Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Chun Sing: Semakan skim DSA antara keutamaan MOE 2025

Bertujuan tingkat keterbukaan DSA bagi pelajar berlatar belakang pendapatan rendah, perkukuh program kesan bakat di sekolah rendah
Jan 2, 2025 | 5:00 PM
Butiran lanjut mengenai perubahan pada skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) akan diumumkan pada suku kedua 2025, kata Encik Chan Chun Sing.
Butiran lanjut mengenai perubahan pada skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) akan diumumkan pada suku kedua 2025, kata Encik Chan Chun Sing. - Foto ST

Murid daripada semua peringkat usia akan mempunyai lebih banyak pilihan pendidikan yang lebih sesuai buat mereka, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Ini termasuk skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) yang lebih mudah diakses. 

DSA diperkenalkan pada 2004 untuk menyediakan laluan bagi murid Darjah 6 mendapat kemasukan awal ke sekolah menengah pilihan mereka melalui kekuatan dalam aspek bukan akademik, seperti dalam bidang sukan dan seni.

Skim sebegitu dapat mendorong pelajar untuk maju daripada “baik ke cemerlang”, kata Encik Chan ketika menggariskan keutamaan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi 2025. 

Beliau berkata keutamaan kementerian itu bukan untuk meningkatkan markah ujian pelajar, tetapi mengembangkan potensi dan kemahiran mereka. 

“Keupayaan untuk belajar secara sendiri, menemukan perkara baru, dan mencipta cadangan bernilai tambah adalah perkara yang kami ingin tanamkan (dalam diri pelajar),” ujar beliau dalam sesi temu bual bersama The Straits Times (ST) menjelang tahun persekolahan baru 2025.

Mutu itu akan membantu mereka beralih daripada mengejar kayu ukur kejayaan tradisional, tambah beliau.

Rancangan MOE termasuk menyemak proses skim DSA supaya ia dapat menawarkan lebih banyak pilihan dan laluan yang disesuaikan untuk pelajar. 

Butiran lanjut mengenai perubahan pada skim itu akan diumumkan pada suku kedua 2025, ujar Encik Chan.

Menurut beliau, semakan yang sedang dijalankan akan membawa perubahan kepada skim tersebut, dengan tumpuan pada pembangunan pelajar, proses pemilihan kekal objektif dan telus, serta skim DSA kekal mudah diakses.

Antara sebab semakan itu dilakukan ialah untuk menangani isu ‘green harvesting’, iaitu amalan mengenal pasti dan merekrut bakat muda pada usia awal, kata Encik Chan. 

Langkah itu perlu diambil untuk mengurangkan penilaian yang biasanya lebih berat sebelah kepada pelajar yang berprestasi cemerlang.

Ini berbanding pelajar berpotensi tetapi belum dapat dikembangkan – selalunya berpunca daripada akses tidak sama rata kepada latihan atau kelas bimbingan profesional.

Berhubung perkara itu, Encik Chan berkata: “Kami akan menegaskan dan menggalakkan (sekolah) bahawa jika anda menggunakan sistem DSA di sekolah, anda mesti menunjukkan perkembangan.”

Ia bermaksud bagi kegiatan kokurikulum yang sama, sekolah perlu membangunkan kemahiran pelajar yang tidak diterima melalui DSA, dan bukan bergantung pada kecemerlangan pelajar DSA sahaja.

Semakan itu juga bertujuan meningkatkan keterbukaan DSA bagi pelajar daripada latar belakang berpendapatan rendah, dengan usaha berterusan untuk mengukuhkan program pengesanan bakat di sekolah rendah.

Semakan itu juga akan menangani isu konflik kepentingan, dan memastikan pelajar ditempatkan di persekitaran paling sesuai dengan keperluan mereka.

“Ia bukan tentang sama ada sesebuah sekolah itu adalah sekolah yang baik, tetapi sama ada sesebuah sekolah itu adalah sekolah yang baik untuk anak anda,” kata Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg