SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Chun Sing: S’pura yang bersih cerminan nilai, jati diri rakyat

Chun Sing: S’pura yang bersih cerminan nilai, jati diri rakyat

Konsep ‘penjaga amanah’ adalah warisan yang perlu dipelihara dan dipertingkat untuk generasi akan datang
Apr 19, 2026 | 2:59 PM

Chun Sing: S’pura yang bersih cerminan nilai, jati diri rakyat

Singapore, Chan Chun Sing, clean
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, berkata Singapura yang bersih menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia – bahawa rakyatnya adalah penjaga amanah terhadap alam sekitar, teliti dalam setiap tindakan dan bertanggungjawab terhadap masa depan sendiri. - Foto ZAOBAO

Sebuah Singapura yang bersih mencerminkan nilai dan jati diri rakyatnya, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing.

Berucap di pelancaran kempen Jadikan Singapura Bersih 2026, beliau, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan bahawa tahap kebersihan negara bukan sekadar soal persekitaran fizikal, malah turut menggambarkan siapa masyarakat Singapura dan apa yang mereka perjuangkan.

“Singapura yang bersih menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia – bahawa rakyatnya adalah penjaga amanah terhadap alam sekitar, teliti dalam setiap tindakan dan bertanggungjawab terhadap masa depan sendiri,” ujar beliau.

Menurut Encik Chan, konsep ‘penjaga amanah’, atau stewards, membawa makna bahawa ruang yang dinikmati hari ini bukan milik mutlak generasi sekarang.

Sebaliknya, ia adalah warisan yang perlu dipelihara dan dipertingkat untuk generasi akan datang.

Justeru, kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian semasa sahaja, bahkan sejauh mana usaha hari ini membolehkan generasi seterusnya mencapai tahap yang lebih baik.

Acara yang berlangsung di The Canopy, Geneo, dekat Taman Sains Singapura pada 19 April itu juga diadakan sempena 15 tahun Majlis Kebersihan Awam (PHC) dalam memperjuangkan kebersihan awam di Singapura.

Dalam ucapannya, Encik Chan turut menekankan kebersihan juga mencerminkan sifat teliti dan keupayaan rakyat Singapura untuk melaksanakan sesuatu dengan konsisten.

“Reputasi Singapura sebagai negara yang bersih dan teratur telah membentuk persepsi dunia terhadap kita.

“Ia memberi keyakinan kepada pelabur dan pelawat bahawa kita adalah masyarakat yang boleh dipercayai dan berupaya menunaikan janji,” katanya.

Dalam hal ini, beliau mengimbas peringatan Perdana Menteri pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, yang pernah menyoal bagaimana dunia boleh meletakkan kepercayaan kepada Singapura jika negara ini gagal menjaga kebersihan sendiri.

Selain itu, Encik Chan menegaskan bahawa kebersihan juga berkait rapat dengan tanggungjawab individu terhadap masa depan bersama.

“Jika kita mengotorkannya, kita bertanggungjawab. Setiap tindakan kita mempunyai kesan, dan setiap usaha kecil menyumbang kepada gambaran besar,” jelasnya.

Beliau menggesa setiap rakyat memainkan peranan, sama ada melalui pelupusan sisa yang betul, mengurangkan jejak karbon atau mendidik generasi muda tentang kepentingan menjaga kebersihan.

Encik Chan turut menambah bahawa kempen seperti ini bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran, bahkan untuk mengukuhkan nilai bersama dalam kalangan rakyat Singapura.

“Kita mahu membina masyarakat yang bukan sahaja bersih dari segi fizikal, malah mempunyai nilai tanggungjawab, disiplin dan rasa bangga terhadap negara,” katanya.

Beliau menegaskan, melalui usaha kolektif dan komitmen berterusan, Singapura boleh terus menjadi contoh kepada dunia sebagai negara yang bukan sahaja maju, bahkan berintegriti dan berdaya tahan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg