Dalam era yang menyaksikan meningkatnya kesedaran tentang kesihatan mental, Kementerian Pertahanan (Mindef) mengambil langkah proaktif untuk menyokong kesejahteraan emosi Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF).
Menurut Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, langkah tersebut merupakan pendekatan menyeluruh Mindef bagi menjaga mereka yang berkhidmat untuk negara.
Mengulas tentang kejadian melibatkan NSF yang mengalami tekanan emosi, Encik Zaqy menegaskan bahawa Mindef memberi tumpuan kepada pengesanan awal, sokongan berstruktur dan campur tangan bebas stigma.
“Hari ini, mereka dikaitkan dengan sistem sekolah yang membolehkan pengesanan awal bagi mereka yang menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau keresahan.
“Daripada situ, kita boleh menempatkan mereka dalam bidang yang sesuai, melakukan penilaian kesihatan mental, atau merujuk mereka ke pusat perubatan,” kata Encik Zaqy dalam satu episod NoTapis, siri podcast Berita Harian.
Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menubuhkan Pusat Daya Ketahanan Tentera (AReC) pada Mac 2024.
Ia bekerjasama dengan pusat latihan dan unit bagi “melaksanakan kurikulum latihan ketahanan berstruktur” dan program melakar semula program latihan bagi “meningkatkan daya tahan mental anggota tentera dan penyesuaian kepada kehidupan ketenteraan”.
Sekiranya mereka memerlukan lebih banyak sokongan, Encik Zaqy berkata mereka boleh mendapatnya daripada doktor atau dirujuk ke Institut Kesihatan Mental (IMH).
Selain sokongan klinikal, daya usaha seperti AReC dan talian hotline membolehkan anggota mencari bantuan tanpa rasa takut dipandang serong.
“Kita harus menunjukkan keprihatinan, bukan saja kerana itu perkara yang betul untuk dilakukan, malah kerana setiap ibu bapa yang menyerahkan anak mereka kepada negara layak diberi ketenangan fikiran,” tambah beliau.
Selain sokongan kesejahteraan emosi, elaun NSF turut dinaikkan berdasarkan semakan terkini.
Elaun bulanan akan dinaikkan antara $35 dengan $75, atau 4 hingga 5 peratus mulai 1 Julai 2025.
Dengan semakan terkini, anggota NSF bakal menerima elaun $790 hingga $1,530, bergantung pada pangkat dan kerja.
Buat masa ini, anggota NSF mendapat elaun $755 hingga $1,455.
Mindef turut memberikan perkhidmatan lebih baik kepada anggota NS dan keluarga mereka.
Ini merangkumi pembangunan kelab Persatuan Askar Kerahan (Safra) baru di Bayshore yang bakal menjadi yang terbesar setakat ini.
“Ini bukan sekadar faedah tambahan.
“Ini adalah tanda penghargaan kepada mereka yang menyumbang masa dan tenaga demi negara,” kata Encik Zaqy.
Perbincangan podcast itu turut menyentuh tentang usaha SAF menyepadukan teknologi dron dalam strategi ketenteraan.
Sebuah pusat baru, Pusat Taktik dan Peperangan Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAS) telah ditubuhkan bagi membangunkan peperangan dan penyepaduan UAS dengan pasukan SAF lain, serta bekerjasama dengan industri dan agensi teknologi lain.
SAF juga akan membentuk kumpulan serupa yang dipanggil Pemecut Dron bagi Kelengkapan Pantas (Dare) bagi meningkatkan operasi platform tanpa pemandu bagi unit di SAF.
Dalam pada itu, antara lain, Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) juga akan memperoleh dua lagi kapal selam jenis, Invincible-Class, di samping empat kapal selam seperti yang sedia ada.
Mengikut jadual, ia akan beroperasi sekitar 2028.
Mengulas tentang penggunaan teknologi baru dalam peperangan, Encik Zaqy berkata:
“Dengan kita memanfaatkan teknologi baru, ia membolehkan operasi kita dijalankan dengan lebih cekap, sekali gus mengurangkan kebergantungan pada tenaga manusia.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg