justeru akan ada lebih banyak peluang kepimpinan untuk anggota Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) dan anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) kerana kami akan tingkatkan teknologi yang akan digunakan.
“Kami akan mempunyai operasi lebih bersifat memencarkan berdasarkan peralihan ini,” jelas Encik Chan.
Beliau berkata peralihan cara operasi SAF dikendalikan ini penting, di tengah-tengah landskap ancaman yang kian berubah.
Secara khusus, beliau merujuk kepada aspek keselamatan siber dan penggunaan dron, dengan intensiti ancaman sedemikian semakin meningkat.
Bagi dron misalnya, cabarannya kini adalah penggunaan yang “mengaburkan tujuan sebenar antara penggunaan ketenteraan dengan orang awam”, ujar beliau.
Itulah sebabnya SAF perlu terus menilai cabaran yang bukan sahaja berlaku hari ini, tetapi cabaran atau ancaman baru yang mungkin timbul dalam jangka pendek hingga jangka sederhana, tambah beliau.
Malah semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada Mac, mantan Menteri Pertahanan iaitu Dr Ng mengumumkan penubuhan kumpulan Pembangunan dan Operasi Pencegahan-UAS (Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu) SAF atau Scudo.
Ia ditubuhkan demi membina keupayaan pencegahan UAS bagi SAF – termasuk sensor, penyekat radar dan huraian senjata bagi mengesan dan mematikan dron lebih kecil
Ia akan bekerjasama dengan agensi pemerintah lain bagi melindungi Singapura daripada ancaman UAS.
Encik Chan berkata: “Kami sentiasa bertanya apakah cabaran baru yang bakal timbul dalam lima, 10 atau 15 tahun akan datang agar kami dapat melaksanakan program pembangunan keupayaan, malah sebelum ancaman tersebut wujud.
“Apabila ancaman tersebut benar-benar wujud, kami sudah ada kebolehan untuk menanganinya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg